Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Mar 1933, p.6

Editorial.

Orang Cina Menjawab.

Kita telah terima lima pucuk surat tulisan Melayu dan tandatangan huruf Melayu daripada seorang Cina yang bernama Kwa Lian Hua, Selatan Kedah, yang membalas perkataan di dalam Saudara, katanya berkepala "Buat Baru Celik", Bilangan 286.

Oleh sebab suratnya terlalu kopi, tidak dapat dibaca betul beberapa banyak perkataan pada tiap-tiap baris itu jadi tiadalah upaya kita mensiarkan dia.

Jikalau tidak, maka tidaklah kita tinggalkan surat itu sungguh pun tidak cukup terang alamat yang mengiringnya kerana kemarahan kita memberi tahu saudara-saudara kita apa-apa yang ada di dalam fikiran orang-orang Cina perkara kehidupan di dalam watan Melayu ini.

Janganlah Tuan-Tuan Pembaca memikirkan, perkara berjawapan-jawapan di dalam perkara ini di dalam suratkhabar Melayu dengan Bahasa Melayu di antara orang-orang Melayu dan orang-orang Cina, istimewa Peranakan negeri ini tidak memberi guna bagi kedua pihaknya, tidak sekali-kali!

Tetapi dengan menzahirkan isi hati masing-masing dan mengeluarkan hajat yang dipergantungkan oleh masing-masing itu kerapkali boleh mendatangkan salleh atau persatuan bagi orang-orang yang ikhlas akan faedah perhimpunan.

Dengan kerana suratkhabar Melayu ini dibaca oleh kebanyakan orang-orang Melayu jadi perkataan di dalamnya terlebih memberi guna daripada bahasa Orang Putih. Sebab di dalam bahasa Orang Putih itu tujuannya yang banyak kepada kerajaan sahaja; dan orang-orang Melayu mengambil daripadanya dengan ibarat yang memedihkan hati tiada dijawabnya melainkan dengan bantahan yang tiada boleh mendatangkan kebajikan daripadanya sekali-kali.

Patutlah sangat anak-anak Cina sekarang melatih diri masing-masing pada menulis dan mengarang bahasa Melayu kerana bahasa itu akan dijadikan oleh kerajaan satu daripada anak kunci yang akan membuka pintu Malayan Civil Service Street ini, dan mereka itu sangat-sangat berkehendak masuk ke dalam pintu itu.

Maka jikalau mereka itu berlatih daripada sekarang ini menulis di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu sehingga dapat mereka itu menjalankan kalam mereka itu bagaimana mereka itu menulis di dalam suratkhabar-suratkhabar Orang Putih, nescaya tiadalah menjadi alangan mereka itu membuka pintu yang dicita-cita oleh mereka itu kelak.

Orang-orang Melayu itu kemudian daripada diakui oleh kerajaan bahwa Peranakan-Peranakan Cina ini itu rakyat negeri; maka mereka itu periksa memperelokkan sangka ke atas mereka itu, sungguh pun setengah daripada Peranakan-Peranakan itu tak membukakan pintu perselisihan yang berbahaya bagi kehidupan pergaulan kehidupan watan dengan perkataan dan kelakuan mereka itu.

Tetapi orang-orang Melayu kebanyakannya di dalam memelihara hak bangsa dan kaum dan watannya masih tidak juga putus harapan bahwa tali yang telah sering dan hampir-hampir diputuskan oleh ijmak dan bebal itu boleh juga lagi pulih perhubungannya yang membawa kebajikan bagi pergaulan kehidupan watannya yang dikasihi ini, jikalau dikehendaki oleh ahli-ahli akal pengetahuan daripada Tuan Peranakan Cina itu.