Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 27 Jul 1932, p.1

Leader Article.

Alam Melayu dengan Kekayaan di Mata Dunia.

Oleh Abdul Halim al-Khalidi.

Sambungan Saudara bilangan 224.

Menurut dugaan saya, lain tidak ialah kerana berlainan pemerintahan, ataupun kemahuan masa yang beredar yang membawa pelbagai perubahan, perubahan mana turut pula Melayu mesti ditukar dengan nama Indonesia. Begitulah dengan nyaring kedengaran ke telinga saya tiap-tiap pemuda putera dan puterinya menyambut akan nama tanahairnya dengan Indonesia, berubahnya nama Melayu bukannya terus ke Indonesia sahaja, mula perantaraannya ada disebut Hindia Netherlands, ini nama ialah diperbuat oleh kerajaan Belanda, rupanya ini nama tidak dipersetuju dia oleh kebanyakan penganjur-penganjur bangsa Melayu, dengan tangkas ditukar dengan Indonesia. Perubahan ini betul ada menggemparkan.

Sampai sekarang masih terbahagi di atas tiga pembahagian:

I. Indonesia yang keluar dari mulut rakyat, Hindia Netherlands yang berjalan terus di kalangan pemerintah, Melayu masih ada juga terdengar sedikit-sedikit di mulut rakyat dan pemerintah wilayah Belanda, ini terbukti diruangan suratkhabar-suratkhabar di Indonesia.

II. Adapun nama Indonesia sebenarnya belum diketahui oleh umumnya dunia, ternyata daripada itu salah seorang penganjur bangsa Indonesia di salah satu rapat umum beliau berkata di antaranya, semasa saya di Mesir pertanyaan; di mana tanahair Tuan, saya jawab dengan sopan, tanahair saya Indonesia. Itu pembesar berupa hairan kerana tersembunyi dari pengalamannya. Ia pun berkata lagi, kita hairan, di mana itu Indonesia, kerana kita belum ada bertemu di peta bumi. Saya pun menerangkan, adalah Indonesia itu nama pembikinan kami ahli pergerakan!

Tuan-Tuan,

Kalau difikirkan perubahan ini, sebenarnya ada memberi pengertian dalam sekali, apa lagi di zaman yang akhir ini, kita dengar pula buah mulut dari pemuda-pemuda yang di luar negeri bila mana ia menyatakan tanahairnya seringkali mengatakan tanahairnya Semenanjung, bagi pihak Melayu di sini. Sedang Melayu seberang di dalam wilayah Belanda menyatakan tanahairnya dengan Indonesia. Memandang kepada kemahuan pemuda-pemuda Melayu Indonesia sekarang, ternyatalah mereka betul-betul bergiat mengatur barisan persatuannya sebagaimana kedengaran di ruangan akhbar-akhbar dan di rapat umum di Indonesia, penulis-penulis ahli-ahli pidatonya menyeru supaya bersatu, jangan pandang kampung ini dan itu negeri pulau dan suku, sama-sama ada Sumatera, Jawa, Celebes dan Borneo. Mereka berseru agar sama-sama bangun mengatur langkah menyingsing lengan baju melompat ke muka mengatur buat mencapai Indonesia Raya.

Adapun anjuran pujangga-pujangga Indonesia itu, tampak-tampaknya ada memberi bekas ataupun bukti, di mana-mana sahaja seluruh Indonesia tampaklah sepak terajangnya pemuda-pemuda yang sedar, menyusun barisan, memperbaiki perusahaannya, memajukan pelajaran anak bangsanya di sana sini terdiri sekolah-sekolah anak negeri mulai dari kota-kota sampai ke dusun, meskipun udara sudah mendung, maharaja kemelesetan sedang mengamuk, di seluruh Indonesia, di ceruk-meruk ke kerat-kerat di serata pulau-pulau Indonesia, kedengaran jerit pekik, keluh kesah, bercampur kesedihan yang dihembuskan oleh anak Indonesia yang kena pukul dengan pedang kemelesetan yang berjalan dengan sombong itu.

Namun, kesedarannya itu berjalan terus juga menujui apa-apa yang dicita-citanya, mengharung lautan gelap gelita, kerana menurut kebaktiannya di sebalik tabir kekolotan itulah terletaknya kesentosaan, dengan keyakinan inilah yang membawa mereka bekerja memperbaiki perusahaan dengan mendirikan persyarikatan ini, dan itu yang disambut oleh rakyat dengan girang dan kegembiraannya, serta mendirikan sekolah-sekolah di mana-mana tempat yang dirasa penting, sekolah mana menanam bibit-bibit keinsafan dan kesedaran, lebih lanjut pemandangan saya di Indonesia, insha Allah akan saya huraikan juga di ruangan akhbar ini.

Sekarang saya putarkan kembali ke soal Semenanjung, sebagaimana yang telah dimaklumi bahwa adalah manakala disebut Semenanjung termasuklah padanya negeri-negeri yang terbahagi dengan beberapa bahagian dari tanah yang dihulurkan oleh benua Asiatik-Asiatik, lautan itu, memandang kepada perkataan Semenanjung yang disukai oleh pemuda-pemuda kita itu, patut rasanya menjadi perhatian bagi pihak yang tak menyukainya, dari kerana di abad yang kedua puluh ini, ialah abad kebangunan dunia Timur, bangun untuk membela kehormatan kebangsaan masing-masing terbilanya kebangsaan kita itu, ialah dengan adanya persatuan, oleh itu susunlah hati persatuan di antara kita sama-sama sebangsa, setanahair Semenanjung, sebagaimana saudara-saudara kita di Indonesia sekarang yang sudah sibuk penganjur-penganjurnya bekerja untuk mempersatukan usaha mereka ada memberi bakti.

Jadi sekarang bagaimanakah fikiran Tuan-Tuan yang kasihkan bangsa dan tanahair Semenanjung? Apakah kita tidak mahu bergerak untuk memperbaiki nasib kita yang telah jatuh ke dalam jurang kesengsaraan itu?

Ya, saya bersangka bahwa adalah seri ibu Semenanjung dari sehari ke sehari bertambah-tambah banyak menaruh pemuda yang suka menyerahkan tenaganya untuk keperluan bangsa dan tanahairnya, kalau benar ini persangkaan, syukurlah ke hadrat Tuhan. Ya! Kalau sebaliknya, tentulah Semenanjung akan terbenam dilulur oleh lautan yang menghimpitnya, di waktu itu pupuslah nama Semenanjung dari pendengaran dunia, barang dilindungi Allah kiranya daripada yang demikian.

III.

Oleh itu, diharap yang cintakan tanahair Semenanjung akan menunjukkan bukti kecintaannya, mudah-mudahan tercapailah nama kesembuhan alam Melayu itu. Hendaknya kita janganlah tercicir dari saudara-saudara kita di Indonesia pada mengubati penyakit yang telah lama kita deritai itu, kerana keadaan kita umat Semenanjung dengan Indonesia, kalau kita pandang ke sedikit abad yang sebelum, iaitu semasa belum datang pengaruh asing, adalah Semenanjung dan Indonesia tiada berapa benar perbezaannya. Tetap tiada, lihatlah kerajaan Majapahit, Srivijaya, Aceh dan Minangkabau di bahagian Indonesia. Mashyur berpengaruh di bawah angin, kerajaan Temasik dan Melaka di bahagian Semenanjung. Tidak pula boleh dihilangkan dari muka riwayat bagaimana sikapnya memelihara dan mempertahankan kehormatan negerinya.

Dan apa-apa yang dapat diusahakan oleh bumi putera Indonesia semasa dahulunya, Semenanjung pun tidak pula kalah di dalam hal itu. Umpama masa dahulu bangsa Indonesia berkain berbaju bertengkolok dengan perbuatan bangsa sendiri, ditunjukkan oleh perusahaan tenunan itu, sehingga menurut pelajaran di sekolah Melayu dahulu memperkatakan kepada saya bahwa adalah di Terengganu, Kelantan, di sanalah sumbernya perusahaan tenunan. Di Indonesia diperoleh pertukangan kayu, besi dan sebagainya yang dipergunakan untuk keperluan hidup anak Indonesia, Semenanjung pun masa itu belum juga diperdapat perkakas keperluan yang tertera dengan "Made In" ini dan itu.

Ringkas apa-apa yang diperdapat di Indonesia, Semenanjung pun tidak ketinggalan.

Sudah kita pandang ke arah sedikit abad yang sebelum, terbuktilah kercerdasan bangsa kita Semenanjung! Oleh itu sekarang saya seru!