Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 May 1932, p.4

Surat Kiriman.

Chetty Melayu.

Tuan Pengarang Saudara, Penang, dengan selamatnya.

Ehsanlah kiranya Tuan akan memasukkan rencana saya yang tiada sepertinya dicelah-celah ruangan akhbar Saudara, mudah-mudahan oleh kerana pertolongan Tuan, insaflah atau sedarlah sekalian kaum bangsa kita Islam yang diperlakukan rebah seperti rencana di atas ini.

Adalah sebuah kampung yang berhampiran dengan bandar Kuala Pilah yang dinamakan oleh nenek-nenek moyang Sungai Dua Kecil, ramailah penduduknya anak-anak dagang yang sudah berumahtangga, dan bertanahair di dalam jajahan itu Minangkabau, Jambi, Kerinci, Jawa dan dua puluh anak Tongsan jati yang sudah dimasukkan Melayu namanya, termasuk jugalah di dalam golongannya itu lamalah masanya sekalian bangsa-bangsa yang tersebut duduk di dalam kampung itu, separuh ada 20 tahun, separuh ada 15 tahun, sudahlah masing-masing tampaknya mengadakan anak belaka oleh kerana mereka sudah lama duduk di situ adalah berpendapatan masing-masing separuh berpendapatan yang berlebih-lebihan daripada kefardhuannya separuh ada berpendapatan sekadar kefardhuan sahaja. Sungguh pun begitu, pihak kepada seseorang anak Minangkabau yang terkenal namanya ... yang boleh dikatakan berkelebihan pendapatan daripada sekalian bangsa yang tersebut.

Akan tetapi Tuan itu sedikit pun tiada menaruh timbang rasa tampaknya pada masa ditimpa oleh gelombang kesusahan ini termasuklah Tuan bak seperti rencana di atas ini, kerana apabila satu saudara yang berhampiran jirannya dengan Tuan itu apabila datang ke rumahnya membilang hal kesusahan atau pinjam meminjam terlampau sangatlah susahnya Tuan itu memperlaku permintaan separuh ada yang berlaku, separuh kosong sahaja, pihak kepada yang berlaku Tuan itu membuatlah dua jalan; nombor satu jalan misalnya kita pinjam wangnya berata-rata 20 ringgit, kita mesti simpan kepada Tuan itu barang mas yang berharga 15 ringgit beberapa banyak dipinjam, mesti dijelaskan keuntungan wangnya itu. Yang nombor dua jalan umpamanya kita pinjam 20 ringgit, dibuatlah sepucuk surat mengatakan Si Polan ada berhutang sekian banyaknya; tetapi mengikutlah sebagaimana adat biasa yang telah diperbuat oleh Pak Hitam atau Pak Gondol yang mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Alangkah pilunya hati kita mendengarkan bangsa kita Islam meminum darah kita Islam juga tiadalah ditentukan walaupun setanah sayur dengan Tuan itu laku jugalah yang bak seperti demikian.

Wahailah Tuan Yang Ariffin, daripada manalah Tuan mendapat ilmu pengetahuan haraplah kiranya saya kepada Tuan akan membentangkan jalan yang khasnya kerana saya belum lagi sampai darjat kepada darjat Tuan yang tinggi itu sebab Tuan sudah menjadi lalai pula namanya dan sudah ada pulalah tanda-tanda orang yang kuat beribadat tercap di dahi Tuan.

Haraplah Tuan terangkan jalannya di dalam Quran yang tiga puluh juz juzuknya berapa ayat nombor berapa surah, apa muka nombor, berapa atau daripada Hadis yang sahih sedia menanti jawapan daripada Tuan. Dan murahkanlah hati Tuan akan mengecap atau mentaba`ah sebuah kitab supaya boleh sekalian umat Islam dapat pelajaran daripada ilmu pengetahuan Tuan itu dan harap jugalah saya kepada Tuan terlebih baiklah Tuan membuka sebuah kedai di bandar Kuala Pilah serta Tuan minta kebenaran daripada kerajaan supaya senang segala kaum Islam yang ada tumbuh kesusahan boleh datang ke kedai Tuan membawa sekeping atau dua keping, kerana tiada payah lagi ke rumah Pak Hitam atau Pak Gondol!

Sehingga inilah saya merebahkan qalam berbanyak-banyaklah saya minta ampun dan maaf kepada segala Tuan-Tuan Pembaca Yang Ariffin, berganda-ganda lipat lagi kepada yang dihormati Tuan Pengarang kerana ruangannya.

Was-salam.

Hujan Malam.