Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Mar 1933, p.8

Halaman Kanak-kanak. Rencana Penyunting.

Menolong Bangsa Kita.

Selalu juga kita dengarkan seruan orang menyuruh kita menolong bangsa kita.

Setengah-setengah daripada saudara-saudaraku akan berfikir bagaimanakah gerangannya hendak menolong bangsa itu padahal saudara-saudara sendiri pun tiada lepas lagi daripada bantuan ibu bapa ataupun pendeknya belumlah lagi dapat mencari duit sendiri lagi.

Maka janganlah saudara-saudaraku berfikiran yang kita sekalian ini tiada dapat membantu bangsa kita manakala masih kita dalam kumpulan "budak-budak" lagi.

Bahkan adalah juga bahagian kita di dalam pekerjaan menolong bangsa kita ini dengan beberapa jalan yang barangkali tiada sempat Abang hendak huraikan dengan sepenuhnya dalam ruangan ini.

Seperti mana yang dapat saudara-saudaraku mengetahui dengan seruan suratkhabar-suratkhabar dan pengajaran masa kepada orang-orang kita, maka mereka itu telah sudahlah sedar sedikit, tidak seperti dahulu lagi.

Sekarang cuba saudara-saudaraku perhatikan dalam suratkhabar-suratkhabar kita dan jua suratkhabar-suratkhabar Inggeris beberapa pergerakan yang telah mereka itu buatkan; umpamanya membuka kedai atau sesuatu perniagaan kecil dan besarnya.

Pekerjaan-pekerjaan yang dahulunya orang-orang Melayu "segan" hendak membuatnya sekarang sudah ada.

Umpamanya, cuba saudara-saudaraku lihat iklan-iklan dalam akhbar; bukankah ada kedai-kedai gunting rambut Melayu, kedai dobi Melayu, kedai rempah cabai Melayu, kedai minyak motokar Melayu, kedai nasi Melayu, dan banyak lagi!

Saudara-saudaraku semua tentulah kebanyakannya sebulan sekali pergi ke kedai bangsa kulit hitam supaya digunting atau dicukurknya rambut saudara-saudara. Sekarang manakala sudah kita adakan kedai-kedai kita sendiri, bagi saudara-saudara yang diam di jajahan yang ada kedai-kedai gunting Melayu itu, cubalah pergi ke kedai bangsa kita pula. Alangkah moleknya?

Itulah menolong bangsa kalau saudara-saudaraku pergi ke kedai Melayu bukankah berkebimbangan hati pembuka-pembuka kedai orang-orang kita, dan mereka itu akan merasai tiadalah sia-sia mereka itu mencuba pekerjaan yang demikian. Ada juga anak-anak kita yang suka menolong bangsanya.

Manakala mak atau bapak saudara-saudaraku suruh pergi ke kedai membeli-beli barang-barang, tujulah saudara-saudara ke kedai Melayu, jika ada ((jika tidak, ke kedai Keling)).

Begitulah juga apa-apa perniagaan bangsa kita maulah kita menyokong dengan seberapa bolehnya.

Janganlah kita membodohkan diri kita dengan membiarkan orang-orang Cina mengetuk hidung kita: satu kati ditimbang 14 tahil, pada hal jika di kedai-kedai Islam yakni Melayu kita juga tiadalah didapati yang demikian itu.

Kerapkali saudara-saudaraku memberikan orang-orang Cina, Hindu dan Benggali membasuh lain baju dan sebagainya. Sekarang bangsa kita sendiri pun ada membuka kedai yang demikian itu. Tolonglah orang-orang kita pula dengan menghantarkan kain baju kepada mereka itu ataupun berilah kepada mereka itu sendiri manakala mereka itu datang ke rumah.

Demikianlah boleh kita sekalian menolong bangsa kita dan janganlah perasaan kebangsaan itu terlekat sekadar di hujung lidah dan di mata pena sahaja.