Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Oct 1932, p.7

Surat Kiriman.

Bagaimana Suratkhabar Boleh Memajukan Sesuatu Bangsa.

Oleh Zainal Abidin S.M.

Dengan beberapa suka hati saya menyambut ikhtiar Saudara bilangan yang pertama bagi tahunnya yang kelima keluaran hari Sabtu yang telah lalu, dan rupanya yang elok itu memaksa saya mengeluarkan sedikit buah fikiran di atas kebajikan sesuatu suratkhabar bagi sesuatu kaum atau bangsa.

1. Daripada keadaan sesuatu suratkhabar bolehlah dapat diketahui hal keadaan anak-anak negeri dari mana terbit suratkhabar itu. Di dalam alam Melayu ini banyaklah suratkhabar-suratkhabar yang telah terbit daripada beberapa negeri-negeri Melayu ini dan daripada tiap-tiap suratkhabar Melayu yang ada sekarang bolehlah diketahui bukannya sahaja hal keadaan ilmu dan pendapatan pengarangannya sendiri. Akan tetapi hal keadaan dan ilmu pengetahuan dan kemajuan tiap-tiap satu negeri di dalam alam Melayu ini.

2. Di dalam masa lima enam tahun ini dengan sebab seruan suratkhabar-suratkhabar beberapa ibu bapa kaum Melayu telah mengambil lebih berat di dalam perkara pelajaran anak-anak mereka itu dan beberapa anak-anak perempuan kaum Melayu telah dihantar ke sekolah-sekolah hingga beberapa anak-anak perempuan yang telah tamat di dalam sekolah telah menjadi guru di dalam sekolah-sekolah perempuan dengan membawa beberapa fikiran baru dan peraturan yang baru.

3. Suratkhabar-suratkhabar Melayu pada masa ini tiada sunyi daripada menyeru akan kaumnya mengambil bahagiannya dan haknya di dalam sebarang pekerjaan di dalam alam Melayu ini. Dan dengan sebab seruan ini, telah bangkit beberapa kedai-kedai Melayu yang akan menjadi gudang-gudang yang besar pada hari yang akan datang kelak. Dan lagi pekerjaan-pekerjaan yang tiada sekali-kali disangka boleh diperbuat oleh orang-orang Melayu kita telah terdiri seperti membuka kedai tukang cukur kedai dobi dan lain-lain.

4. Di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu ada beberapa iklan menunjukkan perniagaan Melayu dan apabila pembaca-pembaca yang belum pernah menjadi saudagar membaca iklan-iklan perniagaan Melayu, bangkitlah perasaan mereka itu dan lama-kelamaannya bertambah-tambahlah bilangan saudagar-saudagar Melayu di dalam alam Melayu ini. Dan pembaca-pembaca yang beroleh kasih sayang kepada watannya apabila membaca iklan-iklan yang tersebut itu sukalah mereka itu membantu dan memajukan perniagaan kaum sendiri.

5. Suratkhabar itu suara kaum daripada karangan-karangan yang dimasukkan ke dalamnya bolehlah pembaca luar negeri ketahui hal kehidupan sesuatu bangsa dan apabila dibacanya sesuatu pendapatan daripada lain negeri tidak dapat tiada contoh yang baik itu tentulah ditiru dan baguskan. Lihatlah kuasa sesuatu suratkhabar.

6. Di dalam tahun ini sahaja beberapa Pekan-Pekan Mingguan yang telah terdiri di dalam beberapa tempat-tempat di dalam Semenanjung ini. Bagaimanakah boleh menjadi begitu? Tiada lain daripada suratkhabar juga yang menceritakan hal sesesuatu pekan. Kemudian apabila dibaca oleh pembaca-pembaca lain-lain negeri ditirunya contoh-contoh yang bagus itu.

7. Suratkhabar tiada berhenti daripada memberi makanan otak kepada pembaca-pembacanya dan karangan-karangan yang dikeluarnya itu tidak dapat tiada akan memajukan fikiran pembaca-pembacanya dan meluaskan otaknya dan melebihkan keberaniannya dan perasaannya.

8. Daripada suratkhabar-suratkhabar juga boleh diketahui apa-apa bahaya yang telah berlaku di dalam sesuatu tempat dan fasal-fasalnya supaya pembaca-pembaca boleh menyediakan diri masing-masing menolakkan bahaya-bahaya itu dan menyelamatkan harta benda masing-masing.

9. Suratkhabar juga yang akan menolong kita membuangkan adat yang lama-lama tiada baik itu dengan menggantikan dengan adat-adat yang baru.

10. Dengan pertolongan suratkhabar juga terutama sekali akhbar Saudara boleh diharap kehapusan kaum lebai pondok dan cawangan-cawangannya. Memadailah diberi sepuluh jalan ini bagaimana tiap-tiap suratkhabar itu boleh memeliharakan memajukan dan menyelamatkan sesuatu kaum atau bangsa. Sekarang kerana kita sekalian telah ketahui dan mengerti kegunaannya suratkhabar-suratkhabar kita dengan seboleh-bolehnya. Saya rasa terlalu dukacita memikir suatu negeri yang besar dan masyhur dan yang dipenuhi oleh beberapa anak-anak Melayu yang berpelajaran dan yang memegang jawatan kerajaan yang tinggi-tinggi belum lagi ada suratkhabar.

Jikalau di dalam Pulau Pinang yang terlalu kecil ini ada beberapa suratkhabar-suratkhabar, mengapa di dalam negeri Kedah belum ada lagi suratkhabar? Wahai saudara-saudaraku di Kedah, bilakah lagi Tuan-Tuan akan mula mendirikan suratkhabar-suratkhabar di dalam negeri Tuan?

Bukankah ada beberapa banyak penulis-penulis dan ahli-ahli pengetahuan di dalam negeri Tuan-Tuan?

Janganlah pula Tuan-Tuan tunggu lagi, hingga terbit suatu akhbar daripada Pulau Jerejak atau Pulau Kandy!

Was-salam.

Saudara: Barangkali Tuan Zainal Abidin belum tahu bahwa Yan, Kedah, ada mengeluarkan satu suratkhabar dua kali sebulan, namanya "Nun".