![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 7 May 1932, p.5
General Article.
Apakah Yang Mesti Diperbuatkan Oleh Anak-anak Melayu.
Zaman kesusahan ini ialah suatu ajaran yang amat-amat berguna bagi sekalian bangsa dan terutama sekali bangsa-bangsa yang berwatan. Di sini saya tentukan khas bagi anak-anak Melayu.
Sebelum datang masa kesusahan ini, bangsa Melayu ini bolehlah dikatakan terbahagi di atas tiga bahagi:
1. Mereka yang tinggal di bandar bekerja mencari nafkah kehidupan mau pun bekerja di pejabat kerajaan dan lainnya dengan yang kerati kemodenan dengan memelihara maruah jawatannya dengan sehabis-habis daya upayanya mau pun dengan mengabiskan segala pendapatannya dengan ditambah berhutang kerana konon memeliharakan kemaluannya.
2. Mereka yang tinggal di kampung-kampung dengan bersuka ria menggajikan orang lain bekerja bagi untuknya kerana melapangkan perbelanjaannya dan sambil-sambil sedikit-sedikit menolong kuli-kuli mereka itu dengan pekerjaan yang beringan-ringan dan membiasakan memanjangkan urat belikat kemalasan mereka itu.
3. Mereka-mereka yang tinggal di dalam kampung-kampung dan bandar-bandar yang bersandar-leka dengan membelanjakan pesaka-pesaka yang ditinggal oleh datuk nenek mereka itu dengan berpada-pada menunjukkan kekayaan dan kelawaan, maupun gerak geri mereka itu dan pakaian mereka itu dengan tiada sangat pun memikirkan apakah yang patut diperbuatnya, mau pun tuntutan ugama atau kemanusiaannya.
Yang keempat anak-anak ketiga-tiga bahagi yang di atas ini yang sedang lagi di dalam sekolah dengan berangan-angankan salah satu kesenangan yang dipersukakan oleh ibu bapa mereka itu dan cadangan-cadangan hendak menjawat salah satu jawatan tinggi di dalam pejabat kerajaan negerinya dan menggantikan ibu bapa mereka itu seperti mana satu gantry jambatan atau military di dalam bandar-bandar dan kampungnya.
Masa kesusahan ini mereka-mereka yang di dalam tiga bahagi ini telah terjumlah di dalam dua bahagi sahaja:
1. Kaum-kaum bahagian satu dua dan tiga itu merasai kepayahan kerana memeliharakan maruahnya yang sedia kala itu dan kebanyakan daripada bahagian satu itu bertambah-tambah menjeratkan diri mereka itu dengan berhutang kepada sesiapa-sesiapa juga yang boleh dibolotnya, dan baru-baru ini banyak juga sudah kita lihat tali jerat-keringat menyekik mereka itu; kerana kebanyakan mereka itu sudah termasuk ke dalam lingkungan ((Judgement Debtors)), hukum terhutang dan yang korupsi. Dan kelas yang kedua itu maupun yang kerap dengan terampas sama sekali hak-hak mereka itu atau duduk hidup dengan kais pagi makan pagi pun belum pernah penuh perutnya; sehingga baru-baru ini setengah daripada mereka itu telah terpaksa meninggalkan rumah batu dan motokar-motokar mereka itu dan lain-lain kelazatan mereka itu yang daripada mudanya atau berpuluh tahun yang telah diperbiasakan oleh mereka itu, pergi berladang dan berhuma dan sebagainya. Tetapi maklumlah, mana boleh sudah tua kalau diluntur tentulah patah. Begitu juga urat yang ikat kemalasan yang telah keras itu kelak dibawa bekerja, tentulah binasa sama sekali. Dan yang akhir-akhirnya lebih azab daripada pendapatan yang dicadangkan itu.
2. Dan kelas ((bahagian)) yang ketiga itu hidup seperti cacing kepanasan, setengah daripadanya leka berjudi loteri, kuda lawan, kerana kepercayaan mereka itu kalau nasib mereka itu baik, tentu sekali ditolong Tuhan kena pass free dan pada masa itu bolehlah pulih balik kemakmuran mereka itu.
Saya tiada mengambil hirau kepada mereka-mereka yang masuk ke dalam tiga-tiga bahagian yang di atas ini kerana pada fikiran saya mereka itu sama juga seperti perkataan Inggeris, Passed Cure, yang berertinya sudah lewat diubat. Tetapi karangan syarikat yang pendek ini ialah saya hadapkan kepada bahagian yang keempat sahaja, kerana saya percaya jikalau sungguh kaum Melayu ini satu kaum yang bermaruah atau kaum yang benar sayangkan watan mereka itu, kemajuan atau kemunduran bangsa itu ialah mesti terbit daripada mereka yang termasuk di dalam bahagian yang keempat ini.
Sebelum saya datangkan buah fikiran, saya menasihatkan mereka itu terwajib terlebih dahulu saya huraikan keadaan mereka itu.
Anak-anak muda bangsa Melayu ini terbahagi di atas dua bahagi. Satu bahagi daripadanya mereka-mereka yang telah pass ((lulus)) sekolah Melayu, dan juga mereka-mereka yang telah terbuang daripada sekolah Inggeris sebelum sempurnanya pelajarannya. Satu bahagi lagi ialah mereka yang telah pas ((lulus)) di dalam sekolah Inggeris dan berangan-angan tinggi dan bercadangkan jawatan kerajaan yang telah jauh sangat daripada yang akan diperolehinya.
Terhadap bagi kaum Melayu pada masa ini dua perkara yang amat-amat besar yang belum lagi pernah terhadap bagi bangsa Melayu ini. Keadaan sekarang ini dunia Melayu ini ialah di dalam persimpangan jalan, Crossroads, satu daripadanya kebaratan dan satu lagi kedaratan.
top |