![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 19 Mar 1931, p.8
Editorial.
Bahasa Melayu.
Melihatkan kepada keadaan Bahasa Melayu itu sudah bertambah-tambah luas batas pergunaannya iaitu menurut pengetahuan orang-orang kita Melayu yang makin sehari makin luas juga pendapatannya di dalam serba-serbi pengetahuan.
Maka pada fikiran kita genaplah sudah masanya kita orang-orang Melayu mengambil lebih berat lagi di atas perjalanan bahasa kita yang dikasihi itu.
Suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah kita alhamdulillah makin banyak dan penulis-penulis dan pembaca-pembacanya pun begitu juga. Maka sebagaimana perubahan bilangan penulis-penulis dan pembaca-pembaca itu daripada sedikit sudah menjadi banyak, dengan nisbah itu jugalah kita harap bahasa kita itu berubah daripada kurang baik dan elok kepada bertambah baik dan elok lagi.
Kita semua barangkali tentu sudah mengerti bahwa bahasa itu ialah suatu neraca bagi ketinggian atau kerendahan sesuatu umat. Jikalau bahasa itu tinggi, tandalah yang demikian itu akan ketinggian umat yang menggunakannya. Dan jika rendah, maka rendah pulalah ia. Kita sekarang sedang menyeru umat kita kepada ketinggian dan oleh kerana bahasa itu satu daripada tangga-tangga yang besar yang boleh menyampaikan kita kepada ketinggian itu. Maka tidaklah harus bagi kita berdiam diri serta melihat dengan tidak bergerak bagaimana bahasa kita ini telah hanyut dibawa oleh arus yang mengikut sebagaimana kehendak angin yang bertiup itu sahaja.
Jikalau ke Barat pun ke Baratlah, dan jika ke Timur ke Timurlah, tidak ada yang menyekat perjalanannya.
Kita harap bahwa perjalanan bahasa kita yang dikasihi itu janganlah seperti perjalanan arus yang tersebut itu menurut seperti bagaimana kehendak kalam masing-masing sahaja, sebab kita lihat sekarang jika tak banyak sedikit ada juga perbezaannya di antara karangan seorang yang pandai bahasa Inggeris, atau seorang yang pandai bahasa Arab atau seorang yang tidak tahu bahasa Inggeris atau bahasa Arab itu, sama sekali.
Maka sungguhpun karangan seorang itu boleh difahamkan oleh seorang yang lain tetapi tentu ada juga padanya perasaan kejanggalan apabila ia seorang yang tidak tahu bahasa Arab umpamanya, membaca karangan seorang yang terbawa-bawa kepada ruh karangan Arab.
Jikalau seorang budak Melayu hendak melatih dirinya dengan membiasakan membaca suratkhabar-suratkhabar Melayu atau majalah-majalahnya, barangkali tentulah terkeliru ia daripada melihatkan sesuatu ibarat itu di dalam karangan Si-Polan begini terkiasnya dan di dalam karangan Si-Polan begini pula terkiasnya.
Maka bagaimanalah pula fikiran seorang bangsa asing yang hendak mempelajari Bahasa Melayu itu, jika apabila dibacanya suatu khabar kita itu didapatinya padanya berbagai-bagai rupa. Akhirnya apabila ia tidak dapat sesuatu keputusan, tentulah disifatkannya Bahasa Melayu itu dengan sifat-sifat yang kita tidak suka mendengarnya, tetapi salahnya kepada siapa?
Tentu ke atas kepala orang-orang Melayu juga.
Kita sama sekali tidak mengaku apa-apa yang kita tulis itu semuanya betul menurut roh Bahasa Melayu dan syak kita akan ketulenan itulah yang menjadikan kita menulis rencana ini serta berharap kepada pendita-pendita Bahasa Melayu bersama-sama dengan orang-orang besarnya memikirkan terlebih lanjut lagi di atas tujuan kita ini.
Di negeri-negeri asing yang bertamadun itu tampaknya tiap-tiap satu umat ada mempunyai satu lembaga yang khas bagi membahas perkara bahasanya. Jikalau di negeri Melayu kita ini kita ikhtiarkan mengadakan satu lembaga seperti yang di atas itu, tentulah sudah kita membuat satu yang wajib kepada bahasa kita itu, apa kata Tuan-Tuan yang bijaksana?
top |