Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Sep 1932, p.1

Leader Article.

Wahai! Bukankah Sedih Rasanya Hati! Hal Orang-orang Melayu.

Oleh Abdul Majid Salleh al-Latiff.

Bahwa maka kita ketarakan seperti yang tertulis pada kepala rencana ini, iaitu pada pemerhatian kita pada beberapa tempat di dalam Semenanjung ini, akan hal cara kebiasaan yang dipakaikan oleh kebanyakan orang-orang Melayu kita iaitulah jarang-jarang yang mengendahkan orang-orang Melayu berdagang ((betapa pula hendak mengasihkan?)), terkecualilah sedikit bilangan jua yang suka mengambil berat atas orang-orang yang termaklum.

Wahai! Apa lagikah dagang tandus, kata orang itu pula, yakni seolah-olahnya yang kekurangan dari orang-orang hanya yang tertentu sedang lebih padanya ialah satu jua iaitu tinggi harapan!

Wahai! Bukankah sedih rasanya hati?

Pada halnya, awak sama-sama Melayu! bukan lain bangsa apa lagi pula cara hukum ugama kita pun menyuruh bersaudara dengan semua umat Islam, walau daripada apa juga bangsanya sekalipun, bukankah sudah dua perkara ketinggallan kita?

Wal-hal, itulah perkara yang sebesar-besarnyalah jua buat hidup di dunia ini ((bukannya perkara kecil yang senang dipermudah-mudah sahaja -- misalnya ada baik tidak pun tak apa)).

Hal itu tentulah Tuan-Tuan Pembaca sudah ketahui teristimewa pihak Tuan-Tuan yang biasa berdagang, ((lainlah berdagang itu dengan membawa banyak modal)). Oleh itu tidaklah payah saya menulis panjang-panjang lagi di sini. Adapun sebab-sebabnya yang saya ingin menulis begini bahwa bukanlah sahaja kerana terkenangkan diri sendiri, ataupun sebab biasa mendapat hal demikian, tertimpa kepada diri sendiri dalam-dalam masa berdagang, melainkan ialah lebih-lebih terkenang kepada diri kaum dan bangsa Melayu yang telah banyak merayu-rayu kerana merasa atau terkena sebagai hal itu, bahawasanya percayalah kita rasanya iaitu inilah satu punca yang menyekat nafas kemajuan bangsa kita Melayu, yang menjadikan sangat perlahan timbulnya.

Agaknya kita tentu banyak yang telah mengetahui, entah pun banyak yang memaki, adapun perkara-perkara ini ialah setengah daripada pusaka-pusaka yang ditinggalkkan oleh tok nenek Melayu kita juga. Akan tetapi pusaka-pusaka yang secara ini molek sangatlah kita punahkan.

Bukankah bunyinya orang-orang kita sekarang telah banyak yang membuangkan pusaka kuno itu?

Iaitu pusaka yang karut-karut ((ingat! Jangan pusaka yang berharga kita punahkan, kerana bukannya kita ini orang Barat)).

Disebabkan orang-orang sekarang telah berkepandaian banyak, berpengetahuan tinggi-tinggi, pada fikiran saya sepatut-patutnyalah pusaka yang secara ini dicampakkan jauh-jauh dari badan kita, artinya ubahlah kebiasaan kita yang tidak gemar atau tidak mengendahkan orang-orang Melayu berdagang itu. Sesungguhnya beranilah kita meneka walau dengan sesingkat-singkat fikiran sekalipun, iaitu kiranya selagi tidak diubahkan kelakuan itu, yakni suka juga dengan berkekalan memakai pusaka yang termaklum. Maka bahawasanya kemajuan bangsa Melayu kita tak boleh sempurna, melainkan akan tinggallah sebagai lemah dan kabut iaitu sebagai yang ada ini juga.

Satu pandangan kita bawa dalam rencana ini buat pengenalan ramai, iaitu jika ada daripada orang-orang Melayu berdagang itu membuka satu-satu kedai perniagaan, katalah kedai-kedai nasi ((pencarus)), sehasa itu ada pula bangsa lain seperti mamak-mamak dan kaka-kaka yang membuka kedai serupa itu juga, masa itu cubalah kita perati, tidak dapat tiada akan ditinggalkanlah kedai bangsa sendiri itu, dan lalu dipenuhi kedai-kedai mamak dan kedai-kedai kaka-kaka!

Wahai! Bukankah sedih rasanya hati?

Siapakah yang diharap oleh bangsa sendiri yang berkedai itu lain dari bangsa sendiri yang akan melakukan barang-barang jualannya? Pada pendapatan saya tentu sekali tidak berapa-berapa kepada yang lainnya dari Melayu itu.

Sungguh pun hal-hal yang secara ini agaknya tidak berlaku di semua tempat dan di semua-semua negeri di Semenanjung ini, tetapi boleh dikata sangat banyak bilangannya yang terada demikian itu, tak usahlah kita perati yang telah berlaku di masa getah mahal, wang sedang mewah dahulu lagi!

Sedangkan masa sekarang kita-kita semua sedang merasa penyakit meleset dan sedang hendak bergerak perasaan kesedarannya. Atau mulai hendak berkasih-kasihan dengan bangsa sendiri, lagikan juga melakukan demikian, wahai bukankah sedih rasanya hati?

Tinggal lagi berharaplah kita bersama-sama masa ini supaya mengelencongkan haluan kita sama sekali daripada yang demikian, tidak pun dapat bersegera-segera sebab merentikan perkara yang ditagihkan itu, tentu amat payah! Akan tetapi jika dengan hal beransur-ansur ((perlahan-lahan)), beri maaf saya kiranya, dan terima kasih ke hadrat Tuan Pengarang dan salam pada Tuan-Tuan Pembaca sekalian. Was-salamualaikum.

Ipoh pada 9.9.32.