Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 10 Jun 1933, p.6

Editorial.

Hidup Sesuatu Kaum Itu Dengan Sebab Hidup Roh Perasaan Persekutuan Seorang Berdua Daripadanya.

Telah ditakdirkan oleh Tuhan bahwa wujud berbagai-bagai ilmu di dalam dada seseorang itu tidak memberi guna jikalau tidak disertai oleh roh perasaan yang kuat bagi menuntut kehidupan perhimpunan kaumnya.

Telah muafakat sekalian ulama daripada segala jenis bangsa mengatakan bahwa ilmu pengetahuan yang sedikit yang disertai oleh roh perasaan yang demikian ini terlebih besar gunanya dan terlebih berkehendak tiap-tiap satu perhimpunan kaum yang menuntut kehidupan kemanisannya daripada ilmu yang banyak yang terpendam di dalam dada seseorang dengan tidak memberi guna melainkan bagi dirinya yang khas sahaja.

Tiap-tiap seseorang yang memperhatikan perjalanan tarikh dunia daripada zaman dahulu hingga masa ini mengetahuilah ia akan jasa yang telah diperolehi oleh beberapa banyak kaum bangsa daripada pekerjaan seseorang dua daripada orang-orang yang mempunyai roh persekutuan perhimpunan kaum bagaimana tidak diketahui dan dirasa juga oleh mereka itu akan musibat dan bahaya-bahaya yang telah tertanggung ke atas sesuatu kaum itu daripada perbuatan orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak yang tidak ada kepadanya roh lain daripada perasaan menuntut muslihat dirinya yang khas sahaja.

Tidak ditunjukkan oleh tarikh dunia kepada kita beberapa kaum yang tidak ada yang tersebut namanya sama sekali pada masa dahulunya, tetapi dengan sebab bangun seorang berdua daripada laki-lakinya yang mempunyai pengetahuan yang disertai oleh perasaan persekutuan perhimpunannya menyeru dan memberi peringatan akan kaumnya dengan tidak terlintas sekali-kali di dalam hatinya takut dan gentar mengeluarkan apa-apa jua perkataan atau pekerjaan yang difikirkannya memberi guna kepada perhimpunan kaumnya itu.

Maka dengan sebabnya telah dizahirlah kaumnya itu hingga masa ini dapat dilihat dengan mata atau didengar dengan telinga bahwa kaum itu telah zahir menduduki kemuncak kemuliaan dan kemegahan dengan mendatangkan kehibaan hati siapa-siapa yang mendengar namanya sahaja.

Demikian jugalah boleh dapat kita mengetahui dengan pertunjukan tarikh itu juga ada beberapa kaum yang dahulunya memiliki segala kemegahan dan kekuatan: hingga digentari dan ditakuti oleh ahli-ahli dunia apabila tersebut namanya sahaja.

Tetapi pengetahuan yang banyak yang digunakannya semata-mata kepada muslihat-muslihat diri yang khas, maka telah hapuslah sekarang ini sebutan nama kaum itu daripada ilmu al-wujud dan yang mana-mana ada tertinggal lagi semuanya telah termasuk ke dalam perangkap mesti menurut sahaja apa-apa isyarat penunggu-penunggu perangkap itu.

Bermula, adalah kehidupan manusia ini memang telah dijadikan oleh Tuhan tabiat semula jadinya mempunyai cukup sempurnanya kebebasan, maka oleh kerana menjaga dan memelihara kebebasan manusia yang semula jadi itulah telah diangkat oleh Tuhan akan kerajaan Inggeris hingga melimpah pemerintahannya yang tidak boleh tenggelam matahari daripadanya dengan tiada berhajat mereka itu menggunakan ubat pelurunya lagi bagi memerangkap sekalian pemburu-pemburu yang buas yang memburu kebebasan manusia yang di bawah kekuasaannya.

Alhamdulillah, sekarang ini kita ada di bawah naungan undang-undang yang cukup memberi kebebasan kepada sekalian ahli-ahli pengetahuan yang mempunyai roh perasaan kemanusiaan bagi persekutuan perhimpunan kaumnya, apa tidakkah boleh terbit daripada perhimpunan kaum kita Melayu ini seorang berdua orang yang mempunyai perasaan bagaimana yang dikehendaki oleh perhimpunan kaum daripada jenis manusia yang mempunyai perasaan kemanusiaan ini supaya menyeru akan kaumnya serta memimpin akan mereka itu ke padang manusia yang sebenar.

Bermula, manusia itu tidak dapat tidak daripadanya tiap-tiap kejadian yang bernyawa, adapun kejadian manusia ini dikehendaki daripadanya pada masa hidupnya menggunakan sifatnya kepada pekerjaan yang dituntut daripadanya, iaitu menyeru kaumnya kepada kebajikan persekutuan perhimpunan bagaimana yang telah diterangkan oleh Tuhan di dalam Quran dan perkataan atau amalan Rasulnya yang senantiasa dikerjakannya pada masa hidupnya dan dikerjakan oleh sahabat-sahabatnya kemudian daripadanya.

Wahai sekalian kaumku! Adalah hidup ini ada baginya dua macam: satu daripadanya hidup seorang itu kerana memeliharakan nafkah kebajikan bagi rohnya yang khas yang hidupnya itu pada ghalibnya tidak lebih daripada 80 tahun.

Adapun hidup yang kedua ialah kehidupan menurut perasaan roh yang berkehendak kepada kehidupan yang terlebih panjang menurut kemuliaan kejadian jenisnya yang diuntukkan oleh Tuhan bahagiannya itu akal dan ilmu yang bermacam-macam jenisnya, iaitulah bahagian yang dimuliakan oleh Tuhan dengan sebabnya akan manusia daripada segala jenis kejadiannya yang lain-lain yang tidak patut sekali kejadian Tuhan yang dimuliakannya seumpama ini boleh hapus dan hilang sama sekali sebutannya daripada lidah dan hati manusia di dalam sedikit masa sahaja umpama bilangan sebutan segala jenis kejadian-kejadian Tuhan yang lain kemudian daripada hapus jasadnya daripada alam al-wujud ini.

Telah diperiksa oleh ahli-ahli pemerhatian yang sempurna akan tarikh dunia yang mengandungi di dalamnya perjalanan kehidupan sekalian bangsa-bangsa daripada mula dijadikan alam dunia ini. Maka tiadalah didapati oleh mereka itu suatu jasa pun yang telah menghidupkan sebutan jasad yang telah hilang lenyap beberapa ratus atau ribu tahun dahulu selain daripada jasa pekerjaan yang terbit daripada perasaan roh yang menuntut dan bekerja bagi faedah-faedah persekutuan kaum bangsanya ataupun manusia yang umum.

Di sini telah teringatlah pula kita akan satu rencana daripada karangan philosopher al-Islam, al-Marhum al-Said Jamaluddin al-Afghani, yang telah kita salinkan ke dalam Bahasa Melayu dan tersiar di dalam majalah al-Imam dan majalah al-Ikhwan yang berkepalakan "Puji Yang Sebenar Makanan Nyawa Manusia".

Maka kerana menerangkan lagi kehendak-kehendak perkataan kita ini akan kita masukkan semula rencana itu ke dalam Saudara ini pula kemudian daripada hari ini, supaya mendapat peringatan siapa-siapa yang berkehendakan peringatan.