Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 12 Sep 1932, p.5

Editorial.

Jawatan Malayan Civil Service.

Kita telah berkata dahulu bahwa pintu Malayan Civil Service itu telah terbuka selapis apabila Kerajaan Selat telah mengarang suatu scheme baru bagi Pegawai Asiatik yang akan diangkat menjawat jawatan yang dahulunya teruntuk bagi pegawai-pegawai Malayan Civil Service itu.

Kita belum dapat mengukur berapa banyak dan berapa tinggi jawatan-jawatan yang akan dibukakan itu dan bila masanya. Tetapi kita percaya jika hanya empat atau lima jawatan, atau sekadar akan menjadi Assistant Collector sahaja, tentulah tidak akan memuaskan hati anak-anak bangsa Malayan yang memang telah berpengaruh besar di Selat itu yang mana Inshallah anak-anak bangsa kita Melayu akan sempat mendengar bersungutan dan tuntutan mereka yang tidak akan berjeda itu.

Oleh kerana kita tidak percaya yang Kerajaan Selat itu akan membukakan jawatan-jawatan tinggi seperti jawatan-jawatan Malayan Civil Service Kelas Dua atau Tiga dan tidak pula kita menyangka yang Kerajaan Selat itu sendirinya cukup mengadakan jawatan sekira-kira boleh memuaskan hati mereka itu. Kita wajib cemburu akan upahnya yang barangkali oleh kerana hendak memuaskan hati bangsa baru itu, Kerajaan Selat akan berkira meluaskan jawatan-jawatan tinggi itu ke dalam negeri-negeri Melayu, terutamanya Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.

Boleh jadi kelak bukan dengan nama Malayan Civil Service, tetapi jawatan Superintendant Post & Telegraph, District Forest Officer, Assistant Superintendant Customs dan lain-lain seumpamanya yang diangkat sahaja dari Selat. Oleh kerana pejabat-pejabat itu memang telah bersatu sedang penasihatnya bertempat di Singapura pula.

Di dalam negeri-negeri atau jajahan kepunyaan daulat Inggeris ((Crown Colony)), memanglah kerajaan Inggeris boleh melakukan sekehendak hati, tetapi Jajahan Selat itu berlainan kerana baru.

Gabenur di Selat itu juga High Commissioner bagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan bukan sedikit Pejabat-Pejabat Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu telah bersatu dengan Selat seperti Pejabat Post, Customs, Forest dan lain-lain lagi yang menunjukkan bahwa Kerajaan Selat itu tidak terasing seperti Hong Kong atau Cyprus.

Tetapi berkait-kait dengan kerajaan yang beraja dan hanya di bawah naungan Inggeris ((bukannya Crown Colony)) di dalam mana menurut mata keadilan bahwa kerajaan Inggeris itu tidak berkuasa sebagaimana di dalam negeri-negeri jajahannya sendiri. Maka tidaklah patut dibukakan suka-suka hati sahaja akan jawatan-jawatan yang mengenai atau bersekutu padanya hak negeri lain yang bukan jajahan kepunyaan sendiri dengan tidak berunding lebih dahulu.

Lebih tak manis lagi bagi kerajaan Inggeris apabila dikira bahwa jawatan Pegawai Malayan Civil Service itu lebih banyak berganda di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dari Negeri-Negeri Selat yang sepatutnya Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutulah pula lebih berhak berkata-kata di dalam hal ini.

Oleh kerana hal ini telah terlansung sahaja maka tidaklah hairan jika orang-orang Melayu persekutuan dan yang tidak bersekutuan itu khuatir akan bahaya perbuatan bangsa asing itu menjalar pula ke dalam negeri mereka dan di atas ini secara penaung wajiblah bagi kerajaan Inggeris menaungi negeri-negeri Melayu yang bukan colony daripadanya.

Mempernaungkan negeri-negeri Melayu daripada rebutan bangsa Malayan itu boleh diadakan dengan memecah dan membahagi Malayan Civil Service itu sebagaimana zaman dahulu, iaitu:

1. Straits Civil Service, dan 2. FMS Civil Service,

supaya Kerajaan Selat itu terasing dari negeri-negeri Melayu sementelaah pula perubahan baru atau New Policy itu berniat akan membawa perdirian Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu balik sebagaimana perdiriannya pada zaman Resident General, iaitu sebelum bersatu Civil Service Persekutuan Negeri-Negeri Melayu dengan Selat. Begitulah kita sertai fikiran wartawan kita Pengasuh Kelantan baru-baru itu.

"Jika Kerajaan Selat tetap akan menjalankan sekehendak hatinya, tidak akan memecah jawatan Malayan Civil Service itu dan tidak pula akan menarik balik cita-citanya hendak menerima-menerima Asiatik itu ke dalam jawatan negeri yang tidak akan dinamakan Malayan Civil Service lagi. Kita bermohon mudah-mudahan janganlah kiranya Kerajaan Selat lupa menimbang bahwa rakyat-rakyatnya bangsa Melayu di dalam Selat itu memang rakyat kandung sedang mereka itu tidak keluar daripada bangsa Asiatik".

Barangkali telah tiba masanya bagi saudara-saudara kita di dalam Selat memperoleh suatu peluang baru di dalam mana jawatan-jawatan tinggi itu akan terbuka di hadapan mereka asal mereka boleh menunjukkan kelayakan.

Kerajaan Selat tidak akan silap apabila menerima anak-anak Melayu pada masa mengkabulkan tuntutan Asiatik itu; kerana Melayu itu menang Asiatik juga.

Asiatik itu bukanlah bererti hanya Cina, Keling dan Serani.