![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 25 Mar 1933, p.7
General Article.
Cita-Cita Malayan dan Anak-anak Melayu Akan Datang.
Sambungan Saudara Bilangan 291.
Kita masih ingat lagi negeri Melayu amnya pulau-pulau Melayu pada zaman purbakala, iaitu di dalam kurun Masehi XV, pulau-pulau Melayu ini di bawah kuasa dan tadbir Raja-Raja Melayu, tetapi dari semenjak tahun Masehi 1511, negeri Melaka tertakluk ke Portugis, masa itu mulalah lemah kuasa Raja-Raja Melayu kerana dapat gangguan daripada bangsa-bangsa asing lebih-lebih lagi pada tahun 1619 Masehi, kota Jakarta ((Betawi)) pula jatuh ke tangan Kompeni Belanda. Kemudian pada tahun 1786 Masehi, Pulau Pinang pula diambil oleh Kompeni Inggeris daripada Sultan Kedah. Dan pada tahun 1819 Masehi, Temasik ((Singapura)) pula diambil oleh Kompeni Inggeris daripada Sultan Johor.
Demikianlah hal pulau-pulau Melayu kita terserah ke tangan bangsa-bangsa asing hingga tiada tinggal satu kerajaan Melayu pun yang berkuasa sendiri sebagai zaman purbakala.
Mereka-mereka yang mengambil negeri-negeri kita ini ada membantahnya dengan keras, yakni dipaksa-paksanya anak-anak negeri di situ supaya ngeri dan juak kepada mereka seperti perbuatan orang-orang Belanda di pulau-pulau Maluku di dalam kurun Masehi XVI.
Dan ada pula dengan pujuk rayu yang lemah lembut yang menarikkan hati Raja-Raja Melayu supaya mengasihinya.
Di dalam hal itulah dapat mereka berkuasa di negeri kita serta ada juga setengahnya hendak berkuasa di pulau-pulau Melayu ini dengan bermusuh-musuhan yakni hendak mendapatkan negeri itu di dalam hujung senjata ((peperangan)).
Melayu kita tidak bolehkah berkuasa sendiri sebagai moyang kita yang dahulu-dahulu? Tidakkah kasihan kita kerajaan Melayu yang sebegitu banyak, tiba-tiba sebuah pun tiada; tak mahukah kita membangkitkan semula kuasa Melayu? Melayu tak berupakah kuasa sebagai bangsa-bangsa lain?
Kita berharap dengan sebesar-besar harapan akan anak-anak cucu kita yang berperasaan kasihkan bangsa, kasihkan tanahair dan kasihkan Raja, tebuskanlah balik kekuasaan Melayu supaya terbangun semula sebuah kerajaan Melayu yang dikemudikan oleh anak-anak Melayu sendiri!
Mudah-mudahan dengannyalah terpelihara!!!
Adapun yang demikian tulisan Jawi ((Melayu)) agaknya tidaklah terhapus atau meninggal sebutan buah mulut orang sahaja ataupun lenyap sama sekali.
Begitu jua Bahasa Melayu tidakkan hapus kiranya Melayu berkuasa sebagai yang ada sekarang, bahkan sebagaimana cita-cita kita.
Di dalam banci tahun 1931 Masehi kelmarin, orang-orang Melayu tidaklah ramai seperti bangsa Cina, bilangan Melayu sangat sedikit, sekadarkan nama Melayu sahaja masih timbul dengan banyak, barangkali dalam tempoh 1000 tahun lebih kurang orang-orang Melayu hilang sekali tidak dapat tiada dipandang bagaimana rupa, sifat, tabiat, keadaan kelakuan dan perusahaan Melayu hanya boleh dengar-dengar cerita tawarikh sahaja sebagai Semang dan Sakai yang bertambah-tambah susut bilangannya dari sehari ke sehari ini.
Manakala luput tulisan bahasa dan bangsa Melayu, negeri Melayu pun bersama-sama mengikut dari belakang menyelam dan ghaib entahkan apa-apa pula namanya diberi gelaran baru oleh yang berkuasa di sini.
Dengan hal yang demikian pertukangan dan perusahaan Melayu pun sama-sama juga menghabiskan diri mengiring rakan-rakannya yang telah luput, sedangkan sekarang pun sudah beberapa banyak pertukangan-pertukangan Melayu zaman dahulu telah hilang nama dan rupanya sekali, barangkali satu perempat sahaja lagi yang masih tinggal kepada kita, itu pun semua tidak mengerjakan dia semata-mata asyik dengan moden konon!
Rujuk dan timbanglah balik harta-harta pusaka Melayu supaya jangan sampai lenyap ((hilang)) sekali!
top |