malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 6 Feb 1933, p.7
General Article.
Sedikit Pemandangan di Zaman Meleset Ini.
Pada masa ini tidaklah sunyi kita daripada mendengar akan persungutan orang-orang daripada serba bangsa Semenanjung ini di atas kemelesetan dunia yang telah bermaharaja lela di dalam Semenanjung di masa yang lalu, serta di masa ini, yang mana belum lagi mendapat keputusan yang agak menyenangkan hati umat Semenanjung ini.
Begitu juga kaum kita Melayu membanyakkannya tidak sunyi daripada bersungut-sungut di dalam akhbar-akhbar bangsanya di atas tanahair kita Semenanjung ini yang mana bangsa-bangsa asing yang menumpang duduk buat mencari nafkah kehidupannya di negeri kita ini telah berura-ura hendak merebut sebahagian daripada hak kita.
Inilah masanya, pada fikiran penulis, kita patut sedar dengan secukupnya dan juga janganlah kita leka duduk mendiamkan diri sahaja.
Patutlah kiranya kita memperbanyakkan persungutan di atas bangsa-bangsa asing yang sangat-sangat dihargakan hak kita itu supaya jangan sampai mereka terbiar daripada memiliki hak kita. Dan adalah persungutan daripada kalam yang mengandung arti itu ialah sebagai suara yang ramai daripada kaum kita sekaliannya memohonkan harap kepada pemerintah kita yang maha adil supaya hak kita tinggal seperti biasa.
Adapun Kemelesetan itu ditanggungi oleh serata alam dunia. Dan Semenanjung kita ini bolehlah dikatakan satu daripadanya yang telah tertimpa dengan beratnya oleh Kemelesetan itu. Sungguh pun demikian, umat Semenanjung daripada serba bangsa tidaklah begitu susahnya, apabila dibandingkan dengan keadaan umat-umat negeri yang lain di serata dunia ini, sebagaimana selalu kita mendengar khabar sangatlah menanggung azab serta dengan sengsaranya; oleh disebabkan terkena bahaya meleset itu.
Semenanjung kita ini pada sedikit tahun yang telah lalu adalah ia terjumlah daripada satu negeri yang makmur daripada kebanyakan negeri-negeri yang lain dari kena pada masa meleset ini yang bermaharaja-lela sekarang ini. Semenanjung kita telah menjadi satu negeri menanggung susah yang agak berat daripada negeri-negeri yang lain.
Kita umat Melayu sekaliannya patut menerima kasih serta dengan syukur kepada pemerintah kita yang maha adil kerana di bawah tadbir jagaannya yang cukup di atas kaum kita Melayu, serta kebaktiannya mempertahankan hak-hak serta tanahair kita daripada direbut atau dimiliki oleh bangsa-bangsa asing yang mendiami tanahair kita di Semenanjung ini.
Begitu juga pemerintah kita telah bermurah hati di atas meluaskan pintu jawatannya kepada kaum bangsa kita di masa ini sungguh pun kerajaan kita terpaksa mengurangkan kaki tangannya sebahagian daripadanya dari kerana mengurangkan di atas belanjanya di zaman meleset ini.
Adalah yang dikehendaki sangat-sangat bagi kita umat Melayu sekaliannya taat kepada pemerintah serta Raja-Raja kita. Dan hendaklah kita mempertahankan sangat diri kita daripada berseteru di antara satu dengan lain supaya bersatu hati. Dan janganlah kiranya seperti yang telah lalu kebanyakan daripada umat kita tidak sunyi daripada hasad berhasad, dengki berdengki serta berbalah sesama sendiri.
Ingatlah wahai Tuan-Tuan: bersekutu itu meningkatkan mutu.
Pendek kata, hendaklah berbanyak-banyak sabar dan harapan kita. Jika boleh biarlah terkeluar daripada garisan kesusahan yang berat yang menimpa pada sisi umat kita. Begitu juga hendaklah kita menaruh percaya serta berharap moga-moga Zaman Meleset yang maharaja-lela sekarang ini akan meninggalkan bekasnya dengan segera.
Disudahi dengan memohonkan maaf kepada pembaca-pembaca yang budiman. Was-salam.
top |