Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 29 Sep 1932, p.7

General Article.

Saudara: Perlangkahan Tahun Yang KeTujuh.

Oleh Abdul Rahman al-Wali.

Bahawasanya adalah semenjak terzahirnya akhbar Saudara ke alam Pulau Pinang kita ini, pada setiap-tiap waktu dan masa di dalam enam tahun itu sedia menjalankan segala kefardhuan kaum dan bangsa dengan daya upayanya yang terhadap kepada sekalian kewajipannya sebagaimana secara satu suratkhabar kebangsaan Melayu dan ugamanya di dalam segala hal yang boleh membawa kepada kebaikan kaum dan bangsanya buat menjaga dan memelihara kebinasaan dan keselamatan dipercaturan pergaulan bersama dan tetap bergantung kepada kebenaran atas had-had yang halal dengan tujuan muslihat yang baik dan bererti sempurna.

Bahkan kita sedia maklum dan mengambil insaf bahwa sesungguhnya tanggungan seseorang yang terhadap kepada jalan hendak menyelamatkan kaum dan ugama itu bukanlah satu pekerjaan yang dikatakan mudah di atas tiap-tiap tanggungan seseorang yang ada mempunyai darah kebangsaan itu, yang boleh sahaja dibuat kerana pertamanya hampirlah kita boleh mengakui bahwa keadaan ilmu dan kepandaian serta kekuasaan buat mencukupi syarat-syarat yang tak dapat tidak mempunyai perhubungan yang sangat-sangat rapat sebagaimana bidalan: ringan sama dijinjing, berat sama ditanggung.

Dengan apa-apa pekerjaan yang dimaksud, supaya sampai bagaimana cita-cita yang berharga, untuk mendapat hal yang seumpama ini, mestilah kaum-kaum kita membuangkan segala sifat hasad, dengki, umpat keji, yang memang sesuatu kepujian di sisi kaum Melayu, padahal belum mengerti seumpama itulah kerana sesuatu daripada penyakit yang besar untuk penjahanam kaum dan bangsa kelak dengan ini wajiblah kaum bangsaku mengambil perhatian yang lebih dalam dan sempurna di fikiran yang sejati, moga-moga terselamat kaum dan bangsa kita di dalam kesejahteraan supaya dapat mendaki gunung kemajuan yang dicita-cita. Mudah-mudahan berbahagialah kehidupan kaum dan bangsa kita di alam kemajuan di dunia adanya. Insha´Allah.

Sebagaimana kita ketahui akan kefardhuan kaum Melayu di dalam pergaulan hidup dan kefardhuan bangsa muslimin sangat dipentingkan dan sangat diutamakan, yang sangat diperhatikan supaya darjah kaum Melayu bahkan muslimin boleh jadi naik dengan setinggi-tingginya pada mata dunia, menurut sebagaimana kalimat Islam ada terikat di dalam Persatuan. Perhatikanlah!

Dengan lantaran ini, wajib kaum Melayu mengetahuinya supaya mata kita terbuka buat memandang akan keadaan umat yang telah menerima kelazatan dan memegang teraju kemajuan itu yang mana mereka itu telah mendapat menduduki mahligai kesenangan dan bermahkotakan kesentosaan hidup, di dalamnya bangsa asing yang telah kita pandang sebagaimana jadi, dan kesenangan mereka itu di masa kini; padahal keadaan mereka itu tidak berlebihan daripada sifat kita kaum Melayu sebagaimana seorang yang bersifat "manusia", otak kita kaum Melayu ada serupa jua dengan otaknya bangsa Barat ((yang berkemajuan)), tetapi perbezaannya, otak bangsa Barat ada selalu terasuh dan terhendak dengan pelajaran buat kefardhuan hidup dan kefardhuan pergaulan bangsa dan tanahairnya.

Sedangkan kita umat Melayu semuanya itu ada kosong, cuma lebih suka menaruh hasad dan dengki yang mendatangkan permusuhan sesama kaum sendiri sebagaimana Iblis dan Syaitan, Hairan!

Kita manakala dipermenungkan kaum yang seumpama ini kerana mereka itu tiada mengendahkan kefardhuan hidup buat kaum dan bangsa serta tanahairnya yang dikasihi!!!

Itulah perbandingan kita yang telah lalu penyakit-penyakit itu akan bertambah-tambah banyak gelombang dan kehidupan bertambah keras senantiasa. Sebab itu kita harus memperbaiki hati kita supaya pelayaran kepada selamat mencapai daratan kebahagiaan yang masih dicita-cita itu, mudah-mudahan jangan tenggelam di dalam huru-hara kesesatan yang datang hendak memaling haluan kita daripada kebenaran Allah, supaya dapat kita menjauhkan dengan apa-apa tegahannya serta menurut apa sudahnya! Camkanlah! Wahai Kaum dan Bangsaku yang diharapi!

Dari itu, tetaplah pada fikiran kita, bahwa kita manusia tiadalah patut sekali-kali mengambil tempoh yang malas, bodoh terkecuali binatang yang tidak berkehendak ianya kepada pertolongan kawan-kawan dan tidak berhajat buat mencari apa pelajaran lagi, yang mana tidak gemar sekali-kali akan kawannya yang lain-lain bersama-sama dengan dia, melainkan semut dan labah.

Manusia hidup berhimpun bertolong-tolongan di antara satu sama lainnya kerana mustahil seseorang itu boleh hidup mendapat hajat dengan sendirinya.

Apakala telah ketahui bahwa adalah akal dan pengetahuan itu telah muafakat keduanya mengatakan manusia yang berbeza kehidupannya daripada kehidupan segala binatang itu, mestilah berusaha bekerja di dalam perkara yang terlebih baik bagi kehidupannya itu. Maka mengetahuilah kita kewajipan di atas kita mesti berusaha dan bekerja bagi kehidupan kita dan bangsa kita buat mengeluarkan segala barang-barang yang mesti bagi kehidupan kita dan memeliharakan watan tanahair kita daripada serba-serbi huru-hara yang menghilangkan amannya, supaya kita tidak terkeluar daripada benih manusia yang mempunyai perasaan dan pelajaran makna manusia yang sebenar. Camkanlah!

Tetapi zaman ini selalu beredar dan bumi itu selalu pula berpusing, menurut peraturannya hal mana membawa pula akan perubahan yang sebesar-besarnya bagi penduduknya, sebagaimana lantaran tabiat manusia lekas sungguh menerima perubahan yang menarik kepada penggal keselamatan dirinya supaya manusia itu berbangsa tinggi, mulia, darjat, pada tiap-tiap sesuatu kerana kita kaum Melayu yang berugama Islam tentu tidak menyukai kepada pekerjaan dan perbuatan kita itu tidak ada mempunyai takzim peraturan yang sempurna buat membiasakan adat yang kurang senonoh, segala adat yang kita pakaikan tiap-tiap waktu semuanya mengurangkan kemuliaan dan merampas kehormatan kita sehingga tiada tau apa-apa seumpama seseorang tidak mehargakan waktunya buat hidup, bagaimanakah halnya dengan umat Semenanjung?

Sungguh pun begitu, kita tidak melupai di atas kejasaan dan usaha serta tenaga seseorang kaum-kaum kita buat mendapat segala hal yang tersebut, mengikut perjalanan yang telah ditempuh oleh saudara-saudara kita umat Islam Semenanjung ini yang suka kepada kemajuan bangsa dan ugamanya, sungguh pun perlangkahan ke tahun yang ketujuh, dengan ini bukanlah ada tanda-tanda dan bukti kepada kita buat mencapai kemajuan yang sedang kita mimpi-mimpikan itu, oleh itu wajib kita dengan mengucapkan sebesar-besar puji dan sehabis-habis syukur kita kepada Allah subhanahu wa-ta`ala yang telah menguatkan keyakinan dan keteguhan hati Yang Mulia Tuan Syed Alwi Sheikh al-Hadi dan Yang Mulia Tuan Muhammad Yunus Abdul Hamid dan dengan rahmat dan rahimnya yang sudah menggerakkan hatinya pada membesarkan ruangan akhbarnya, di atas kemauan pembaca-pembacanya, Alhamdulillah!

Kita berdoa akan keselamatan Tuan-Tuan Yang Mulia itu, diharapkan bukakanlah pelayaran Saudara buat selama-lamanya mudah-mudahan. Was-salam.

Pembantu Pengarang Saudara.