![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 14 Sep 1932, p.7
General Article.
Persatuan Perniagaan Sekolah Melayu.
Kita tidak mengaku segala apa yang akan kita tulis ini semuanya benar dan betul belaka, tetapi saya mengaku segala apa yang hendak disajikan ini terbit daripada hati yang suci dan sempurna kasih kepada kaum dan bangsa.
Oleh sebab tamak saya akan kebahagiaan dan kemajuan Melayu pada masa yang akan datang, maka saya cuba membuka pintu.
Saya sangat bersetuju jika semua nazir sekolah-sekolah Melayu termasuk penolong nazir dan guru pelawatnya bila-bila ada mesyuarat persatuan guru-guru akan membawa ke dalam mesyuarat akan hal berkenaan dengan persatuan berniaga. Saya rasa sangat patut dan sangat wajib rasanya tiap-tiap negeri akan mengadakan persatuan perniagaan itu di antara semua sekolah-sekolah Melayu untuk melatih anak-anak bangsa kita ke dalam dunia perniagaan.
Sekian lama sudah tampaknya boleh dikata semua sekolah-sekolah Melayu menggunakan perkakas seumpama buku-buku tulisan, dakwat dan sebagainya dibeli dengan tidak tentu dan tidak serupa serta daripada bangsa asing pula. Agaknya saya patut sangat-sangat dari sekarang kita mulai melatih anak-anak bangsa kita kepada bersatu, bersyarikat dan bekerja-kerja sama, iaitu dengan diadakan persatuan perniagaan.
Caranya bagaimana yang hendak kita buat berkenaan dengan itu boleh saya kemukakan untuk fikiran saya pada hari ini.
Tiap-tiap negeri adakanlah suatu tubuh perkonsian persatuan perniagaan dengan dinamakan Persatuan Perniagaan Sekolah-sekolah Melayu, iaitu disyarikatkan di antara murid-murid sekolah bangsa Melayu laki-laki dan perempuan yang ada di dalam negeri itu. Begitu jua murid-murid Melayu yang bersekolah Inggeris patut jua menyertai persatuan itu.
Wang modal yang digunakan untuk menjalankan perniagaan itu hendaklah tiap-tiap seorang murid laki-laki dan perempuan beryuran sepuluh atau dua puluh sen sebulan. Dan guru-guru satu ringgit sebulan, hingga beberapa bulan ke hadapan agak mencukupi untuk menjalankan perniagaan itu. Iaitu diminta kepada semua guru-guru besar akan menolong memungutkannya.
Wang itu hendaklah dibayar kepada Pejabat Pelajaran masing-masing negeri, seelok-eloknya diadakan pula dahulu Pejabat Persatuan Perniagaan itu dengan mengandungi beberapa orang committee daripada Tuan Nazir, Penolong Nazir dan Guru-Guru Pelawat.
Maka di antara committee-committee itu pilihlah Tuan Nazir sendiri akan menjadi General Managing Directornya dan Penolong Nazir menjadi Penasihat dan Pemeriksa Kira-Kira.
Wang pendapatan yang dipungut tiap-tiap bulan daripada murid-murid dan guru-guru itu maulah disimpan di dalam bank sehingga cukup banyaknya untuk dijadikan modal. Jangan terburu-buru hendak segera menjalankannya kerana yang demikian akan tergendala kesudahannya.
Barang-barang yang diperniagakan itu hendaklah barang-barang yang sangat perlu kepada murid-murid sekolah dan orang-orang luar, terutama sekalian kanak-kanak sekolah, buku-buku dan lain-lain perkakas sekolah, perkakas pergunaan pejabat-pejabat dan barang yang wajib bagi rumah tangga seumpama makanan perhiasan dan sebagainya.
Persatuan Perniagaan itu hendaklah didirikan seumpama perdirian kompeni limited mengikut peraturan gudang-gudang Eropah. Pegawai-pegawai yang memegang pekerjaan di dalamnya, pilihlah daripada anak-anak bangsa Melayu yang telah lepas daripada sekolah mengikut darjah kepandaiannya dan perangai masing-masing.
Persekutuan itu hendaklah diadakan jangannya dalam tiap-tiap jajahan, iaitu tempat yang ada sekolah atau pejabat serta ramai penduduk-penduduknya.
Seeloknya hendaklah Persekutuan itu membuat ketentuan dengan ibu bapa kanak-kanak supaya membeli segala apa kepunyaannya yang ada terjual di kedai persatuan itu dengan sifat hendak menolong sama-sama memajukan persyarikatan masing-masing.
Tiap-tiap tahun, hendaklah diperiksa kira-kiranya dan keuntungannya dijadikan pula modal lagi sehingga persekutuan itu dapat menyaingi gudang-gudang Eropah di Tanah Melayu. Jika sudah sempurna majunya sebagaimana yang dikehendaki, bolehlah pula wang keuntungan itu dijadikan untuk penolong anak-anak Melayu yang kesusahan ataupun dibalikkan semula kepada yang punya modal.
Pendeknya, Tuan-Tuan yang berfikiran terutama sayogia Tuan Nazir dan Penolongnya, tentu lebih-lebih mengetahui akan jalan memajukan syarikat itu. Saya sangat percaya akan boleh jadi jaya persatuan itu, jika dibuat di dalam tiap-tiap negeri. Di harap di dalam masa yang tidak berapa lama lagi, setahun atau dua tahun ke hadapan, ada di antara salah satu negeri di Semenanjung ini yang julung-julung sekali memegang record fasal mengadakan Persatuan Perniagaan Anak-anak di Sekolah-sekolah Melayu.
Bergeraklah anak-anak Melayu ke dalam dunia perniagaan!!!
Salam hormat secara meminta maaf dari saya.
top |