Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Nov 1932, p.4

General Article.

Kesedihan Melayu.

Beginilah jika dipandangkan umat Melayu di dewasa ini baharu hendak merintis kemajuan sudah ditimpa kemalangan.

Malang yang mana ialah Tuan-Tuan Pembaca lebih-lebih terpandang dengan nyata kerana dilawati oleh kemalangan dunia yang dirasai oleh secepa-secepa [?] alam dunia ini, terutama sekali bagi kita umat Melayu baru sahaja hendak menari dan melatihkan diri di taman kemajuan, tiba-tiba malang sudah tertimpa oleh kerana kejatuhan daripada serba-serbi dagangan yang keluar daripada hasil-hasil Melayu yang terutama getah, kelapa dan ...

Waktu dagangan Melayu yang tengah sombong harganya, umat Melayu tidak sedarkan diri dan tidak hendak digunakan buat kebajikan di atas tanahair dan kaum bangsanya kerana disamun oleh nafsu kelobaan bagi diri masing-masing malah berkata tidak dihiraukan seorang kepada seorang melainkan cuma hendak menunjukkan keadaan diri sahaja.

Dewasa ini barulah Melayu sedarkan dirinya hendak mencari kemajuan konon, tetapi apa daya ...

Oh bangsaku Melayu! Melayu bersifat kejadian daripada bangsa yang mulia. Maka janganlah kita sekalian putus asa dan tertipu diri oleh kemalangan dunia waktu ini. Biarlah walau hilang jiwa sekalipun yang kita mesti tinggal tetap dan tugaskan hati buat mencari keselamatan asalkan selamat bagi kaum dan bangsa kita yang terlebih-lebih mulia-mulia.

Penulis tersedar juga seperti serata rencana yang berkepalakan, mana pergi pendita-pendita Melayu, karangan Tuan Osman, orang di dalam suratkhabar Saudara, pada bilangan 247 di muka 5, ruangan 3, apa kata Tuan-Tuan Anggota Persatuan Melayu Penang dan .... Adakah boleh Tuan buat menolong bangsa kita yang tengah berkehendakan bantuan sangat-sangat daripada bangsanya di waktu ini supaya terlepas sekalian umat Melayu daripada menjadi hamba bangsa lain yang terutama ....

Kerana buat sementara ada harga dagangan dan pencarian kita Melayu ini di sini, cubalah kita mencari ikhtiar buat menolong seperti kehendak saudara-saudara kita. Itu pun satu kemajuan juga.

Di sini terhempaslah pena penulis oleh tersedar amaran Tuan Penerbit Saudara jangan berpanjangan rencana. Jika terlanggar sedikit harap diampunkan sahaja serta berbanyak-banyak salam kepada Tuan Pengarang dan kepada sekalian Pembaca yang budiman adanya.

Muhammad Ghouse Yahya.