Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 10 Aug 1932, p.7

General Article.

Kesatuan Negeri-Negeri Melayu Hendaklah dengan Treaty dan Pertubuhan Baru. Daripada "Pengasuh" Bilangan 262.

Bahawasanya niat, angan-angan, cita-cita dan tujuan hendak mempersekutukan sekalian negeri Melayu yang termasuk di dalam lingkungan British Malaya ini bukanlah ia suatu perkara yang baru tumbuh di dalam ingatan, bahkan benihnya sudah lama disemai oleh mereka-mereka yang bersangkut paut dengan muslihat pemerintahan negeri-negeri itu.

Maka niat yang amat digemari ini makin lama semakin merebak syornya dan bercawangan dahan-dahannya, hingga sekarang tampaknya setengah daripada juli-juli dan ranting-rantingnya sedang mengeluar bunga yang harum dan tidak syak lagi natijahnya akan berbuah dengan amat lebih, serta lazat citarasanya, tatakala itu syukurlah mereka yang menanam pokok itu kerana maksudnya sudah hasil dan jaya.

Pendapatan kita bagaimana yang kita sebut di atas ini ialah berasa di atas cadangan yang terutama Tuan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu di Seri Menanti yang termashyur itu, dan sekarang zahirlah setengah daripada bunganya yang harum itu dicium oleh empat buah negeri Melayu dengan sukacitanya iaitulah apakala kuasa pemerintah-pemerintah ((Sultan-Sultannya)) dikecualikan dan tiap-tiap negeri itu ada mempunyai State Council sendiri, walaupun Federal Council, itu masih lagi terdiri pada masa ini, tetapi kuasanya tentulah sudah berkurangan daripada sedia.

Dan lagi, setengah daripada cadangan yang terutama itu ialah hendak menyatukan beberapa pejabat, seumpama kastam, post dan telegraf dan lain-lainnya supaya memberi kesenangan dan kecermatan yang berguna sekali kepada semua negeri Melayu, baik negeri Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan baik pun Negeri-Negeri Melayu Yang Belum Bersekutu, bagaimana tujuan dan sebab yang dibentangkannya pada tiap-tiap perkara yang dicadang itu.

Sekarang nyatalah bahwa empat buah Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu pada tentang masing-masing mempunyai State Council sendiri itu, didapatinya bersamaan jua dengan Negeri-Negeri Melayu Yang Belum Bersekutu, hanyalah beberapa perkara sahaja hingga sekarang ini dikatakan ada terbeza daripadanya.

Tetapi perkara-perkara ini bukanlah daripada perkara yang sukar dipinda atau dibaiki supaya menjadi bersamaan semuanya, bahkan lebih baik lagi daripada keadaan sekarang, jika dikehendaki membetulkannya kalau begitu apakah galangan lagi daripada mempersekutu sekalian negeri-negeri Melayu itu menjadi kesatuan yang amat teguh dan tegap kelak??

Ya, benarlah orang berkata bahwa tiap-tiap negeri Melayu itu masing-masing ada bertreaty dengan kerajaan Great Britain yang berlainan biji butirnya di antara satu negeri dengan yang lain, oleh kerana itulah menjadi satu sebab yang masing-masing itu enggan bersekutu atau bersatu pada muslihat pertahanan negeri itu, iaitu kerana berlainan luas sempit kuasa masing-masing pertahanan itu.

Maka apa yang dikata ini boleh jadi betul begitu, tetapi kita mintalah siapa-siapa pun baik membentang di hadapan matanya dan menatap mana-mana satu Treaty Negeri Melayu ini dengan membetuli biji butirnya di atas hakikat-hakikat yang ada berjalan pada masa ini di dalam negeri itu adakah sebenarnya mengikut sebagaimana biji butir Treaty itu?

Atau banyak berubah dan berpinda daripadanya iaitu berubah dengan tiada sedar dan berpinda dengan tiada disengajai, bahkan berubah dengan sebab kewajipan muslihat perintahan negeri pada masa itu menghendaki demikian.

Maka apakala didapati hakikat perjalanan perintahan negeri yang ada pada masa ini tiada membetuli dengan setengah daripada biji butir Treaty yang sangat dipegangi itu apakah faedahnya dan apakah kuat-kuasanya yang boleh bergantung kepadanya atau yang boleh diketengahkannya bila masa berkehendak berpegang atasnya?

Inilah suatu masalah yang wajib anak-anak Melayu berfikir panjang dan bahaskan dengan mencukupnya, utama pula pembesar-pembesar kita hendaklah timbang dengan neraca muslihat kebangsaan dan kewatanan yang dengan dialah hidup mati dan undur maju Melayu di dalam alam ini.

Adapun muslihat kebangsaan dan kewatanan kita "Melayu" sekarang ia bersekutu dan bersatu, istimewa pula pada masa ini yang banyak riuh rendah suara tuntutan bangsa-bangsa asing pada bumi kita yang dikatakan haknya dan setengah pula mereka mengaku bumi kita ini watannya. Maka tiada boleh jadi kuat persekutuan kita jikalau pemerintah tiap-tiap negeri Melayu tiada bersetuju pada membangunkan kesatuan negeri-negeri Melayu dengan satu ikatan perjanjian yang amat teguh, dan memberi kesenangan dan kebebasan kepada rakyat-rakyat ini negerinya yang berbangsa Melayu. Maka di atas muslihat ini, maka sekiranya pemerintah-pemerintah negeri Melayu bersetuju pada mendirikan, kesatuan negeri-negeri Melayu, yang sangat dikehendaki itu hendaklah dengan suatu Treaty ((perjanjian)) yang baru dan pertubuhan ((undang-undang tubuh)) baru.

Maka Treaty dan Pertubuhan baru bagi kesatuan negeri-negeri Melayu yang kita syor itu hendaklah berasa di atas "Bumi Melayu bagi Melayu", dan di atas asas ini hendaklah didirikan satu majlis yang patut dinamakan "Kongress Melayu", dan majlis ini pula hendaklah dibahagi menjadi dua:

1. Majlis Orang Ramai, iaitu ahli-ahlinya semuanya daripada bangsanya yang ada di dalam tiap-tiap negeri Melayu itu, dan hendaklah mereka itu dipilih oleh rakyat-rakyat isi negeri itu, mengikut aturan pilihan yang layak dijalankan pada masa ini, dan

2. Majlis Orang Pilihan iaitu ahli-ahlinya daripada mereka-mereka yang dipilih oleh pihak yang berkuasa di dalam tiap-tiap negeri Melayu itu, sama ada daripada anak-anak Melayu yang berjawatan atau lain-lainnya ataupun yang lain daripada bangsa Melayu. Maka Member-Member State Council tiap-tiap negeri Melayu itu bolehlah menjadi Ahli Majlis Pilihan ini.

Kongress Melayu ini hendaklah diluaskan kuasanya, maka undang-undang dan estimate-estimate perbelanjaan bagi kesatuan negeri-negeri Melayu itu hendaklah disahkan olehnya dan dibenarkan oleh Yang diPertuan Kesatuan itu.

Maka masalah siapakah kelak dilantik menjadi Yang diPertuan bagi Kesatuan Negeri-Negeri Melayu itu?

Pada fikiran kita tiada lain daripada Raja-Raja ((Sultan)) Negeri Melayu jua iaitu dengan jalan bergilir menahan seorang dan tidak pula dikehendak mengundikan siapa yang patut didahulukan daripada yang lain apakala bersetuju bahwa mana-mana seorang Raja kita yang lebih tua umurnya daripada yang lain-lain itulah yang patut didahulukannya. Maka kesatuan negeri-negeri Melayu ini patutlah di bawah rakyat yang terutama Tuan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu itu.

Syahdan, tinggal lagi jua masalah yang patut dibahaskan apabila kesatuan negeri-negeri Melayu itu bersetuju diadakannya, iaitu ((1)) masalah perintahan masing-masing negeri Melayu itu adakah dikehendaki mengubah daripada yang ada berjalan sekarang ini? dan ((2)) masalah Treaty tiap-tiap negeri Melayu itu adakah wajib dikekalkan seperti sedia atau dikehendak ubahkannya ataupun dibuat lain??

Maka fikiran kita tentang masalah yang pertama itu haruslah berubah sekadar mana yang termasuk di dalam Treaty baru bagi kesatuan itu dan sebanyak mana lagi yang tiada termasuk di dalamnya. Dan tentang masalah yang kedua itu pula, terpulanglah kepada pemerintah dan pembesar-pembesar negeri Melayu menimbangkan sama ada hendak dibuat lain ataupun dikekal seperti yang ada sedia itu.

Tetapi tidaklah bermakna sekali-kali jikalau Treaty sedia itu haluannya ke Timur dan hakikat yang ada berjalan sekarang ini ke Barat, kerana yang demikian itu menjadi tulisan di atas kertas jua.

Sebenarnya, kita tidak fikir yang terutama Tuan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu itu ada di dalam ingatannya hendak mengubah atau membongkar sebarang Treaty Raja-Raja kita dengan kerajaan Great Britain itu, kerana yang demikian bukan kuasanya, maka tidaklah ada apa-apa mudarat kepadanya jikalau Treaty yang sedia itu dikekalkan.

Hal ini terpulanglah jua kepada pemerintah-pemerintah Melayu sekiranya bersetuju dibuah atau dibuat lain, tatakala itu barulah Yang Terutama berunding dengan cermatnya, hanyalah kewajipan Yang Terutama itu pada pandangan kita semata-mata hendak membangun Persekutuan Negeri-Negeri Melayu semuanya, supaya bersatu dan dengan ibarat yang lain ialah setengah daripada mereka yang memasuk skru bagi membangun dan mendirikan kesatuan negeri-negeri Melayu itu supaya lebih teguh dan tegap keadaannya dan lebih menyenangkan perintahannnya.

Demikian lagi kita tidak fikir ketibaan Sir Samuel Wilson kelak hendak merobohkan Lembaga atau Rangka Cadangan Yang Terutama yang sudah dicuba mendirikan itu, bahkan pada fikiran kita ia akan menambah skru lagi kepadanya supaya bertambah-tambah kuat. Tentulah kita tengok kelak.

Wa-ba`adahu, sepanjang yang kita sebut di atas ini, berharaplah kita kepada teman kita, "Majlis", di Kuala Lumpur dan "Saudara", di Pulau Pinang, dan juga lain-lain akhbar dan majalah-majalah sudi menatap dan membahaskan terutama sekali "Majlis", yang ia menolak dirinya daripada mengetuai suatu "Conference" yang kita syor itu.