Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Nov 1932, p.7

Surat Kiriman.

Faedah Perniagaan.

Bahawasanya berkembanglah hati penulis ... seperti berkembangan bunga-bungaan di taman, apabila penulis menghalakan pemandangan dan fikiran kepada pergerakan setengah daripada saudara-saudara kita yang muda ((anak Selangor)) itu pada masa ini masing-masing telah sedar serta menyingsingkan tangan baju kemalasan, kerana menghulurkan tangan kerajinan dan perusahaan yang diharapkan dengan dianyalah boleh mengangkatkan nama bangsa dan negeri ke serata-rata alam yang telah maju, ke manakah haluan mereka itu? Dan apakah tujuannya?

Maka teranglah pada masa itu mereka itu menujukan haluannya ke pangkalan "Perniagaan" dan menghidupkan semula pertukangan bangsa Melayu yang hampir-hampir hilang lesap selama ini, di mana boleh kita berjumpa?

Ialah di mana-mana pekan sehari, terutama Pekan Ahad di Kampung Baru Kuala Lumpur, supaya terbentanglah tujuannya mengharumkan nama dan tanahairnya, begitulah! Ayuhai saudara-saudaraku perjalanan laki-laki yang dikehendaki oleh bangsa dan negeri.

1. Hendaklah kita maju.

2. Hendaklah kita sabar.

3. Hendaklah kita setia.

4. Hendaklah kita percaya di antara satu sama lain, dan

5. Hendaklah kita berjalan lurus ((betul)).

Maka percayalah bahawasanya jikalau saudara-saudaraku menyandang yang lima perkara ini, nescaya saudaraku mendapat keuntungan yang besar. Maka bukanlah sahaja keuntungan itu pada pihak harta bahkan mendapat pula kepada pihak "nama orang dan sebutan yang baik".

Tuan-Tuan Pembaca tentu sudah maklum adapun berniaga itu ialah induk ((ibu)) pekerjaan dengan dialah menambahkan kekayaan suatu negeri, marilah kita layangkan pemandangan kepada bangsa Barat ((Eropah)).

Bahawasanya mereka itu tiada mencapai akan kelulusannya di dalam kebanyakan negeri-negeri yang di sebelah Timur ini melainkan dengan sebab mereka itu berlayar di dalam lautan yang kuat berniaga, oleh sebab besar faedah berniaga itu mengamat-amat telah tiap-tiap bangsa Barat ((Eropah)) mengajarkan anak pinak mereka itu ke dalam sekolah-sekolah buat mendidik bagi perniagaan dan pertukangan.

Pendeknya, adalah berniaga itu memberi bekas yang terang dan ialah suatu sebab yang kuat atas tamadun dan kebajikan pada tiap-tiap waktu. Kerana itulah utusan berkenal biasa, dan menambah ia bagi kekayaan negeri, dan mengangkat ia kepada setinggi-tinggi pangkat, bahkan inilah setengah daripada faedah berniaga.

Had inilah penulis merebahkan kalam dengan menuntut berbanyak-banyak maaf atas serba serbinya dan berbanyak-banyak terima kasih ke hadrat Tuan Pengarang Saudara kerana ruangannya. Was-salam.

Anak Melayu.