![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 28 Sep 1932, p.6
Editorial.
Kaum Melayu ini di dalam Tuntutan Kemajuannya Terbahagi kepada Tiga Bahagian.
Di dalam hal kita orang-orang Melayu sibuk hendak berkemajuan ini, tampaknya bermacam-macam pula fahaman kita di atas makna kemajuan dan bersalah-salahan di atas jalan yang boleh membawa kepadanya.
Maka dengan taksiran yang kasar bolehlah kita membahagikan orang-orang Melayu yang ada sekarang kepada tiga bahagian atau puak berkenaan dengan kemajuan ini.
Pertamanya: ialah puak yang berperasaan keEropahan yang berkata bahwa kemajuan yang baik dan yang sempurna itu ialah yang dijalankan oleh orang-orang Eropah atau orang-orang Barat sekarang ini. Dan jikalau kita hendak maju seperti mereka itu hendaklah kita perbuat atau tiru segala tingkah laku tabiat dan perjalanan kehidupan mereka itu; sebab perkara-perkara yang tersebut inilah yang telah menyampaikan mereka itu kepada kemajuan yang mereka itu bermegah-megah dengan pada zaman kita ini. Dan jikalau sesuatu perkara atau perbuatan itu berhitung di dalam nama kemajuan, sekalipun ia tidak diluluskan oleh ugama, maka hendaklah juga dijalankan.
Kedua, ialah puak yang sederhana yang mengatakan bahwa kemajuan yang sebenar-benar itu ialah yang menurut roh ugama, iaitu yang mesti dijalankan dengan memeliharakan segala tuntutan ugama, membuat suruhan dan menjauhkan larangannya. Sebab adalah ajaran al-Quran itu tidaklah lain daripada menyeru kepada seelok-eloknya kemajuan dan jikalau kita ikut apa-apa yang tertulis di dalam kitab yang maha suci itu, bagi urusan perjalanan kehidupan kita di atas bumi ini, nescaya bolehlah kita sampai kepada kemajuan yang terlebih sempurna dan terlebih tinggi lagi daripada kemajuan yang dinisbahkan kepada orang-orang Eropah itu.
Dan jikalau kita baca kitab-kitab tawarikh, dapatlah kita mengetahui bahwa kemajuan Eropah yang kita lihat sekarang ini ialah pindaan yang kecil daripada kemajuan Islam masa bermaharaja-lelanya di benua Eropah, Afrika dan Asia dahulu. Tetapi dengan kelonggaran orang-orang Islam, yang demikian daripada mereka pada ugamanya yang menyebabkan kemajuan yang begitu tinggi telah berpindah ke bangsa dan ke tempat yang lain pula.
Ketiganya, ialah puak yang tidak suka kepada apa-apa juga yang berkenaan dengan dunia sama sekali, sebab kata mereka itu ini semuanya fana, dan tidaklah ada berguna bagi seorang hamba itu melainkan amal adatnya yang khas kepada Tuhannya semata-mata sebab perkara-perkara dunia itu tinggal di dunia juga, tidak dapat dibawa mati. Maka bagi puak ini tentulah kemajuan itu tidak ada wujudnya sama sekali.
Sekianlah yang nampak zahir daripada mazhab-mazhab orang Melayu berkenaan dengan kemajuan ini.
Maka nyatalah daripada puak yang pertama itu bahwa mereka itu jahil akan hakikat agama yang sebenar dan menghukumkan mereka itu di atasnya dengan barang yang belum mereka mengetahui atau menuntut pengetahuan akan hakikat ugama yang dibawa oleh Muhammad salim yang sebenarnya itu.
Adapun puak yang kedua itu, maka ialah puak yang sebenarnya. Tetapi sesungguhnya tujuan mereka itu banyak dan betul, tetapi sangat sukar hendak menjalankannya sebab kuat dihimpit dan disekat oleh kedua-dua puak yang pertama dan yang ketiga itu.
Dan sesungguhnya ia boleh menewaskan puak yang pertama itu dengan senang, sebab mereka ini mau menggunakan akalnya.
Tetapi puak yang ketiga ini tidaklah dapat hendak ditegapkan sebab mereka telah terbenam keras di dalam pengetahuan mereka yang beku yang tidak berguna kepada mereka itu perkataan al-Quran atau perkataan Rasulnya dan tidak dapat dipecahkan dengan mudah dan kebekuan mereka inilah yang telah memberi hujah pada orang-orang puak yang pertama itu mengatakan bahwa ugama itulah sekatan yang besar kepada kemajuan.
Maka sebelum kita pecahkan puak yang ketiga ini belumlah boleh kita bercita-cita pun kepada kemajuan, apa lagi hendak maju.
Tampakanlah dengan insaf ayuhai kaum! Jikalau Tuan suka berkemajuan beserta dengan ugama.
top |