![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 30 Mar 1932, p.6
Editorial.
Anak-Anak Muda dengan Pekerjaan.
Pada pangkal tahun ini kita ada mendengar beberapa sungutan sama ada daripada anak-anak atau bapa-bapa di atas undang-undang pelajaran yang tujuannya ialah anak-anak yang sudah lanjut umurnya daripada yang ditetapkan bagi tiap-tiap darjah di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu tidak boleh diterima atau mana yang dikehendaki dikeluarkan.
Kita bukan hendak membincangkan undang-undang yang tersebut itu sebab sudah diperbahaskan, bahkan sudah dikunyah-lumat oleh teman-teman sejawat kita, di sini kita hanya hendak memalingkan pemandangan saudara-saudara kita anak-anak muda yang terpaksa dikeluarkan daripada sekolahnya, sebelum mereka mendapat pengetahuan yang sempurna atau akuan yang boleh meluluskan mereka itu bekerja pada pekerjaan yang dicita-cita oleh mereka itu iaitu menjadi kerani.
Maka oleh kerana mereka telah terpetik kuntum belum sempat kembang lagi, tidaklah banyak orang-orang yang gemar kepadanya.
Dan sebagaimana kuntum-kuntum bunga itu kemudian daripada dipetik dicampakkan balik ke bawah pokoknya sebab difikirkan tidak berguna. Maka begitu jugalah anak-anak muda kita yang dikeluarkan daripada sekolah-sekolah sebelum pandainya itu terpaksa balik ke rumah bapanya dengan tidak hirau hendak membuat pekerjaan yang lain daripada duduk bersenang diri sahaja.
Banyak juga yang sudah berikhtiar meminta pekerjaan ke sana ke mari, tetapi apalah yang dapat masa zaman meleset ini?
Sungguh pun pekerjaan yang setaraf dengan kegentuman pengetahuan mereka itu ada, tetapi yang ada di dalam pekerjaan itu pun jikalau boleh hendak dikurangkan lagi, dan apakala sudah putus harapan mereka daripada mendapat apa-apa pekerjaan mereka pun tidak berpanjang kira lagi hanya tahu makan terhidang sahaja di rumahnya sebab fikiran yang lain daripada menjadi kerani itu sekali-kali tidak terlintas dihatinya.
Sesungguhnya sekarang zaman susah, zaman tidak dapat kerja dan jikalau tak kena-kena gayanya, boleh jadi zaman tidak dapat makan. Tetapi tidaklah siapa yang tahu bila zaman yang susah ini berganti dengan zaman senang dan makmur. Entahkan esok, entahkan lusa, ataupun bulan ini atau katakanlah tahun di hadapan atau beberapa tahun lagi ke hadapan.
Kita semua tentu berharap kepada kedatangan masa yang senang itu dan harap kita itulah yang menjadikan kita bekerja bersungguh-sungguh untuk menyediakan kehidupan kita bagi masa yang kita ternanti-nanti akannya itu.
Jikalau begitu tidaklah terfikir oleh anak-anak muda kita yang keluar dari sekolah itu membuat apa-apa persediaan bagi dirinya, jika masa yang senang itu datang kelak?
Pada fikiran kita pada memeluk lutut ataupun melincir ke hulu ke hilir sahaja, sebaiknyalah difikirkan sesuatu jalan. Jikalau hendak menjadi kerani carilah persediaan bagi pekerjaan itu, dan jikalau hendak menjadi saudagar, cari pulalah persediaan dan begitulah pada lainnya.
Barangkali tiap-tiap seseorang itu tentu ada sekurang-kurangnya satu daripada sahabat-sahabat yang masih menjawat pekerjaan dalam apa-apa ofis juga. Apa tidakkah baik bertanya-tanya kepadanya darihal pekerjaan itu jikalau kita cenderung kepada membuat seumpama yang dibuatnya itu?
Atau kita turut hadir bersama-sama dengan di tempat pekerjaan serta melihat dan mengamat-amati apa yang dibuatnya?
Pada fikiran kita jikalau kita minta daripada Tuan tempat sahabat kita bekerja itu membenarkan kita membantu akan dia atas apa-apa pekerjaan yang di dalam pengetahuan kita dengan tidak berharap upah atau gaji daripadanya hanya dengan semata-mata hendak menolong sahaja, tentulah dibenarkannya.
Begitu jugalah boleh kita pandu masuk di dalam apa-apa gedung atau pejabat yang kita suka hendak mengetahui selok-beloknya seumpama jika kita hendak belajar darihal cap-mengecap, cubalah kita pandu masuk dalam mana-mana printing press dan minta daripada Tuan yang empunya tempat itu membenarkan kita bekerja di situ sebagai seorang pekerja, tetapi tidak dengan berharap gaji, atau lainnya hanya dengan maksud hendak menolong dan dalam itu sambil kita belajar pula dan jika kita dibenarkan masuk dan kita pun bekerja betul-betul, barangkali tak lama, Tuan yang punya tempat pekerjaan itu tentu menaruh timbang-rasa di atas jasa kita itu dan harus pula diberinya wang belanja sekurang-kurangnya pembeli rokok sahaja dahulu.
Jikalau kita hendak menolong orang dengan hati yang ikhlas dengan tidak pula berharap akan balasan, barangkali tentu ke mana-mana pun diterima orang.
Dan daripada kita melengung di rumah dengan tidak ada jalan wang masuk, terlebih baiklah kita mencari jalan supaya jikalau tidak pun wang biarlah ilmu masuk.
top |