![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 25 Mar 1933, p.1
Leader Article.
Perubahan-Perubahan di Malaya. Pemandangan Wartawan Kita "Bintang Timur".
Berhubung dengan banyak perubahan di dunia mesti dijalankan dan tidak bisa mesti menurut aturan-aturan kolot sahaja. Maka kerajaan Inggeris yang paling banyak mempunyai jajahan di seantero dunia itu sudah pula menunjukan perubahan yang baik difikirannya. Kalau perubahan-perubahan itu di tempat yang jauh telah pula kita akan membicarakannya, tetapi perubahan-perubahan di Malaya yang dekat dengan kita ini patut pula kita perhatikan.
Sedari ada utusan sulit kerajaan Inggeris di London pergi ke Tanah Melayu untuk menyiasat dan menyelidikkan keadaan di situ supaya biasa dijalankan perubahan-perubahan di Malaya yang terutama mesti menyenangkan Bumiputera di situ.
Maka Peranakan-Peranakan Tionghua ((Cina)) dan India pun tampil membiasakan protest kenapa anak-anak Bumiputera Malaya itu diberikan segala-gala yang lebih daripada Peranakan-Peranakan bangsa asing yang hidup di situ.
Berbagai-bagai protest dan pemandangan dimajukan oleh leader Tionghua dan Hindu dalam Legislative Council di Singapura. Tetapi Government Inggeris tampaknya mengambil berat betul supaya anak-anak Melayu yang asal dari situ mesti dikasi hak-hak yang lebih daripada bangsa-bangsa asing Peranakan di situ, kerana mereka hidup dan mati mesti cintakan tanah tumpah darahnya.
Tetapi Peranakan-Peranakan Tionghua dan India yang mintak digelarkan diri mereka ada bangsa "Malayan" tidak begitu dan masih cinta dan setia pada tanah tumpah darah datuk nenek mereka atau negeri leluhur mereka, dengan bukti yang terang jika ada apa-apa yang pantang untuk memberikan pertolongan di Malaya di negeri mana mereka hidup dan dapat penghidupan mereka tidak pula hiraukan, tetapi jika ada apa-apa di Tiongkok ((Negeri Cina)) atau di India, mereka bersungguh-sungguh akan memberikan sokongan mereka.
Di antara Peranakan bangsa asing yang sangat gayat akan mendapat hak-hak yang sama dengan anak-anak Melayu ialah Peranakan Tionghua, baik di Straits ((Negeri Selat)) dan di Malaya.
Dan berhubung dengan itu, dalam suratkhabar mingguan dari Peranakan Tionghua dari Straits yang bernama The Malayan Chinese Review, nombor 12, Pak Cina ((muka 15 tanggal ((tarikh)) 11 February, ada demikian gambar-gambar sindiran yang menunjukkan bagaimana bangsa Tionghua telah membikin makmur Malaya serta ditunjukkan Malaya itu kurus dan Inggeris itu memimpinnya. Tetapi dari pihak Malaya di jawab pula sebagaimana ada tertawa di dalam suratkhabar Majlis Kuala Lumpur bahwa kekurusan bangsa Melayu itu kerana didesak dan ditindas oleh bangsa asing dan sebagainya.
Maka patutlah pula mereka itu dibuat gemuk di tanah tumpah darah mereka sendiri.
Berhubung dengan perubahan-perubahan ini, jika bangsa Melayu pun mulai berkata pula membuka pasar-pasar harian, mingguan, Jumaat, dan sebagainya, di mana bangsa Melayu di Malaya sahaja yang boleh berniaga berjual di situ, sehingga ada pasar Melayu itu mengasingkan bangsa Melayu Minangkabau dalam pasar mereka di sana sekarang.
Di Kuala Lumpur dan Perak sudah mulai kelihatan timbul restoran ((tempat makanan)) Melayu, toko-toko Melayu dan barber-barber ((tukang gunting rambut)) Melayu dan sebagainya. Dan bangsa Melayu yang sedar akan kebangsaannya mulai pula pentingkan pergi ke situ daripada ke tempat-tempat bangsa-bangsa asing.
Lebih jauh lagi kerajaan Inggeris mulai memberikan hak supaya dalam negeri-negeri Melayu itu diadakan tentera-tentera dari bangsa Melayu Peranakan di situ, dan tidak lagi dijagai oleh soldadu-soldadu India atau Burma.
Perubahan-perubahan yang memberikan hak-hak lebih untuk anak-anak Melayu di situ dengan dipimpin oleh ambentar-ambentar Inggeris, menteri-menteri utusan dan Sultan ketuanya di situ sendiri, tentu sekali memberangsang dan puas hati anak-anak Melayu! sehingga jarang atau tidak ada sama sekali gerakan Komunis di antara Melayu di Malaya, hanya ada gerakan Komunis di antara Tionghua dan terkadang-kadang Indonesia-Indonesia yang datang ke situ.
Untuk memajukan dan membantu anak-anak Melayu maju dalam perniagaan dan industri ((perusahaan)), sekarang mulai bulan January yang baru lalu dijalankannya undang-undang yang tidak memberikan lulus pada bangsa-bangsa dagang asing yang datang ke Melaka hendak berniaga.
Dengan semua perubahan ini, terutama perubahan dan undurnya pula, maka anak-anak Melayu banyak terima kasih pada pemimpin Inggeris atas diri mereka.
Dengan pepatah Melayu, Mesti Setia Pada Raja, maka perubahan-perubahan itu sangat dijunjung tinggi, oleh bangsa Melayu dan Sultan-Sultan mereka pula bekerja keras ke jurusan itu.
top |