![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 16 Nov 1932, p.1
Leader Article.
Kemajuan Kita.
Perkataan ini selalu kita dengar dan lihat di dalam akhbar-akhbar kita tidak ada fikiran lain melainkan dengan mencari kemajuan, apa yang kita hendak memajukan itu belum ada yang tetap. Itulah jadi selalu terintai-intai.
Pekerjaan yang kita hendak memajukan itu jikalau bersetuju kita sekalian ialah perkara yang pertama, yang boleh membawakan kita ke hadapan dengan tidak bergembala dan masing-masing akan menjalankan pekerjaan itu mengikut aturan. Oleh sebab kemajuan itu bersangkut dengan negeri maka aturannya tentulah dengan undang-undang negeri.
Sekarang cuba kita menung sejurus fikirkan apa perkara yang pertama patut diaturkan, bukankah kehendak kita sekalian merampas sekalian perniagaan dan pekerjaan yang ada dalam negeri kita ini? Yang demikian, ini dinamakan "Nationalist Fever" atau Demam Kebangsaan yang belum lagi layak bagi kita.
Pendeknya kita mesti ganti tempat-tempat yang diduduki oleh bangsa-bangsa lain itu. Dengan ini, adakah kita tau berapa orang jumlah kita sekalian dan berapa jumlah bangsa-bangsa lain itu yang sedang menghimpit kita? Lain daripada bangsa Tuan kita?
Perkara ini tidak dapat kita bandingkan dengan itu dan ini. Negeri-Negeri yang cukup maju itu kita tau nak negerinya ada lebih daripada anak negeri luar. Bagi pihak kita cuba lihat dalam Report Negeri kita, Perak sahaja, bagi tahun yang lepas. Kita dapat jumlah bangsa kita Melayu 272,347, Cina 325,793, dan Hindu 160,460. Adakah mencukupi orang kita yang ada ini menggantikan tempat mereka itu?
Di sini baru kita dapat tengokkan apa perkara yang pertama mesti kita aturkan, iaitu tentu sekali kita mesti bermuafakat dengan pihak ibu pada mengatur dan menjalankan dan mereka itu pun hendaklah bersama-sama berjalan ke medan peperangan kemajuan kita.
Perkara yang lain-lain itu barulah boleh kita rundingkan bagi kegunaannya. Jikalau tidak dengan aturan itu, telah tentu kita bersia-sia sahaja berjalan mendapat kemajuan dengan tidak kemenangan.
Yang dikatakan ugama kita pula menggalakkan kemajuan kita, tentu sekali perkataan ini tidak diterima oleh yang berpengetahuan, melainkan bersangkut dengan tok-tok alim kita yang berumah kaca.
Maka dengan ugama kita Islam inilah senjata kita yang paling tajam dan kuat buat mengalahkan sekalian musuh-musuh kita itu. Pada masa ini, Alhamdulillah, perasaan mengetahui hakikat yang sebenarnya itu telah merebak menjadi kuman penawar di dalam otak kita tok alim yang berumah kaca itu.
Kita tau otaknya amat keras menolakkan komen ini selagi belum dipecah rumah-rumah mereka itu tidaklah dapat komen itu masuk, tetapi Insha´Allah, pada pandangan kita dengan lemparan sebiji batu yang kecil itu bertalu-talu tentu sekali meratapkan.
Jika dengan batu yang besar kita takut kaca rumah mereka itu akan membunuh isi rumahnya, tidakkah mereka itu tau yang kita sedang sayangkan bangsa kita?
top |