Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 11 May 1932, p.6

Editorial.

Persatuan Terbantut.

Pada masa yang kita sangat-sangat berkehendak kepada menyeru umat Melayu ini umumnya kepada persatuan dan menunjukkan kepada mereka itu akan jalan-jalan dan nasihat-nasihat yang boleh diperkukuh dan dikuatkan dengannya ikatan persaudaraan serta mengkemaskan simpulan mesra kasih sayang di antara satu dengan lain dengan maksud hendak memimpin mereka itu kepada jalan kemajuan dan kebahayaan dunia dan akhirat tiba-tiba pada masa yang sangat dihargai ini timbul sahaja satu perkara yang boleh merenggangkan ataupun merombakkan persatuan yang boleh dikatakan telah bermula orang-orang kita melangkahkan kaki perjalanannya kepadanya.

Beginilah tampaknya satu roh perasaan telah timbul daripada hati sebahagian daripada penduduk-penduduknya negeri Perak semenjak tersiar keputusan majlis orang-orang besar dan ulama Perak pada perkara yang berkenaan dengan masalah Perak jati dan Peranakan Perak itu. Rupanya mereka yang termasuk ke dalam bilangan Peranakan Perak itu ada berperasaan hiba dan jauh hati apakala mereka itu ketahui bahwa dengan keputusan yang tersebut iaitu, mereka telah terbeza daripada saudara-saudara mereka itu yang sesama anak Perak.

Setengahnya pula, barangkali oleh kerana pada fikirannya sangat besar tampak keputusan itu ke atas "dirinya" telah menumpahkan isi umatnya berhubung dengan perkara itu ke dalam suratkhabar-suratkhabar seperti bagaimana kita dapat ketahui daripada tulisannya anak perempuan Perak yang malang dan Melayu jati Peranakan Perak.

Kita belum dapat tahu dengan yakin sampai ke mana hadnya tujuan keputusan itu sebab hingga ini belum ada keterangan yang nyata pada yang demikian itu daripada anggota-anggota majlis yang dihormati itu. Hanyalah kita ketahui perbezaan di antara Perak jati dan Peranakan Perak. Tetapi bagaimana pun tentulah pekerjaan itu tidak kosong daripada suatu tujuan yang tidak susah mengagaknya bagi orang-orang yang ada mempunyai sedikit akal dan perhatian.

Kita bukannya hendak membantah apa yang telah ditamatkan oleh anggota-anggota majlis itu dengan sebulat suaranya sebab mereka itu ada berhak sebagai orang-orang besar sesuatu negeri pada menjalankan apa-apa yang difikirkan mereka itu munasabah dengan muslihat negeri dan rakyatnya, tetapi kita sebagai orang jurutulis yang berkhidmatkan ilmu tidaklah dapat kita hendak menyebut keputusan itu dengan keriangan sebab pada fikiran kita pada masa ini kita terlebih mustahak mencari jalan-jalan yang boleh menambahkan kerapatan kita sesama Melayu daripada berbuat sesuatu pekerjaan yang menyebabkan sebaliknya kita berani berkata begini. Kemudian daripada membaca tulisan anak perempuan Perak yang malang dan Melayu jati Peranakan Perak sebab jikalau dilangsungkan mereka pula akan cadangan-cadangan yang terkandung di dalam rencana-rencana mereka itu tentulah tidak ada mentadbir daripadanya melainkan cerai-berai dan berpuak-puak dan natijah ini pula tidak lain daripada lemah dan daif dan menjadi umpamanya yang senang kepada himpitan bangsa asing yang sememangnya mereka menanti-nantikan peluang yang seumpama ini. Inilah yang kita takuti sangat-sangat.

Sebagai lagi, keputusan itu tampaknya ada juga anak Perak jati sendiri yang tidak mempersetujui seperti bagaimana kita ketahui daripada rencana Perak jati Perlis yang kita salinkan daripada suratkhabar Majlis pada bilangan Saudara yang lalu itu.

Pendeknya, kita dengan beberapa hormat pohonkan kepada Majlis itu mintak diulanginya membahas perkara yang sangat-sangat penting ini mudah-mudahan dengan mengembangkan segala yang tersebut sama ada di dalam rencana kita ini ataupun di dalam rencana-rencana yang lain itu dapatlah kita kepada satu huraian yang bersetuju dengan kehendak kemajuan yang kita cita-citakan itu.