Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 29 Mar 1933, p.8

Halaman Kanak-Kanak. Rencana Penyunting.

Kecermatan.

Telah Abang tuliskan sedikit rencana di dalam bilangan yang lalu berkenaan dengan perkara jimat cermat itu dengan ingatan moga-moga saudara-saudaraku mengambil gunai akan dia. Tetapi huraian Abang itu hanyalah menempuhi bahagian jimat cermat bersangkutan dengan wang sahaja yakni di dalam hal bagaimana dapat dihimpunkan dan dibelanjakan wang itu dengan tiada mendatangkan kerugian atau kepayahan kepada diri kelak, manakala datang masanya.

Inilah Abang hubungi sedikit perkataan lagi supaya dapat saudara-saudaraku memperhatikan cawangan yang lain pula di dalam pekerjaan berjimat-cermat itu.

Adapun perkara yang hendak diterangkan sekarang ini ialah bertentangan dengan kecermatan di dalam gunaan harta benda yang diempunyai oleh kita, iaitu bagi kita yang bergantung kepada bantuan ibu bapa lagi, harta benda ibu bapa kita juga.

Umpamanya, pakaian yang kita pelasahi tiap-tiap hari itu, semuanya dikirakan beli juga kumbah-kerapih habuan kita. Maka sayogialah kita ambil insaf akan ibu bapa kita itu dengan mempedulikan sama kepada kain baju yang kita pakaikan itu yakni maulah kita berjimat di dalam pakaian kita itu.

Budak-budak yang tiada cermat selalu didapati sangat ganas di dalam pakaiannya, tiada mengambil usahakan hendak mempeliharai pakaiannya daripada mendapati kobek atau carik, iaitu tiada lagi pilih-memilih di mana-mana jua hendak diduduki atau hendak dibawakan diri.

Dengan hal yang demikian itu, lekaslah buruk pakaiannya itu yang mewajibkan keluaran wang terlebih lekas lagi daripada jika ianya berlebih jimat dalam gunaannya akan pakaian itu.

Begitulah juga dengan buku-buku dan alatan-alatan pelajaran kita. Jika seorang budak itu seorang yang jimat cermat, nescaya adalah kepadanya ingatan hendak mengurangkan belanja dan mempeliharai harta punyanya dengan beberapa jimat jagaannya akan suatunya, buku-buku bacaannya, dipunyainya baik-baik, supaya tiada lekas kotor dan kobek kerana manakala tiada dapat dibacai tentulah mewajibkan pembelian yang baru pula. Demikian juga pelbagai perkakas-perkakas gunaan hari-hari, janganlah umpamanya mensia-siakan kertas, misalnya mengoyak-koyakkan keluar muka-mukanya daripada buku kosong, ataupun kayu rul dipatah-patah atau diketuk-ketuk akan dia.

Cubalah saudara-saudaraku perhatikan budak-budak yang berjimat itu; selalulah didapati boleh menolong ibu bapanya dengan menjagai buku-buku atau perkakas-perkakasnya supaya dapat digunai kelak benda-benda itu boleh adik-adiknya ataupun dijualnya manakala tiada lagi dikehendakinya.

Jika kita menggunakan buku-buku atau perkakas-perkakas yang diberi pinjami oleh kerajaan, maulah kita berjimat demikian itu juga, oleh sebab itu pun sesuatu jalan menolong kerajaan kita dengan kecermatan bagi pihak kita iaitu menyenangkan kerajaan kita, dan jika kerajaan kita senang, tentulah kita beroleh senang juga.

Demikianlah Abang ambil ringkaskan dengan sedikit misalnya di dalam perkara berjimat itu dan diharapi janganlah saudara-saudaraku mensia-siakan seruan Abang ini.