Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 May 1932, p.6

Editorial.

Pelajaran Perempuan dan Kebebasan Mereka Itu.

Perkara yang sangat-sangat mustahak dan masih juga bersimpul mati belum dapat siapa-siapa pun lagi membukakan simpulan yang dahsyat ini beberapa lama sudah di dalam masa beberapa banyak pengarang yang telah menjalankan kalamnya di dalam perkara ini.

Telah masyhur di sebelah kita mesti adalah awal mula pertama hulubalang yang telah mengarang di dalam medan peperangan kebebasannya bangsa yang lemah lembut ini ialah sahibul al-ikhwan yang telah membahas perkara ini di dalam majalah al-Ikhwan daripada mula keluarnya dan mengeluarkan karangan yang bernama Alam Perempuan dan yang lain-lain buka cerita yang bersulam di dalamnya perkara ini.

Bahkan sebenar-benarnya tiadalah dapat dianggarkan sekali-kali bahwa Sahibul al-Ikhwan telah mengarang di dalam lawatan ini sama ada ialah yang awal pertama atau yang keduanya, yang ketiga atau yang ke seratus daripada orang-orang yang telah menulis di dalam perkara ini, tetapi barang siapa yang memperhatikan segala tulisan Sahibul al-Ikhwan itu nescaya dapatlah ia mengetahui bahwa Sahibul al-Ikhwan telah menyeru memberi pelajaran mereka itu terlebih dahulu daripada memberi kebebasan, dan pelajaran-pelajaran ugama yang tiada meninggalkan sedikit pun hak perempuan di dalam pergaulan kehidupan kaum yang umum daripada kebebasan yang layak dan patut baginya dengan sifat-sifat tiap-tiap seorang daripadanya akan menjadi ibu yang menzahirkan anak yang dibangsakan kepada keturunan bapanya yang diakui oleh syariat dunia.

Tetapi mengapakah sekarang kita lihat telah terbalik tunggang? Masing-masing merebutkan kebebasan terlebih dahulu daripada pelajaran? Apa adakah kebebasan dengan tiada pelajaran itu boleh mendatangkan kebajikan pada akhirnya?

Ingatlah wahai sekali saudara, bahaya ini sangat-sangat besar dan orang-orang yang berfikirkan wajib diberi pelajaran anak-anak perempuannya itu sangat-sangat sedikit jikalau pun tiada boleh dikatakan tidak ada sama sekali.

Inilah dia sekolah-sekolah perempuan yang dengan rahmat rahim kerajaan sendiri sahaja telah membangunkan dia. Maka kemudian daripada beberapa tahun berdirinya didapati oleh pengawas-pengawas kerajaan tidak sempurna pelajaran anak-anak perempuan itu dengan guru-guru perempuan melainkan terpaksa mesti dicampurkan anak-anak Kaum Ibu itu di dalam satu kelas bersama-sama anak laki-laki diajar oleh guru laki-laki.

Dan daripada awal bulan May ini telah diberhentikan lebih kurang 18 orang guru-guru perempuan kerana didapati .... Dengan tiada berganti.

Sekarang daripada manakah kita boleh mendapat guru-guru perempuan yang boleh mengajar anak-anak perempuan kita bagaimana yang dikehendaki? Dan bagaimanakah ikhtiarnya hendak mendapatkan guru-guru ganti guru-guru yang memperhargakan kebebasan terlebih dahulu daripada pelajaran ini?

Dan di manakah kita hendak mendapatkan guru-guru yang boleh menyemaikan perasaan ugama Islam memperhitungkan bahwa tubuh badan dan kehormatan diri perempuan itu terlebih dahulu berharga daripada segala jenis mata benda yang berharga di dalam alam dunia ini, di dalam pergaulan perhimpunan kehidupan tiap-tiap jenis manusia?

Dan bermula tiap-tiap perempuan yang meringan-ringankan kehormatan diri itu. Maka telah terkeluarlah ia daripada perhimpunan jenis manusia masuk ke dalam perhimpunan kehidupan segala jenis binatang yang jadi perburuan tiap jenis yang bernyawa.

Ingatlah, berfikirlah, bermuafakatlah, pada membantu kerajaan di dalam perkara ini jikalau belum ada daya upaya hendak mengadakan sendiri tempat-tempat pelajaran anak-anak perempuan kerana bahayanya maha besar ke atas anak-anak yang akan datang dan nasib keturunan yang hendak dipelihara adanya.