Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 Oct 1932, p.6

Editorial.

Perubahan dan Permintaan Saudara Kepada Penulis-Penulisnya.

Saudara pada kali ini datang menziarahi Tuan-Tuan Pembacanya dengan bersifat baru iaitu halaman mukanya telah bertambah daripada biasanya delapan muka kepada 10 muka pula.

Yang demikian ini bukanlah dengan sebab taat surat permintaan banyak daripada Tuan-Tuan Pembacanya yang dihormati, sungguh pun perubahan ini rasanya belum boleh sangat ditanggungkan ke atas tengkuk Saudara, apalagi masa yang padanya siasat tiap-tiap satu perusahaan itu ialah mengurangkan belanjanya seberapa boleh. Tetapi oleh kerana Saudara ini dibangunkan dengan tujuan hendak berkhidmatkan kaum bangsanya dan bertumpukan mereka itu pada ketegapan perdiriannya. Maka tiadalah elok ia meingkarkan kepercayaan mereka itu di atas kebolehan kemajuannya walaupun ditambahi lagi bebannya apakala mereka itu telah menyeru kepada yang demikian ini.

Maka seberapa daya upaya Saudara akan Semenanjung di atas batu jemalanya apa-apa juga cita-cita yang banyak yang datang daripada Tuan-Tuan Pembaca yang dihormati berkenaan dengan kemajuan dan kebaikan namanya, dan sedia pula ia mengirim teguran yang bersih dan pertunjukan yang ikhlas kepada apa-apa cadangan yang boleh memimpin akan dia kepada keselamatan kehidupannya.

Sesungguhnya dalam masa empat lima bulan yang lalu ini, Saudara telah merasai sedikit kesugulan oleh sebab tidak dapat hendak menyiarkan segala surat kiriman yang sampai kepadanya, dan terpaksa ia memilih mana-mana yang difikirkannya terlebih mustahak didahulukan atau yang terlebih dikehendaki oleh masa kita sekarang ini sahaja, semuanya ini ialah oleh kesempitan ruangannya.

Maka kepada Tuan-Tuan yang sudi menghantarkan karangan-karangannya itu, Saudara diucapkan limpah syukur dan terima kasihnya, dan kepada Tuan-Tuan yang diterimanya karangan-karangannya, tetapi tidak dapat disiarkan ia meminta maaf banyak-banyak sahaja.

Sekarang, Alhamdulillah, dapatlah kita melapangkan halaman Saudara! Lebih daripada biasa dan kita harap dengan perubahan ini bolehlah kita tunaikan kewajipan kita tentang memuatkan surat-surat kiriman yang kita terima itu.

Tetapi sungguh pun begitu kita berharap jua bahwa Tuan-Tuan yang sudi menghantarkan surat-surat kiriman hendaklah menulis dengan sekira-kiranya tiap-tiap satu rencana itu tidak mengambil tempat yang lebih daripada satu ruangan setengah sahaja atau satu muka foolscap kertas supaya dapat kita mengkhidmatkan Tuan-Tuan Penulis yang lain-lain itu semua sekali sebab Tuan-Tuan lebih maklum bahwa kita ada menerima pada tiap-tiap hari beberapa banyak surat-surat kiriman.

Dan lagi, kita mintak Tuan-Tuan yang menulis kepada kita itu,

1. Menulis dengan terang jangan seperti cakar ayam sahaja.

2. Menulis sebelah muka kertas sahaja.

3. Tiap-tiap surat hendaklah kegunaannya mengambil dan disertakan dengan nama penulis dan alamatnya yang sebenar, bukannya kerana hendak disiarkan, ialah tanda keikhlasan penulis itu.

Kita sangat hairan bahwa sungguh pun sudah beberapa kali kita nyatakan permintaan kita ini di halaman Saudara, tetapi tidak juga diendahkan oleh setengah-setengah penulis kita sebab selalu juga kita menerima surat-surat yang tertulis dengan khat yang tidak dapat kita baca dan setengahnya pula menulis pada dua belah muka kertas, dan setengahnya lagi perkataan yang khas bagi seseorang dan tidak menyertakan nama dan alamatnya.

Maka Tuan-Tuan yang menulis seumpama ini iaitu tidak mengendahkan permintaan kita itu tidaklah kita endahkan pula akan tulisannya itu.