Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Mar 1933, p.1

Leader Article.

Perempuan-Perempuan Melayu dengan Kemajuan Jawatan Bergaji.

Muhammad Amir al-Othman.

Dengan sukacitanya saya menyambut kedatangan Cik Mahani ke halaman Saudara kerana cik baru ada perasaan hendak menuliskan buah fikiran cik bagi Kaum Ibu yang tua membaca dan menulis Melayu ((Jawi)) untuk difikirkan oleh sekalian yang berhati kemuafakatan.

Ingat saya, Cik Mahani tidak kemalasan agaknya, belum. Jika tidak berfahaman kelawar yang boleh memandang waktu senja ((maghrib)) dan hari gelap ((malam)) sahaja. Sungguh pun demikian, bukan saya Melayukan hati perasaan cik, tidak. Kerana penulis sungguh pun cik ini sememang-memang saya jemputkan fikirannya. Manakan tak, mula-mula penulis makalah akhbar kemudian dengan takdir Tuhan menjadi pengarang bagi kaum perempuan.

Perkara-perkara yang saya syorkan ini sudah lama bertanam di perigi ((telaga)), barangkali jika tidak dengan sokongan daripada sahabat-sahabat yang bijaksana seperti Tuan-Tuan Za`aba Muhammad, Omar Mustapha, Abdul Majid, Salleh al-Latif, Teruna Sekarang, dan lainya, dan kami telah berseru ((bukannya menjerit)) hingga akan kering tekak rasanya, tiada juga kaum Ibu bersuara, melainkan Cik Hapsah yang budiman.

Kami pihak laki-laki ((jika sahabat-sahabat penulis saya sudi bersama-sama pula)), telah menaburkan buah fikiran kami supaya dirundingkan oleh saudara perempuan tentang kesukaan dan kedukacitaan kerana kami terasa pedih hati jika melihat sekalian peluang-peluang yang mana patut boleh dijatuhkan oleh Kaum Ibu kita Melayu, untuk laki-laki masing-masing, sudah mara ke hadapan mencukupnya. Telah terpulang kenangan bangsa melayang ((Malayan)).

Memadailah sudah masa yang ke belakang mereka ((Malayan)) memerah susu tanahair kita Semenanjung ini, memindahkan segala baja harta yang ada ke negerinya. Dan sekarang negeri kita sudah lembab ((kering)). Adakah patut kita biarkan supaya mereka angkat kaki meninggalkan hempas sahaja?

Tentu tidak!

Jika Kaum Ibu dan laki-laki bersama-sama berpegang tangan menari ke hadapan merampas sekalian kemajuan itu. Akan tetapi ke sini? Bila di kenang-kenang air mata jatuh berlinang. Kaum kita Melayu belum ada perasaan Kemajuan, tolong-menolong. Jika yang kita seorang dua mencadangkan apa-apa yang boleh menjalankan kemudian kemajuan timbullah beberapa ahli-ahli pencerca dari segenap lembah dan gunung dengan segala panjat memanjat di atas awan-awan sahaja.

Tambahan pula, hasad dan dengki belum mau bercerai dari kaum kita. Jika seorang berpangkat tinggi yang hasad pun mencari jalan meruntuhkan. Jika seorang pandai bermain bola yang lain sedia hendak mematikan kakinya. Tetapi bukannya pula ditegah penegur-penegur yang bijaksana. Tentang perkara ini saya harap Cik Mahani, Hapsah dan penulis-penulis perempuan yang lain jangan tersalah faham tunjuk kata daripada che-che itu, suatu teguran ((criticism)) yang amat dihargakan dan saya berasa megah dengan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Kemudian, apabila ditilikkan pula semula, di dalam beberapa rencana saya Saudara 262 bukannya pula saya mengerah menyuruhkan segala perempuan tidak terkecuali tua atau muda bekerja di pejabat kerajaan-kerajaan? Ingat saya tidak!

Silalah bentang semula Saudara yang tersebut kalau kurang percaya. Kerana hajat saya cuma meminta fikiran ramai. Kalau bersetuju dan rasa-rasa boleh dijalankan, ayuh, bongkar sauh belayar!

Sebaliknya kalau tidak larat dan tak bergaya pula pegangkan, biarlah kita berlabuh di pelabuhan kebodohan dan keliaran tinggal lagi, sebab hati teragak hendak bersokong-sokong bahu seumpama semut di tepi tingkap memindahkan telur-telur masa kedatangan hujan lebat itu, saya keraskan juga hati perasaan supaya maju kaum kita yang akan datang ((jika yang sekarang tak berdaya)), supaya dapat ditepiskan kasar haluannya, dengan tidak menghiraukan pecah memecat daripada Kaum Ibu.

Kemudian hari, jangan menjadi kesesalan yang tidak berfaedah dikatakan makan seseorang, masa ada peluang baik berdiam diri sudah kosong baru bersodok seperti orang memungut buah berangan.

Ya, benar juga seperti kata Cik Mahani di halaman kanak-kanak Saudara 281 bagi menyokong Cik Hapsah dan Tuan Omar Mustapha, biarlah perempuan-perempuan bekerja di dapur sahaja, tetapi terasa belas pula kalau-kalau tidak dapat semuanya Kaum Ibu menjadi General Bangku dan Puteri Dapur, anak sungai lagikan berubah, ini pula hati orang, kata pepatah.

Baiklah, tak guna berceloteh panjang darihal perkara ini. Memadailah di belakang angan-angan menjadi kerani di ofis-ofis itu, cubalah taburkan fikiran Cik-cik Penulis perempuan yang lain pun dijemput fikirannya perihal cadangan Tuan Abdul Majid Salleh al-Latif di Saudara yang lalau itu, mencadangkan hendak meminta kepada kerajaan dan Sultan-Sultan kita mengadakan sebuah sekolah pertukangan bagi perempuan, malukan Cik-cik sekalian menyokongnya?

Semolek-moleknya pula bersuaralah Kaum Ibu sekalian dengan satu suara permintaan kepada kerajaan. Sebab pun saya katakan demikian, kerana ditakutkan menjadi sia-sia sahaja. Jika kita laki-laki terpekik-pekik seperti terompet ((bugle call)), kemudian tiada hasil maksud kerana perempuan belum suka memajukan, masing-masing masih suka duduk di para-para dan sudut-sudut dapur sahaja.

Ayuhai Kaum Ibuku! Cubalah kenangkan supaya jangan berlinang-linang air mata bertabur mengenangkan nasib pada petang-petang. Waktu ini zaman beredar bukannya seperti zaman kuno itu lagi. Seorang hidup yang tiada berimu pencarian ((trade)) harus mati kelaparan, kata Longfellow, penulis yang dermawan.

Saya harap janganlah berkata kalau perempuan tak pandai, dan tak jadi kerani pun boleh dapat makan. Itu pun benar juga, tetapi bersusah payah, tambahan musim meleset, janda makin lama makin banyak, kerana menunjukkan rangkainya, sungguh pun perempuan ada pusaka ibu, tak payah menitikkan peluh atau membanting tulang rezeki akan datang kerana paras molek saya takut boleh jadi hilang kehormatan. Cuba fikir sekali lagi jika seorang dapat bercampur dengan orang yang lain yang benar kepandaian tinggi kerapkali beruntung, tidak seperti peniru jahat hendak berjimat-cermat ((ekonomi)) konon, tetapi tidak berguru dan tak tau gaya, akhirnya sudah buruk bertambah hodoh, mula-mula pakai tudung selendang, lama-lama bergondol dengan tidak memperdulikan di mana tempat seperti kata Mak Ngah tadi.

Seperkara lagi, kata Tuan Za`aba Ahmad, pun perempuan Melayu kita suka bermegah-megah mencari nafkah belanjan sendiri, melainkan berharap kepada orang yang tuanya. Jika demikian, tampaknya sia-sia sahaja dipelajari dengan beberapa ilmu persekolahan, bukannya sahaja menghabiskan masa harta pun bersama-sama akhirnya terbakar di dapur atau terselit di atas para sahaja.

Perkataan saya ini tetap sekali menjadi kemarahan kepada ibu bapa kuno dan sumpahan daripada kaum perempuan-perempuan kemodenan. Tidak mengapa, saya sedia menerima dan saya ibaratkan pancutan ini seumpama tahi lembu yang dicurahkan ke atas sayur-sayuran, apatah lagi sumpahan-sumpahan zaman ini tidak boleh memindahkan manusia menjadi kanak.

Masa ini masa sesak kemarau meleset, tercurah ke seluruh dunia. Masihkah kita belum mau anak-anak perempuan kita yang boceng atau janda ((terkecuali yang bersuami)) diluluskan mencari kerja dengan jalan bergaji yang halal, takutkan malu? Barangkali sebab dipandang orang ramai jika menjadi tukang dobi, penjahit kain, atau penjual-penjual buku-buku di kedai yang dipunyai oleh orang-orang Melayu ((kerja kerani, typist, secretary, itu taruhlah belakang dan biarlah laki-laki jadi hempasnya)) jadi kata orang anak siapa ini? Dan kita terasa malu, jika di belakang-belakang perigi, di rumah-rumah kosong, atau dekat pokok-pokok besar, berkasih-kasih dan membuat pekerjaan yang keji-keji ini, tidakkah mendatangkan malu juga?

Maaf! Malu boleh datang dengan berbagai-bagai bahaya tetapi kita tidak mengerti kerana ilmu belum cukup dan kebanyakan kurang selidik, akhirnya takutkan hantu terpeluk bangkai.

Aduh! Aduh! Banyak sangat saya menggunakan ruangan yang berharga dengan segala rungutan yang tidak berharga dan menggalangkan peluang penulis yang lain. Perkara yang demikian sahabat-sahabat yang berfikiran jernih dan berilmu tinggi seperti Tuan Za`aba Ahmad dan Abdul Majid Salleh al-Latiff tidak sunyi akan menaburkannya, biarlah saya berhenti sementara dan saya iringi berbanyak-banyak salam dan maaf. Was-salam.