Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 Apr 1933, p.5

General Article.

Tamadun Baru Berkehendak Kerajaan Negeri Menjalankan Perniagaan!

Dalam Saudara 292 ada terhampar suatu karangan berkehendak kerajaan mengadakan kilang beras, kilang gula, kilang kain, supaya boleh rakyat-rakyat negeri bekerja memperbuat barang-barang seperti kerajaan asing.

Maka sangatlah ajaib membaca karangan ini kerana setakat yang saya tahu bahwa di mana-mana negeri di serata-rata alam dunia ini ((lain daripada Russia)) belum ada kerajaan negeri yang menjalankan perniagaan seperti yang dikata oleh penulis itu; bahkan daripada serba jenis perusahaan pertukangan atau daripada sebarang jenis kilang-kilang perniagaan itu semuanya pekerjaan bagi rakyat negeri bukannya pekerjaan bagi kerajaan negeri.

Barangkali ada pula tamadun baru yang hendak keluar di Tanah Melayu ini berkehendak kerajaan pula menjalankan perniagaan itu. Saya tiada ketahuilah dalam saya tahu semua kilang-kilang di dalam Manchester ((England)) itu bukan dipunyai oleh kerajaan.

Tuan Henry Ford ((Raja Motokar)) yang termashyur sekali-kali manusia di alam dunia ini ialah rakyat negeri bukannya ia menjadi seorang daripada orang-orang besar pemerintahan bagi kerajaan Amerika atau Kanada. Amatilah halus susur galurnya bagaimana ia sendiri mula berusaha bekerja daripada yang kecil-kecil perusahaan sehingga jadilah ia daripada sebesar-besar pertukangan di dalam dunia ini.

Dan juga Towkay Wong Yung Kam yang termashyur dengan nama Raja Gula itu, ialah seorang daripada rakyat negeri bukannya raja, bukan orang besar pemerintahan negeri. Bahwa dengan sesungguhnya mula-mula ia berusaha daripada sekecil-kecil perusahaan perniagaan yang akhirnya jadilah ia sekaya-kaya manusia di alam Timur ini dan juga perusahaan gula itu bukannya di Eropah atau di Amerika, bahkan di dalam gugusan pulau-pulau Melayu inilah juga.

Sekarang kita yang malas duduk berselimut dengan kain gebar kemalasan, kerajaan pula hendak disalahkan.

Kata rencana itu lagi, kerajaan Tanah Melayu ini tampaknya jangankan hendak menolong kepada orang-orang miskin, disusahkan lagi, astaghfirullah al-adzim!

Lupakah agaknya pertolongan kerajaan yang boleh menjadi sebesar-besar pertolongan di atas anak-anak orang-orang Melayu kaya miskin sekaliannya sehingga berpuluh atau beratus ribu ringgit tiap-tiap bulan dan tahun kerajaan mengeluarkan belanja-belanja dan gaji guru-guru sekolah Melayu beri anak-anak Melayu belajar dengan percuma ((free)) itu.

Saya percaya dengan yakinnya maka tak sebab kerana kasihan rahim kerajaan tentulah anak-anak Melayu tiada boleh celik mata serta mata yang ada sekarang. Dan juga, Tuan yang menulis karangan yang tersebut itu pun barangkali tak tahu menulis seperti yang ditulis itu.

Saya tiada tampak besar zarah pun perbuatan kerajaan yang hendak menyusahkan rakyat-rakyat kita Melayu sama ada miskin atau kaya. Maka fasal hasil atau cukai itu walau di negeri mana pun di alam dunia ini adat lama atau baru mesti kena membayar hasil-hasil atau cukai kepada kerajaan negerinya ikut masing-masing aturan pemerintah.

Kita rakyat-rakyat Melayu sendiri tak semua bangkang kepala tak mau bingkas, tak mau berusaha. Kemudian kerajaan negeri pula hendak ditaruh kiraan fasal itu fasal ini konon!

Jika kita rakyat-rakyat Melayu jadi seperti rakyat-rakyat Russia, barulah kita tahu kata kerajaan tolong rakyat negeri!

Ingat 1934, kali itu bahwa taat dan setia pada Raja-Raja dan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu kita ini satu daripada pusaka asli yang ditinggal oleh datuk nenek kita selama-lamanya daripada zaman berzaman.

Melayu Utara.