Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 Jul 1932, p.4

General Article.

Perusahaan Kampung Orang Melayu.

Beribu-ribu syukurlah patut kita berucap kerana melihat telah terbuka mata hati kaum kita balik berkhidmat taat dan setia kepada kampung tanahairnya.

Begitu juga hendaklah sekalian yang telah berusaha itu tekun dengan yakin hati atas balasan banyak dan untung. Harapkah daripada kampung masing-masing itu tentu. Maka yang belum lagi mencuba itu hendaklah bersegera mulai; janganlah lengah.

Pekan-Pekan Mingguan tampaknya makin sehari makin bertambah, dan didoanya harap berkekal. Setelah kekallah dan makin ramai Pekan-Pekan Mingguan itu dengan beransur perlahan-lahan dari sehari ke sehari makinlah luas pendapatan dan faham orang-orang Melayu di kampung di dalam ilmu perniagaan walaupun pada masa sekarang ini daripada perkhabaran jual-jual itu sedikit-sedikit sahaja daripada seseorang.

Janganlah runsing atau lemah hati walaupun jika disindir-sindir atau digeletek-geletek oleh orang-orang yang sekadar pandai bercakap sahaja tetapi tak pandai mengguna tulang uratnya atau kepandaian cakap itu menjadikan benda ataupun daripada orang-orang kedai atau perniagaan bangsa lain berhimpun di tempat-tempat itu, tidak ada satu perkara atau perniagaan atau kerajaan yang sehabis-habis besar pada hari ini, melainkan dengan permulaannya sehabis-habis kecil yang tidak patut diambil di dalam kira-kiraan pada mula-mulanya berkehendak daftar yang demikian itu, tidaklah cukup 100 kali bidang muka akhbar ini sekadar memasukkan namanya.

Sekarang baliklah pula kepada maksud-maksudnya yang asal, iaitu perusahaan kampung kaum kita. Maka dengan sekadar perkataan bagi menghidup perasaan dan menggalak perusahaan dengan sunyi kira-kira atau agak-agaknya pendapatan kampung-kampung itu, barangkali kurang penuh yakin atau kuat hati bagi yang berusaha itu boleh bertekun dengan sabarnya sekiranya menjadilah sesuatu kemalangan atau kecederaan yang lazim.

Sementara itu, janganlah sekiranya selalu diharap air pasang atau cuaca yang baik sahaja. Tidak sesuatu kejadian di dalam dunia ini dengan tiada sesuatu pun darjatnya atau warnanya atau perasaannya. Hendaklah kita bersedia jika dilawati oleh yang demikian pada bila-bila masanya. Dan jika yakinlah kita banyaknya usaha kita itu, tidaklah kita tersemu atau tawar hati pula.

Sebarang jenis buah-buahan yang terbit daripada Tanah Melayu ini sangatlah berguna dan tidaklah akan terbuang. Sekiranya berlipat ganda terbit daripada negeri ini sekadar pada mula-mulanya seorang masuk yang seumpama itu daripada negeri lain dan walaupun lipat ganda tambahan itu makin berpanjangan sebawah-bawahnya turun sedikit harganya anak negeri makin makin bertambah dan pasar wah makin terbuka makin sehari ke sehari.

Kita selalu dengar kebuluran di dalam beberapa tempat di luar negeri. Oleh demikian makanan itu tidaklah boleh jadi terbuang setelah habis dimakan sekali, berkehendak makan pula. Adakah perusahaan kehidupan itu pada bagi menerangi kampung-kampung itu, barangkali angka-angka yang di bawah ini boleh menolong mantap dan meyakin hati orang kampung yang sedang berusaha di dalam Pekan-Pekan Mingguan itu. Dan lain yang berangan-angan bagi yang demikian angka-angka ini bukan-bukan agak-agak atau reka-rekaan kosong sahaja melainkan ialah daripada pendapatan siasat pendita-pendita dan ahli-ahli khas bagi cawangan itu dengan mahal harganya. Maka sungguh pun demikian, tidak juga diaku iaitu angka-angka yang betul sekali sebab berlain-lainan tempat berlain-lainan hal perihalnya.

Tetapi, berolehlah dengan dipukul rata dan dikira umum dijadikan suatu pegangan di tangan bagi panduan perusahaan itu dan mengukuhkan hati sekalian yang berusahaan. Maka demikian juga digunakan angka-angka ini bagi alas panduan atau alas bahasa ataupun iktibar dengan diharapi adalah lagi laki-laki Melayu yang sebenarnya hendak mengkhidmat kaumnya, boleh berusaha sedikit mengeluar angka-angka yang lain.

Bagi yang demikian, baik bagi sesuatu kampung atau mukim berasing-asing ataupun sesuatu daerah atau negeri dengan jumlahnya. Maka yang demikian itu sangatlah besar harganya menjadi pembuka mata penghibur hati persimpulan yakin kaum yang di ladang, di sawah, atau di kampung itu.

Maka ditakdirkan kehidupan Melayu 3 ekar luasnya bagi sesuatu ekar dikatakanlah berisi buah-buahan yang demikian ini. Maka angka ini bukan dikatakan sahaja tetapi yang telah didapati seperempat ekar durian 6 batang jaraknya 40 kaki dengan 40 kaki suku ekar, nangka 12 batang jaraknya 30 kaki dengan 30 kaki suku ekar, rambutan 9 batang jaraknya 25 kaki dengan 25 kaki seperlapan ekar, pisang 54 batang jaraknya sepuluh kaki dengan 10 kaki seperlapan ekar, nanas Kukub atau nanas Sarawak 213 pokok jaraknya 5 kaki dengan 5 kaki, jaraknya di dalam seekar itu 6 batang durian banyak buahnya 70 biji sepokok, semusim berharga 6 sen sebiji, jumlah $25.20, nangka 12 batang 6 biji sebatang setahun 30 sen sebiji, jumlah $21.60. Rambutan 9 batang 300 biji, sepokok semusim berharga 15 sen, seratus jumlah $8.10. Pisang 54 batang setandan, sebatang setahun berharga 10 sen setandan, jumlah $5.40, nanas 218 sebiji sepokok setahun 10 sebiji, jumlah $21.60.

Jumlah besar seekar setahun atau semusim di dalam setahun itu $82.10 dan jumlah lagi besar 3 ekar katakanlah $240.00.

Bersambung.