Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 5 Oct 1932, p.4

General Article.

Negeri Brunei dengan Akhbar Melayu.

Bolehlah diagak bahwa negeri Brunei itulah sebuah negeri yang terkurang sekali dilawati akhbar-akhbar Melayu, pada hal tidak kurang ramainya dengan orang-orang Melayu yang berilmu, bergelar dan tidak juga kekurangan dengan mereka yang berada, kiranya jika dibandingkan berapakah harganya suratkhabar-suratkhabar itu.

Sedapkah kedengaran ke telinga-telinga anak-anak Melayu di Brunei?

Kiranya dikata orang luar yang negeri Brunei itu masih di dalam gelap?

Dan anak-anak negerinya masih bebal dan belum mengenal mutu suratkhabar yang telah diumpamakan ialah cermin segala manusia penduduk bumi untuk memandang cacat manis di atas mukanya?

Sehabis-habis bodoh manusia dan serendah-rendah hemat ialah yang mengata suratkhabar tidak faedah, agama dibahas-bahaskan dalamnya dikata karut! Mengapa? Adakah orang-orang bebal dan jahat itu boleh mengeluarkan fikiran baik di dalam akhbar? Jikalau tidak percaya apa yang saya kata, cubalah ambil contoh sudahlah kuli PWD itu jadi kerani atau sekurang-kurangnya ditangkap jadikan mata-mata.

Apa kata, bolehkah si kuli membuat apa-apa seperti yang dibuat oleh mata-mata?

Betul sekali itulah yang sehabis-habis benar bahwa boleh dikata tiga suku Melayu di Brunei itu tidak berapa mengerti Bahasa Melayu tiada dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu, begitulah jika tidak mengerti tidak berguna dan tidak faedah, tetapi apa kata kalau mengaji Quran atau mengaji Sifat Dua Puluh ... erti tak mengerti mesti terima sahaja orang!!!

Siapa ingda ((tidak)) percaya jadi kafir!!!

Dari sekarang saya persilakan anak-anak Melayu yang berada di Brunei, patutlah membeli suratkhabar-suratkhabar Melayu, kalau tak mengerti boleh tanya, jangan malu!

Sebab di dalam suratkhabar Melayu kamu akan terpandang beberapa pengajaran terutama membela tanahair kamu, Raja-Raja kamu ... apa adakah senang di hati manakala memandang bendera itu bukan bendera kita, pejabat-pejabat penuh dengan Cina, kedai-kedai semua Cina, pasar Cina, membuat rumah Cina, kelaham [?] Cina, Melayu jadi pengail.

Gasak Jangan Sopan!!!

Anak Si Amat Za`aba Hamid.