Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 Mar 1933, p.3

Halaman Kanak-kanak. Rencana Penyunting.

Anak-anak Melayu dan Jimat-Cermat.

Agaknya tentulah sudah kebanyakan daripada saudara-saudaraku

membaca akan karangan-karangan di dalam suratkhabar-suratkhabar yang menyerukan kita kepada berjimat dan cermat itu.

Maka sungguh pun banyaklah yang akan merasai jemu jelak kepada perkara itu, jika diulangi ianya lagi, tetapi oleh sebab perkara ini tersangatlah besar faedahnya kepada manusia tua dan muda dan oleh sebab dirasai amatlah kena dengan kalanya diberikan sedikit ingatan kepada saudara-saudaraku anak-anak Melayu supaya mengambil pemandang yang berlebih berat daripada dahulu kepada perkara yang tersebut itu, yakni manakala sudahlah ada pergerakan yang menyahutkan kehendak-kehendaknya tinggal lagilah dikehendaki seruan yang terkhas kepada anak-anak kita yang diserapi akan menyenangkan mereka itu mengerti dalam pekerjaan melatih kan diri berjimat dan cermat dari masa kecilnya lagi itu.

Maka tiadalah terasa berat tangan yang menuliskan sedikit keterangan dan pesanan kepada saudara-saudara sekaliannya dengan harapan iaitu saudara-saudara akan menungkan butiran yang berkenaan dengan bahagian kanak-kanak dalam perkara jimat cermat itu.

Latihan berjimat dan cermat daripada masa kecil lagi iaitu daripada mendapat dua duit sehari habuan belanja kita amatlah besar gunanya. Oleh kerana jika kita tiada mengetahui bagaimana membelanjakan dengan sia-sia wang itu daripada sekecil-kecil jumlah seperti yang tersebut di atas itu; maka tentulah kita tiada mengetahui bagaimana hendak membelanjakan wang dengan tiada terbuang pula manakala kita dapat memegang berpuluh atau beratus ringgit apa guna ku berjimat cermat, pada hal bukan aku mencari duit!

Sangkaan ini nyatalah salah oleh sebab pertama-tamanya; payah berjimat cermat daripada kecil itu seperti yang diterangkan tadi itu, dan oleh sebab wajiblah saudara-saudaraku yang mendapat wang daripada ibu bapa atau pemelihara berjimat cermat.

Oleh kerana yang demikian itu, suatu jalan menolong ibu bapa kita berjimat cermat sama dan oleh sebab insaf akan penat lelah orang yang mencari duit yang cuma kita menerimanya dengan serapa-apa itu. Maka alangkah kurang jimatnya kita kelak jika kita cuma ambilkan wang itu dan belanjakan ikut suka hati kita dengan tiada hiraukan adakah keluaran wang itu cuma-cuma sahaja atau memberi faedah kepada diri.

Maka hendaklah difikiri bahwa bukanlah dengan titik peluh kita sendiri yang kita dapat memegang wang sehari-hari itu sekiranya diberikan wang oleh orang-orang kepada kita. Dan jika kita dapati wang itu terbanglah sedikit.

Maka janganlah pula kita habiskan wang itu dengan sekaligus sahaja, tetapi maulah kita mencuba dengan seberapa bolehnya menyimpankan sebahagian daripadanya atau yang baki daripada apa yang telah terbelanja oleh kerana tersangat fardhu teristimewa bagi yang sedang di sekolah lagi.

Maka jimat cermat itu tersangatlah patut dipegangi oleh kerana bolehlah dikatakan senantiasa juga dikehendaki wang bagi itu dan ini, selain daripada belanja makan dan tambang kereta.

Di sekolah hendaklah diingati bahwa perbelanjaan di atas barang-barang yang hendak digunakan ialah bagi pelajaran yakni bagi faedah diri sebab itu keluaran wang kerananya tiadalah menjadi sia-sia.

Di dalam bilangan 290 akhbar kita ini, dapatlah dibaca suatu rencana berkenaan dengan pergerakan syarikat kanak-kanak di Perlis. Maka oleh hamba adalah sebutan di dalamnya bahwa sedikit kepayahan di dalam pekerjaan melatihkan kanak-kanak berjimat cermat itu disebabkan oleh kurang pengertian.

Inilah yang Abang terpaksa melanjutkan rencana kali ini.

Pada pemandangan Abang, tentulah pergerakan ini sesuatu yang berbahagia dan jika dimulai daripada Utara Semenanjung kita akan pergerakan di sekolah-sekolah Melayu bagi melatihi murid-murid kepada penghabisan belanja itu tentulah akan tiada ketinggalan di sekolah-sekolah lain pula ... melarat sampai Selatan tanahair kita.

Pergerakan syarikat kanak-kanak yang bertujuan kepada menanamkan perusahaan berjimat cermat itu ke dalam hati anak-anak Melayu kita ini ialah yang terlebih baik daripada lain-lain jalan jimat cermat kerana umpamanya hawa nafsu itu adalah pucuk rayunya suruh mengeluarkan wang walaupun dihimpun dalam tin yang telah dimeteraikan tudungnya ataupun himpunan dengan langganan setem post sampai seringgit di atas Card Merah supaya dapat disimpan dalam Savings Bank kelak; itu pun adalah sahaja sekatannya. Atau pun jika diberikan khas kepada seorang kawan memungut wang, itu pun tiadalah boleh diharapi.

Terlebih baiklah pagi-pagi sebelum membelanjakan apa-apa, berikanlah kepada setiausaha yang digerun sedikit kepada hawa nafsu itu supaya lama-kelamaan boleh di simpan ke dalam Savings Bank.

Dan manakala hendak diguna seperti membeli buku atau baju raya dan seumpamanya tiadalah menjadi kepayahan sangat kepada ibu bapa dan kepada kita jua.

Begitulah juga di sekolah-sekolah Inggeris janganlah diharapi sangat akan dapat percuma daripada bayaran yuran atau buku: cubalah himpunkan wang dengan jalan setem tadi ((oleh sebab terlebih senang manakala tahu bahasa Inggeris)), manakala dikehendaki wang habuan buku, yuran atau bayaran masuk periksa umpamanya, senang sahaja dapat ianya membantu kita.