Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Jul 1932, p.6

Editorial.

Peluang Melayu Yang Tak Patut Diringan-ringankan.

Tentulah kebanyakan Tuan-Tuan Pembaca telah membaca apa yang ditulis oleh saudara kita Majlis perihal peringatan kebangsaan yang memang kewajipan suratkhabar-suratkhabar yang bermakna daripada pengertian cermin kehidupan bangsa menyeru-nyeru akan bangsanya dan kaumnya manakala dilihatnya ada datang sesuatu peluang bagi mendatangkan kebajikan bangsa dan kaumnya dan watan tanahair mereka itu.

Ataupun bagi menolakkan bahwa yang akan menimpa ke atas perhimpunannya atau watannya yang dialah roh kehidupan tiap-tiap suatu perhimpunan bangsa di bawah langit yang luas ini.

Telah berseru-seru saudara kita Majlis beberapa kali berturut-turut di dalam halaman permulaan mukanya kerana mengingatkan perhimpunan kaumnya yang berakal, maka telah kita salinkah setengah daripada buah fikirannya yang dikeluarkannya di dalam bilangan Majlis 56 pada hari ini supaya di dalam pengetahuan Tuan-Tuan Pembaca kita.

Perkara yang sangat-sangat mustahak jikalau tidak boleh dikatakan kewajipan yang muqaddis ke atas tiap-tiap seorang daripada orang yang jikalau ada setitik pun di dalam badannya darah Melayu apalagi tiap-tiap orang yang Melayu jati bekerja dan berusaha dengan tiada menghabiskan masa lagi pada mengadakan perhimpunan daripada ahli-ahli akal di dalam tiap-tiap sebuah daripada negeri-negeri Melayu yang di dalam Semenanjung yang akan tercampur nama tiap-tiap suatu negeri itu di dalam perkara Tuan yang sangat-sangat dihormati itu datang ke Tanah Melayu ini.

Dan tiap-tiap suatu perkumpulan di dalam tiap-tiap sebuah negeri itu mesti mengangkat seseorang bedua atau lebih wakil-wakil daripada rakyat negeri itu. Maka wakil-wakil tiap-tiap suatu negeri itulah mesti berhimpun menjadikan suatu perhimpunan memikirkan apa-apa perkara yang wajib dikemukakan kepada Tuan Sir Samuel Wilson yang akan sampai ke mari itu dengan mengangkat beberapa orang yang difikirkan layak dan patut menjaga dan memelihara kemuslihatan perhimpunan kaum Melayu ini bagi memeteraikan "Bermula Watan Melayu Ini Bagi Melayu", lama terkibar di atas muka buminya dengan tiada menumpahkan setitik darah atau tercabut sebilah pedang atau berbunyi sesuatu letupan.

Kita menulis yang demikian ini bukanlah sekali-kali bererti kita meringan-ringankan kepercayaan kita bagi pikulan yang berat yang senantiasa tertanggung ke atas bahu Raja-Raja dan Orang-orang Besar kita di dalam perkara menjaga kemuslihatan negeri dan rakyat-rakyat yang dikasihi oleh Tuan-Tuan Penghulu kita yang di dalam Semenanjung ini, tetapi hanyalah tulisan kita yang demikian ini kerana sangat-sangat yakin di hati kita bahwa Tuan-Tuan Penghulu kita itu serta sekalian orang-orang besarnya sangat-sangat gemar dan berkehendak sekalian rakyat-rakyatnya yang berakal dan berpengetahuan mengambil bahagian bagi membantu bersama-sama pada meringankan pikulannya yang sangat-sangat berat ini. Kerana telah dilihatnya di dalam perkara ini ada berpeluk-peluk bangsa yang lain berusaha dan bekerja bagi merampas hak punya rakyatnya yang jati yang sekiranya hasil maksud bangsa-bangsa luar itu nescaya punahlah bangsanya dan punahlah watannya dan kemegahannya, yang akan menarik kepada kepunahan pangkat darjat dan kemegahan kehidupan masing-masing dengan tiada berapa lama masanya lagi.

Kita tidak hendak sekali-kali menyalahkan perusahaan yang dijalankan oleh sekalian bangsa-bangsa luar itu bagi mengambil bahagian ataupun rampas watan Semenanjung Tanah Melayu itu bagi bangsa-bangsanya.

Kerana yang demikian itu memang tuntutan kemanusiaan yang semulajadi bagi mendapatkannya kelebihan, dan tidak juga kita hendak membahas di sini bagaimana bahas Tuan Pengarang Majlis atas cawangan-cawangan perubahan yang akan ditetapkan dengan kedatangan Tuan Yang Mulia dari London ini.

Tetapi yang kita tuliskan pada hari ini ialah menuntut persekutuan ahli-ahli akal dan berpengetahuan daripada kaum Melayu di dalam perbahasan ini bagi menjaga akan watan dan kaum bangsanya daripada terlepas ke dalam genggaman yang lain.

Perubahan yang sangat-sangat besar akan berlaku. Maka dengan perubahan ini akan berubahlah segala Treaty-Treaty ((Perjanjian)) di antara sekalian Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan Inggeris, bermula Treaty itu bermakna rantai belenggu yang akan membelenggu bukannya sahaja Raja-Raja dan kepala-kepala pemerintahan, tetapi membelenggu semua sekali rakyat Melayu yang telah ada sedia hidup sekarang ini. Dan yang akan dizahirkan oleh perut ibu masing-masing, maka tidakkah wajib ke atas tiap-tiap seseorang daripada orang-orang Melayu ini masuk berfikir dan berusaha sama bagi memelihara apa-apa kemuslihatan atau cucu turun menurun bangsa dan kaumnya sebelum ia dikalungkan oleh orang akan belenggu yang terjadi daripada besi khurasani itu.

Terasa sedih hati kita di dalam menulis perkara ini bila kita teringat akan seruan kita berturut-turut meminta kaum Melayu ini mengadakan Persekutuan Melayu Yang Umum daripada perhimpunan semua ahli-ahli negeri Melayu di Semenanjung ini kerana menjaga muslihat-muslihat bangsa Melayu dan watannya, tetapi suara kita itu tidak memberi guna kerana kebanyakan anak-anak Melayu kita yang membenarkan seruan kita itu daripada ahli-ahli pengetahuan yang berfikir tinggi takut hendak melanda ke dalam lautan itu kerana memeliharakan pakaian pangkat masing-masing daripada dipercik oleh air lautan kemuslihatan yang umum itu.

Sekiranya telah jadi persekutuan ini, tentulah di tangan Tuan Yang Dihormati dari London ini ialah yang layak mengadapi akan dia dengan nama kaum Melayu yang umum tidak payah kita menyeru bagi mengadakan perhimpunan yang seumpama itu lagi, hanyalah memberi apa-apa fikiran yang berguna bagaimana huraian Tuan Pengarang Majlis itu, ataupun lebih-lebih lagi.

Tetapi pada masa ini semua fikiran yang demikian itu seberapa pun dijeritkan takutlah kita menjadi umpama orang yang menjerit di tengah padang yang luas dan jikalau kita menulis pun maka samalah juga bagaimana orang yang menulis di atas muka lautan.

Dengan sebab ini jikalau kita kaum Melayu ini masih suka hendak hidup lagi bagaimana kehidupan kaum manusia yang mempunyai perasaan kemanusiaan. Maka wajiblah bersegera mereka itu bekerja di dalam tiap-tiap negeri mengangkat lembaga yang dijadikan satu semua lembaga-lembaga itu bagi memilih orang-orang yang patut dikemukakan bagi memeliharakan bahaya belenggu yang akan terbelenggu sekalian turun temurun kita bagi masa yang akan datang atau bagi memeliharakan kehapusan nama kaum bangsa kita di dalam watan turun temurun nenek moyang kita sebab terjadi anak cucu kita kelak perburuan orang-orang yang ramai.

Kerajaan Inggeris yang maha besar ini ialah suatu kerajaan yang sangat-sangat kuat terasa Democracy. Bermula suara rakyat yang umum itulah yang sangat-sangat besar harga kepadanya daripada segala suara yang lain-lain. Maka sungguh pun kemasukannya di dalam negeri-negeri Melayu ini dengan kesukaan sekalian Raja-Rajanya dan orang-orang besarnya.

Maka bukanlah sekali-kali yang demikian itu artinya membunuh akan Democracynya, hanyalah bermakna yang Raja-Raja itu wakil bagi pihak semua rakyat-rakyat negeri yang banyak dan sekarang Raja-Raja kita itu sangat-sangat berkehendak kepada pertolongan dan perbantuan daripada rakyat-rakyatnya yang berpengetahuan di dalam perkara yang maha besar ini. Dan jikalau kita sekalian mendiamkan diri kita juga lagi, maka sesungguhnya kita sendiri telah menzalimkan diri kita.