Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Mar 1933, p.1

Leader Article.

Cukai dan Barang-barang Yang Bercukai Di Jajahan-Jajahan Tanah-Tanah Melayu.

Jika difikirkan hal cukai dan barang-barang yang bercukai pada masa ini di dalam jajahan tanah-tanah Melayu ini, maka tampaknya semata-mata terkena kepada orang-orang yang berniaga sahaja.

Tetapi sebaliknya hal-hal ini boleh dikatakan ialah semuanya tertanggung keberatan sangat-sangat di atas orang-orang miskin.

Adalah sebabnya yang kita katakan demikian ialah apabila kita banding dan timbang dengan halus, maka kita dapati sekalian barang-barang yang bercukai itu banyak daripada barang-barang kain baju ataupun makanan.

Semuanya itu ialah barang-barang yang fardhu kepada orang-orang miskin belaka. Dengan sebab itu kita berharap kepada Tuan-Tuan dan Pegawai-pegawai yang berkuasa yang menjalankan perkara cukai-cukai itu fikirkan dan menimbangkan hal-hal itu dengan halusnya.

Sungguh pun masa ini ialah masa kesusahan tetapi bagi pihak kerajaan itu hendaklah menimbangkan perbuatannya itu dengan adil ke atas isi negerinya, terutama sekali anak-anak negeri, supaya jangan jadi keuntungan itu terdapat di sebelah pihak kerajaan sahaja. Pada hal, sekalian rakyat-rakyat yang bernaung di bawah perintahnya itu menanggung kesusahan.

Maka tiadalah sekali-kali pula kita membantahkan kerajaan telah menaruhkan cukai di atas barang-barang yang wajib bercukai itu. Bermula yang kita katakan ini bagi barang-barang yang tiada wajib bercukai. Seperti barang-barang kain baju dan makanan itu; bukankah barang-barang yang sangat-sangat wajib kepada sekalian rakyat-rakyat negeri mempergunakan pada tiap-tiap hari dan masa?

Apakah akan jadi kepada sekalian orang-orang miskin yang di dalam tanah-tanah Melayu ini? Apa wajibkah mereka itu sekalian bertelanjang ataupun jangan memakan makanan, kerana mereka itu tidak mampu hendak membeli barang-barang makanan dan pakaian itu dengan harga yang tinggi? Bukankah hal yang sedemikian ini berlaku daripada kerajaan sebab berkehendakan wang. Maka dicukaikan barang-barang itu dengan tiada berhingga-hingga?

Pada hal sudah kesusahan yang telah dipikul oleh rakyat-rakyat negeri pada masa meleset ini. Maka jika kerajaan tiada mau menaruh kasihan di atas rakyat-rakyatnya yang miskin itu, tidak dapat tiada mereka itu sekalian balik semula pada cara asalnya berpakaian dengan kulit terap seperti orang-orang Sakai pada masa dahulu. Jika hal yang demikian ini kelak telah berlaku, apakah pula fikiran Raja-Raja yang memerintah negeri-negeri itu? Yang sedang duduk di atas takhta kerajaan? Apa tiadakah pula Raja-Raja itu patut mengikut aturan rakyat-rakyatnya itu? Tidak dapat tiada mesti. Jika tiada maka negeri-negerinya itu akan jadi seperti negeri-negeri yang tiada munasabah dengan rajanya.

Cuba kita balik bandingkan rakyat-rakyat yang di dalam jajahan Straits Settlements dengan rakyat-rakyat yang di Tanah Melayu itu, bukankah rakyat-rakyat di dalam jajahan Straits itu terlebih mendapat kemenangan daripada rakyat-rakyat yang di Tanah-Tanah Melayu itu? Padahal, mereka itu dan rakyat-rakyat negeri Melayu itu pun di bawah naungan kerajaan Inggeris juga. Tetapi aturan dan pacuan kerajaan Straits ini sangat-sangat berlainan daripada kerajaan-kerajaan Melayu.

Di dalam jajahan Straits, boleh kita dapat beli kain di dalam 8 sen sehelai dan gula 4 sen sekati. Maka di dalam jajahan tanah-tanah Melayu barang-barang yang seperti ini juga telah terpaksa kita membayar tiga empat belas sen pada sehelai kain dan 13 sen pada sekati gula.

Bukankah rakyat-rakyat yang sekian itu telah terpaksa membeli barang-barang yang tersebut itu dengan harga yang terlalu mahal dijajahan negeri-negeri Melayu dengan sebab kerana cukai-cukai yang diletakkan oleh kerajaan-kerajaan itu?

Inilah bezanya di antara kerajaan Straits dan Negeri-Negeri Melayu.

Jika demikian akhirnya rakyat-rakyat negeri Melayu itu akan lari meninggalkan kepada orang-orang bangsa-bangsa asing dan harus-harus takhta kerajaan itu pun akan tiada beberapa lama lepas daripada ini boleh dipanjangkan oleh pak-pak hitam dan taukeh-taukeh.

Dengan sebab ini kita sangat-sangat berharap kepada kerajaan-kerajaan Melayu itu menimbangkan di atas hal ini supaya rakyat di negeri itu terpelihara dengan selamat kerana bila selamat rakyat negeri itu, barulah selamat kerajaan.

Dan apabila rakyat negeri-negeri semuanya tiada bertentu hala dengan huru-hara dan kerusuhan, maka kerajaan pun akan menjadi seperti yang demikian itu juga.