![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 25 Jun 1932, p.6
General Article.
Hal Bangsa-Bangsa Kita Pada Mula Hingga Sampai Masa Sekarang Ini!
Jikalau kita layangkan pemandangan serta pendengaran kita di merata-rata akhbar-akhbar di dalam Semenanjung ini akan buah butir daripada Pengarang-Pengarang yang berbahagia mau pun penulis-penulis bijaksana kerana menunjukkan jalan kepada yang berguna yang patut sangat-sangat kita menteladani disebabkan masa ((zaman)) ini ialah zaman kemajuan bukan?
Tetapi sebaliknya apakah yang telah jadi melainkan "Malas" dan "Degil" jua yang telah terbelenggu di hati masing-masing tetapi tidak! Serta apakah yang telah jadi kepada masa ini bahaya yang telah mengelubungi ilmu ini tidaklah lain daripada bahaya kemeleseten ((selam)) tetapi kenapa kita berdiam diri dengan berpeluk tubuh sahaja; tidakkah boleh mengubat kepada perasaan seperti berternak ayam, itik, serta bercucuk tanam seperti padi, sayuran, dan sebagainya untuk menggantikan harapan kepada getah-getah. Tetapi seperti angan-angan kepada kenaikan harga getah itu semacam dahulu janganlah dimimpikan lagi, elok dibuangkan ke belakang sahaja, tak akan ada harapan akan kenaikan getah.
Jikalau naik sekali pun tidak ada samanya seperti tahun 192... itu, lebih baik cari jalan lain pula supaya melarikan daripada jangan perut kosong.
Baik dengarlah pada masa Orang Putih baru-baru masuk memerintah di sini ((saya dengar cerita daripada orang tua-tua)) jantan perempuan anak dara dan teruna semuanya bercampur baik pada perniagaan mau pun pada menonton permainan, lebih lagi atas khenduri kendara nikah kahwin, hingga tidak ada pantang dan malu pada masa itu.
Alhamdulillah, apabila sampai musim jalan-jalan yang bengkang-bengkok telah dibetulkan oleh Orang Putih, dan rumah-rumah terdiri dengan aturan, maka saudagar daripada sebelah Hindia dan Arab telah datang berniaga ke mari. Dan mereka itu telah nikah berumah tangga dengan orang sini, mulai adat yang tidak bermalu itu beransur-ansur sehingga anak-anak dara pun susah hendak tampak di jendela rumah masing-masing, dan perjalanan di rumahnya sendiri pun tiada kedengaran bunyi tapaknya.
Dan perempuan yang ada berlaki dan bujang-bujang pun bila berjalan cukup dengan tutup kain kelembungnya dan pada pihak laki-laki apabila melihat perempuan-perempuan berjalan mereka itu pun mengundur, yakni memberi jalan dengan tertib dan sopan. Dan masa sudah lalu iaitu masa pemerintahan dan masa sekarang pula kebanyakan laki-laki yang muda-muda apabila melihat perempuan berjalan-jalan mereka pun memanjangkan leher daripada jauh ((sebagai burung bangau mengintai ikan timbul)) melihat adakah mereka beriring-iring dengan laki-laki atau tidak?
Dan jika tiada, apatah lagi mulailah Che Abang bersiul dan menyerit sebagai ayam jantannya dan apabila tampaknya rasanya oleh Che Abang akan ketandaan kesukaan perempuan itu, apatah lagi mulailah menunggu seraya berkata, tidakkah penat berjalan itu, marilah kita naik kereta, ke mana hendak pergi, boleh saya hantarkan?
Wah! Bagi pihak si perempuan pula apabila mendengar mereka akan jambuan yang lemah lembut dan baik budi laki-laki itu serta menyahut dengan dengar tak dengar suaranya keluar sambil membetulkan kain kelembungnya menutup mukanya itu, seakan-akan berasa silap perasaannya dan tidak dapat tiada tampaknya muka yang bersadur dengan bedak telinga yang mengerlip dengan subang, dada yang terhias dengan kerongsang, leher bergantung dengan rantai dan loket menyatakan ...Dan si laki-laki pula tiadalah mengingatkan isteri ataupun anak-anak orang hanya fikiran tiap-tiap bersisik itu ikan, dan anak-anak dara pula pada masa ini ... sebelum apa-apa ia sudah kenal laki-laki dan bergurindam dengan laki-laki yang sekampung dengan dia.
Padahalnya satu apa pun tiada ada ilmu ia pelajari akan jadi dinding dirinya dan memelihara akan nama dua ibu bapanya akhbar-akhbarnya tidak dapat tiada ianya akan jadi anak-anak Syaitan, cucu-cucu Iblis, ini bukan silap daripada dirinya sendiri hanya silap itu datang daripada ibu-ibu bapanya ((pada kebanyakan perkataan orang-orang)).
Tetapi pada fikiran saya tidak begitu itu semuanya bukan salah daripada ibu bapa mereka itu kerana kebanyakan mereka itu di dalam kemiskinan dan bukannya segan atau apa-apa pada mereka itu hendak menghantarkan anak-anak mereka itu ke dalam sekolah pada mempelajari ilmu yang akan berguna dan supaya menjadi perisai pada anak-anak mereka itu kelak hanya disebabkan oleh kekurangan belanja yang akan dibelanjakan oleh mereka itu di situ.
Pertama, wang bayaran sekolah. Kedua, wang membeli buku-buku. Ketiga, belanja-belanja anak-anak masa ke sekolah.
Dan pada orang yang berada pun tiadalah boleh juga dikata salah sebab mereka itu mendengar nasihat-nasihat daripada tok-tok alim yang ada pas sisi mereka itu melarang tiada elok dihantar sekolah suratkhabar-suratkhabar perempuan, yang ada mengatakan kelak jahat kanak-kanak itu apabila ia besar pandai membuat surat-surat kepada yang dihajati, yang ada melarang dengan berkata di dalam kitab-kitab agama ada mengatakan tiada boleh mengajar perempuan menulis, yang ada begitu, yang ada begini!!!
Bermacam-macamlah yang ada al-maklumlah hati Melayu kita ini tersangat yakinnya pada mengikut apa-apa perkataan guru palsu yang tiada pernah ... tambahan pula jika sekiranya orang berjubah yang berkata begitu, itulah yang sebenar-benarnya percakapan kepada sangka mereka itu. Dan jika sekiranya adalah siapa-siapa yang akan membantah petua yang telah didapati mereka itu, dengan bantahan yang hak ((sebenar)) pada masa itu hingga tercabut jiwanya mengata tidak betul dan mengata pula: guru saya Arab, di mana boleh lebih daripada Arab macamlah perkataan mereka.
Pada hal, agama kita menyuruh belajar apa-apa pun ilmu, dan tidak pula dipaksanya kepada perempuan, ini-ini boleh dan ini-ini tak boleh, dan laki-laki semuanya boleh.
Pada fikir saya, yang salah mereka yang memeliharakan hasad dengan dengki. Jika ini hasad dengan dengki tiada ada pada sisi hati Melayu, pada ini masa saya berdiri naik saksi dengan sesungguhnya, bangsa Melayu kita ini akan naik sehingga melampaui ia akan darjat matahari memancar, dan sekarang ini tak usahkan hendak memijak tepi padang tamadun itu, mencium baunya pun saya tak percaya akan dapat sebabkan yang kaya menunjukkan keadaannya, yang sekian melarikan miskinnya kerana kedua-dua ini tiada mau bersetuju, bagaimana hendak bersetuju?
Kerana yang kaya setengahnya tiada mau bercampur dengan si miskin disebabkan takut hilang mutunya, setengahnya bercampur pula, dengan membawa takabur, sombong, dan bongkak, dan bagaimanalah si miskin hendak memuliakan, kerana kemuliaan yang dibawa oleh mereka tiada mempunyai adab, dan bagaimanalah si miskin hendak membesarkan mereka itu, kerana mereka tiada sekali-kali bersifat tawaduk, kerana mereka sememang di atas kenderaan takabur!
Adakah hilang cahaya manikam itu, jika ia terjatuh ke dalam lembahan?
top |