![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 28 Sep 1932, p.1
Leader Article.
Selamat Tinggal Usia Saudara Tahunnya Yang Keempat.
Dengan keluar Saudara bilangannya 243 ini, sempurnalah umurnya 4 tahun mengedari alam Melayu Semenanjung, pulau-pulau gugusan Melayu, Sumatera dan Jawa, tanah Arab, Afrika dan Eropah dengan membawa roh perasaan dan perkhabaran saudara-saudaranya di alam Semenanjung yang telah mulai terkejut sedar daripada lenanya bagi memerhatikan perjalanan jenis alam manusia yang berbagai-bagai bangsanya pada berbuat-buat mengambil peluang masing-masing mencari jalan kemajuan dan kemodenan bagaimana yang dituntut dan disuruh oleh ugamanya. Maka kemudian daripada bilangan ini, kita melangkahkan pula ia ke dalam kawasan usianya tahun yang kelima.
Sungguh pun umur Saudara ini baru masuk lima tahun, belum layak lagi usia menduduki bangku pelajaran di dalam sekolah-sekolah ilmu karang-mengarang yang luas kerana menurut undang-undang yang telah diperhinggakan oleh kerajaan bagi anak-anak yang di dalam pendidikan ahli-ahli pendidik.
Tetapi oleh sebab Saudara ini daripada mula zahirnya ke alam dunia ini senantiasa di dalam didikkan Tuan-Tuan penulisnya yang menduduki tempat ahli-ahli pendidik yang mahir, maka jadi petahlah juga usia berkata-kata dengan peraturan yang digemari oleh orang-orang yang senantiasa memperhargakan kebebasan fikiran manusia dan ugama pun sama.
Maka daripada latihan Tuan-Tuan yang bijaksana inilah juga diharapi bahwa saudara ini akan menyempurnakan perjalanan umurnya di dalam tahunnya yang kelima ini terlebih petah dan terlebih bebas lagi dengan perasaan kemanusiaan yang didapatinya daripada benih semaian ahli-ahli pendidiknya itu sehingga menyempurnakan umurnya yang layak menduduki bangku sekolah-sekolah yang daripadanya kelak tersemai mati sama sekali di dalam dadanya perasaan yang ada kepadanya daripada mula terbitnya ke alam suratkhabar-suratkhabar ini, iaitu kasihkan watan itu daripada kesempurnaan iman.
Dan bermula sekalian mukmin itu saudara dengan menurut firman Tuhannya: kata olehMu, Hai Muhammad! Bermula benar itu daripada Tuhan kamu. Maka barangsiapa yang berkehendak biarlah ia percaya dan barangsiapa yang berkehendak maka biarlah ia ingkar akan dikau.
Inilah dia tujuan yang telah zahir keluar Saudara ini daripada mulanya dan dipohonkan daripada Tuhan rabbiul-alamin, bahwa dikekalkannya hidupnya dengan tujuan-tujuannya yang tersebut ini sehingga pancar nafas yang keluar daripadanya dengan tiada menghilangkan daripada tujuan-tujuannya ini oleh azab sengsara yang akan dipalu ke atasnya oleh sekalian ... jikalau seberapa pun paluan-paluan mereka itu sebab telah tentulah seratus ribu atau lebih lagi daripada apa-apa yang telah dipalukan oleh sekalian ... ke atas junjungan kita Sallallahu alaihi wasalam pada permulaan ia membawa petunjuk kepada kaumnya selama kita tiada menyalahi undang-undang negeri kita.
Jikalau Saudara ini telah menambah mukanya di dalam perjalanannya tahunnya yang keempat ini, maka tiadalah kita mengurangkan keriaannya di dalam perjalanannya di tahunnya yang kelima ini, dan akan kita tambah dua muka lagi jadi jumlah 10 muka, yang diharapi di permulaan tahunnya yang keenam dapat ditambahi lagi 2 muka bagi menunjukkan 12 muka.
Diharapkan doa dan perbantuan Tuan-Tuan yang dikasihi daripada penulis-penulis bijaksana dan ahli-ahli langganan yang budiman, demikianlah disudahi dengan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
top |