Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 Nov 1932, p.6

Editorial.

Cukai-Cukai Yang Telah dan Yang Akan. Tertanggung Ke Atas Rakyat daripada Masa Yang Akan Datang.

Telah berlaku dan telah hakikat akan berlaku lagi yang mana-mana belum berlaku di dalam tahun 33 akan datang ini beberapa macam cukai ke atas barang-barang yang masuk ke dalam Negeri Straits dan Negeri-Negeri Melayu ke atas beberapa banyak macam barang-barang yang belum pernah berlaku daripada mula kerajaan Inggeris menduduki dan menaungi negeri-negeri ini.

Kita tiada hendak mencampuri politik yang mengeluarkan sebab-sebab kewajipan mengadakan cukai-cukai yang dahsyat ke atas barang-barang yang masuk ke dalam negeri-negeri yang kehidupan perniagaan negeri-negeri itu daripada barang-barang yang masuk dari luar di dalam masa yang dahsyat ini.

Tetapi hanyalah kita hendak menzahirkan perasaan yang senantiasa beredar di dalam hati kita daripada mula kita mendengarkan cukai-cukai yang dahsyat ini keluar dan terbit daripada moga-moga pemerintah negeri-negeri atau penaungnya.

Perasaan yang sedih didatangnya di dalam masa yang sedih melihatkan hal kehidupan anak bangsa dan kaum yang telah terjatuh ditarik oleh getah hingga hampir-hampir kebanyakan daripada mereka itu telah tenggelam ke dalam lubang yang melemaskan kehidupan jikalau tiada kerana dikurniai oleh Tuhan bersambut di dalam masa kemalasan hidup ini dengan kemurahan beberapa macam barang-barang kemas masa kemewahan dahulu: masa naik beras segantang 1.20 sen tidak berapa terasa menyakiti umpama masa kemurahan ini.

Kerajaan senantiasa berkeras diri menjaga akan bangunannya dan petinya jangan susut daripada apa yang ada selama ini dengan mengeluarkan orang-orang yang bekerja dan mengurangkan gaji-gaji siapa-siapa yang ada tinggal lagi di dalam jawatan masing-masing serta menzahirkan hukuman cukai yang baru ke atas barang-barang yang masuk, tetapi rakyat negeri yang kebanyakannya apakah perkemasan yang disediakan oleh mereka itu dengan kenaikan harga barang-barang sebab cukai yang terkena ke atas barang-barang itu.

Pada hal, pada masa ini getahnya masih melekat di seluruh anggotanya dan menarik akan dia kelubung yang kelemasan bukannya masa dahulu, masa beras berharga 1.20 sen segantang dan pokok getahnya bila ditakik mengeluarkan susu yang cukup mengenyangkan perutnya dan perut anak-anak hingga melampaui kepada orang-orang yang tiada pernah menakik sebatang pokok getah pun.

Ingat dan sedarlah akan dia wahai sekalian Saudara bahwa gula yang berharga 5 sen sekati ini telah naik harganya 12 sen di dalam setengah daripada negeri-negeri yang telah mulai menjalankan cukai ini dan sepatu budak yang berharga 3 sen telah jadi harganya hampir-hampir seringgit dan kain yang berharga 25 sen satu helai telah jadi 50 sen atau 75 sen atau lebih.

Masa dahulu beras berharga segantang 1.20 sen tiap-tiap seorang keluar daripada rumahnya dengan senang sahaja kembalinya pada petang hari mendapat lebih daripada 1.20 sen itu, tetapi pada masa ini orang-orang yang tiada pekerjaan telah bertambah banyak dan pencarian yang hendak mendapatkan 5 sen hingga mengeluarkan air mata payah memperoleh akan dia kerana yang menuntut pekerjaan terlalu banyak dan pekerjaannya habis ditarik oleh getah kelubung yang dalam, apa tidakkah kita mendengar masa ini tiap-tiap saudagar mengarang kerana kebanyakan mereka itu mengantuk duduk menguap di kedai-kedai tidak ada pembeli-pembeli melawat ke kedainya sehingga kadar yang boleh mengeluarkan belanjanya sahaja payah laku di dalam masa segala barang-barang dagangannya sangat-sangat murah pada masa ini.

Dan daripada kesusahan saudagar-saudagar kerana kesusahan jalan perniagaan di dalam negeri sama bagaimana perjalanan tabiat kejadian kehidupan perhimpunan yang telah dijadikan oleh Tuhan. Maka apakah akan jadi kedai-kedai dan perniagaan saudagar-saudagar itu kelak jikalau semua harga barang-barang telah naik dengan harga yang mahal pada masa yang dahsyat ini, dan apakah akan jadi perjalanan tabiat semula jadi bagi perhimpunan kaum pada masa itu.

Sehingga ini rasanya memadailah kita menulis di dalam perkara ini pada permulaan kerana mengingatkan saudara-saudara kita bagi kesediaan pada masa yang akan datang.

Maka tiadalah kita memanjangkan perkataan lebih dahulu-dahulu apa-apa pendapatan yang akan timbul kemudian daripada rakyat negeri ditimpa oleh bersapaan kesusahan hidup di dalam negeri dan apa-apa perjanjian Tuhan yang akan berlaku pada masa itu, kerana kita tidak sekali-kali perfikir bahwa kerajaan yang maha adil ini hanyalah semata-mata memikirkan perbendaharannya sahaja tidak menaruh timbangan sama ke atas rakyat negeri yang akan ditimpa oleh merbahaya kesusahan hidup di dalam masa yang dahsyat yang hendak dijalankannya cukai-cukai bagi muslihat perbendaharaan itu.

Sungguh pun demikian, maka tiadalah sayogianya sekali-kali kita sekalian berdiam diri tidak bersedia bagi masa yang belum dapat diteka-teka hingga ke mana sampai dahsyat kehidupan yang khas dan umum ini.