Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 Mar 1932, p.7

Editorial.

Peluang.

Waktu itu seperti pedang, jikalau tidak engkau potong akan dia, nescaya dipotongnya akan dikau! Kata pepatah Arab.

Beginilah hebatnya makna hikmat yang berkandung di dalam perkataan yang tersebut itu, adakah terlebih cantik dan munasabah daripada perumpamaan waktu itu dengan pedang.

Maka sebagaimana pedang yang tajam itu boleh memancung sesuatu benda dengan senang dan tidak tampak bekas atau kesannya, maka begitu juga waktu itu melalui seseorang dengan tidak boleh dipandang bekas atau kesan kelaluannya itu.

Pendeknya, masa itu senantiasa lalu dengan tidak kita sedar dan jikalau tidak kita mengambil peluang bagi menggunakan masa kelaluannya itu dengan barang yang boleh memberi faedah kepada diri kita sendiri, atau kepada umum, maka sudah teranglah bahwa masa itu telah melalui kita sia-sia sahaja.

Kelaluan masa itu bukan pula seperti perjalanan kita yang boleh diundurkan balik ke belakang, sekalipun kita sudah mara ke hadapan bahkan ialah perjalanan yang tetap sahaja ke hadapan dengan tidak pandang toleh ke belakang lagi, suluhan-suluhannya percaya ia akan kebetulan pekerjaan yang dibuatnya itu dengan tidak payah mengulangi lagi apa-apa yang telah dilaluinya.

Beginilah tabiat masa dan beginilah keras perangainya yang tidak mengendahkan lainnya dan adakah sesiapa boleh melawan kesombongannya itu?

Ceritalah, teriaklah, serulah dan mintalah atau pujuklah supaya ia berhenti sebentar kerana menantikan engkau membuat apa-apa yang telah luput dari masanya. Jikalau engkau habiskan umur engkau pada jeritan seruan dan sebagainya itu sekalipun, atau engkau sorakkan dengan setinggi-tinggi suara engkau nescaya tidaklah berbalas kepenatan engkau itu melainkan dengan telinga tuli dan mulut bisunya sahaja.

Maka jikalau begini kekerasan masa itu adakah patut kita ringan-ringankan sesuatu pekerjaan kita itu dengan mengatakan oh tak payahlah hari ini, esok ada masa lagi.

Orang yang mengatakan perkataan yang seumpama ini seolah-olah mengetahui benar yang umurnya akan sampai kepada masa yang dikehendakinya itu atau ia boleh jamin yang ia cukup sempurna kesihatannya waktu memperbuat pekerjaan yang dicitanya itu esok. Astaghfirullah! Siapakah yang mengetahui apa yang akan datang atau siapakah yang boleh jamin kesihatannya itu baik selama-lamanya?

Tidakkah kita ketahui bahwa sebanyak mana masa itu lalu di atas kita, maka sebanyak itu jugalah umur kita dibawanya. Jika ia lalu dari pagi ke petang, maka sebanyak masa dari pagi ke petang itulah kurangnya umur kita. Dan jika kita ketahui bahwa masa itu senantiasa lalu tidak berhenti-henti, tidakkah berasa takut atau ngeri kita daripada mengetahui yang umur kita pun tidak berhenti-henti bertambah kurang makin hampir kepada ajalnya?

Ingat! Masa yang sudah lepas itu sudah lepas, tidak dapat diulangi. Tetapi daripada masa ini ke hadapan jangan kecewa lagi. Tiap-tiap peluang itu jangan dilepaskan, bahkan pegang akan dia kuat-kuat supaya jangan dipaksanya kita di belakang kelak mengatakan oh sekiranya ... oh sekiranya!