Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Oct 1932, p.1

Leader Article.

Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Kejatuhan Melayu.

Oleh pertama perkara yang menyebabkan kejatuhan Melayu ini ialah kekurangan orang-orang Melayu membuat perniagaan.

Kebanyakannya suka bekerja makan gaji bagi pihak orang-orang di pekan. Bagi pihak orang-orang darat pula, mereka itu tiada melebihkan perusahaan mereka itu daripada menanam padi dan sayur-sayuran.

Saya ada beberapa kawan yang bekerja menangkap ikan, tetapi apakala mereka itu dapat wang, katalah lima ringgit, mereka itu menghabiskan wang itu dahulu, baru turun balik ke laut.

Kebanyakan orang menghantarkan anak-anak mereka itu ke sekolah dengan hajat supaya dapat mereka itu ((kanak-kanak itu)) sampai ke darjah yang boleh jadi kerani atau sebagainya. Tiada mereka itu memikir jika kanak-kanak itu hendak berniaga.

Hendaklah kita ketahui bahwa bukannya sekolah itu suatu tempat yang seolah-olah kilang membentuk kanak-kanak yang menuntut ilmu itu sebagai bentuk bagi bekerja di pejabat-pejabat sahaja. Hanya sanya sekolah itu ialah tempat pelajaran dan tempat didikkan supaya kanak-kanak itu berperangai sebagaimana yang dikehendaki oleh pergaulan dunia, istimewa pula pada zaman meleset ini sijil-sijil ((certificate-certificate)) yang diperolehi di sekolah-sekolah walaupun Junior atau Senior, tiada berharga dua sen pada kebanyakan pejabat-pejabat.

Kita boleh berkata kemunduran Melayu ini ialah disebabkan oleh himpitan bangsa-bangsa asing, istimewa ((Cina)) yang melanggar Tanah Melayu ini berpuak-puak. Tetapi hendaklah kita ketahui bahwa bangsa-bangsa asing yang datang begini banyak ialah sebab mereka itu tampak jalan bagi kesenangan kehidupan mereka itu, maka tiadalah mereka itu melepaskan peluang yang sangat berfaedah bagi mereka itu apa lagi tentang berniaga yang orang-orang Melayu tiada mau membuatnya.

Kemakmuran, kemajuan dan kekuatan sesuatu negeri itu bergantung kepada perniagaan negeri itu, sebab itu tiada hairan jika kita dapati bangsa-bangsa asing begitu makmur, maju dan kuat sehingga dapat mereka itu memaksa kerajaan membuka jawatan Malayan Civil Service kepada mereka itu. Sebaliknya, adalah Melayu ini hal keadaannya miskin, mundur dan lemah yang tiada patut sekali-kali boleh jadi demikian di dalam negeri dan tanahairnya sendiri.

Musim Meleset ini ada sedikit menyedarkan Melayu. Oleh sebab kepicikan wang terpaksalah Orang Melayu mengeluarkan modal dengan berkongsi atau sebagainya dan berniaga. Sekarang baru kita dapati kedai-kedai Melayu membuka pintunya, kedai rempah cabai pun makin biak dan kedai-kedai lain yang tiada pernah kita lihat Melayu membukanya pun sudah makin bertambah. Pekan Ahad, Pekan Sehari dan sebagainya pun barulah ada. Alhamdulillah. Berbanyak-banyak syukur kepada Allah. Sanya Meleset ini suatu rahmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wa-ta`ala ke atas bangsa Melayu.

Di dalam hal menuntut ilmu pun, Melayu tersangat rendah darjatnya, sehabis-habis tinggi ilmu yang dituntut oleh anak-anak Melayu ialah Senior ((Darjah Sembilan)). Kita belum lagi melihat kanak-kanak Melayu mendapat "Queen's Scholarship" di seluruh alam Melayu.

Hendaklah kita ingat bahwa menuntut ilmu wajib di atas tiap-tiap muslim laki-laki dan perempuan ((Hadis)): Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina sekalipun ((Hadis)). Apatah lagi ke Eropah!

Pada perhatian kita, bangsa Melayu ini mundur juga di dalam agama. Ada juga hingga masa ini kita dapati orang-orang Melayu memegang kepercayaan yang sangat berlainan daripada pengajaran agama Islam yang maha suci. Tambahan pula, Cik-Cik Pemuda yang mengikut cara Eropah yang sekerat jalan itu kita takut merekalah yang berjauhan mundur di dalam perkara agama.

Sebabnya jadi dua-dua perkara yang di atas ini, sangat-sangat terangnya iaitu kebanyakan kita tiada mengetahui makna-makna dan hakikat al-Quran al-Adzim. Kita sangat-sangat dukacita mengenangkan bagaimana kita terpaksa menggeletar oleh sebab kena pukul dari belakang dengan rotan pada masa kecil kerana tiada dapat memuaskan hati si pukul dengan bacaan al-Quran. Bacaan seperti burung. Apakah guna bagi kehidupannya? Kita memahirkan mulut kita dengan bacaan yang tiada bermakna selain daripada membaca di kubur, yakni menjadi lebai! Hendaklah diingat bahwa bukan semua Melayu jadi lebai, bahkan kebanyakan mereka itu tiada suka menjadi demikian.

Wah! Alangkah berfaedahnya jika pada masa kecil diajarkan makna-makna Quran sekurang-kurangnya mengikut maknanya satu persatu? Tiada syak Quran itu mengandungi beberapa perkara yang sangat-sangat berfaedah dan sangat mustahak bagi kesucian dan kesempurnaan kehidupan kita. Tetapi apalah guna sekalian itu jika tersembunyi daripada kita? Kita tahu ada Quran diterjemahkan ke bahasa Melayu, tetapi bagaimanakah Melayu kehendak memperolehinya? Melayu sangat miskin!

Kita merasai malu setiap kali apabila kawan-kawan kita yang tiada berugama Islam tetapi berperasaan tinggi ke arah Islam bertanya, apa ada tersebut di dalam al-Quran, tentang sesuatu perkara. Apa hendak dijawab melainkan garuk kepala sahajalah.

Wah! Tersangatlah keliru bagi seseorang yang memegang sesuatu kepercayaan yang disangkanya benar apabila dibanding dengan ajaran Quran dapat diketahuinya dengan cukup terang akan batal kepercayaannya itu.

Wahai nasib! Bagaimanakah dapat Melayu kemakmuran, kemajuan dan kekuatan, padahal, keunduran mereka itu bukannya di dalam pergaulan kehidupan sahaja, bahkan di dalam agama pun begitu jua. Ludah ke langit tampak batang hidung sendiri!

Pena Pengait.