Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Mar 1933, p.6

Editorial.

Tidak Boleh Hidup Jikalau Tidak Bersekutu.

Persekutuan di antara satu dengan lain di dalam sesuatu kaum yang di dalam dunia ini ialah asas kehidupan.

Bermula tiap-tiap kaum yang berpecah belah di antara satu dengan lain dan bermusuh-musuhan sama sendiri itu membawa kepada punah dan hangus. Dengan sebab inilah kita lihat dan kita dapati tiap-tiap suatu kaum yang telah maju kehidupan dunianya ini masing-masing berusaha bagi menambah-nambah dan menguatkan persekutuan kehidupan mereka itu dengan membangunkan beberapa macam persekutuan di dalam tiap-tiap suatu perkara yang hendak dilakukan oleh mereka itu dengan peraturan dan undang-undang yang menutup sama sekali pintu berpecah belah di dalam tiap-tiap perkara yang ditujunya dengan bangunan persekutuan-persekutuannya itu.

Maka dengan sebab ini bolehlah kita dapati bahwa tiap-tiap persekutuan mereka itu berjalan dengan cukup nazam peraturan yang menerbitkan segala tujuan-tujuan yang dibangunkan kerana dengan tidak pernah kita mendengar sesuatu apa-apa pergaduhan atau perselisihan di luar daripada Majlis Mesyuarat mereka itu bagi berbahas dan tegur menegur kerana mengelokkan perjalanan tujuan persekutuan mereka itu.

Adapun kita ini telah masuk bilangan ratus tahun bercampur dan melihat serta mengetahui hal ehwal perjalanan kaum-kaum yang hidup ini dan kita telah yakin dengan hati dan dengan pengetahuan yang sebenar bahwa segala pekerjaan yang dilakukan oleh mereka itu, sangat-sangat memberi guna kepada perhimpunan dan persekutuan dan tiap-tiap perkara daripada tujuan-tujuan mereka itu.

Dan telah kita tiru itu, tetapi dengan duka cita hati kita berkata sungguh pun rupa dan nama serta sajak pekerjaan-pekerjaan yang kita tiru itu telah dapat kita perhukumkan tetapi hakikat atau asas yang dituntut daripada tiruan itu iaitu mengukuhkan perikatan persekutuan hidup di antara satu dengan lain di dalam tiap-tiap perkara yang kita tiru itu luput daripada kita sama sekali sehingga kerapkali menerbitkan pula daripada persekutuan yang kita kehendak dengan tiruan kita itu perselisihan dan berpecah belah, atau bermusuh-musuhan yang meronggaikan tali perikatan persaudaraan yang umum yang diseru oleh ugama dan kehidupan dunia pun sama.

Bermula, kejadian yang demikian ini pada ghalibnya meliputi perhimpunan kita ialah suatu daripada penyakit yang maha besar yang tidak patut sekali-kali bagi orang berpengetahuan dan ahli-ahli akal yang kasih sayang akan bangsa dan saudara dan watannya berdiam diri tidak membahas di mana tempat terbit penyakit itu supaya dicarikan ubat yang membetuli dengan penyakit yang dahsyat yang akan membawa punah dan hangus perhimpunan kaum yang dikasihi ini.