Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 3 May 1933, p.5

General Article.

Nasib Perniagaan Melayu di Seberang Perak.

Seberang Perak ialah nama sebuah Mukim di dalam jajahan Kota Setar. Penduduknya ramai daripada bangsa-bangsa Melayu; dengan sebab itu biasa juga dipanggil Kampung Melayu. Pekerjaan orang-orang kampung terutama membuat rokok, nipah, bersawah, berkuli, menjual runcit-runcit dan lain-lainnya. Pendeknya zaman kesusahan ini telah menarikkan bangsa kita mahu berusaha.

Sungguh pun begitu, amatlah sedih dan dukacita di hati penulis mengingatkan keadaan orang-orang kampung tiada berapa kukuh tertanam di hati mereka itu darah perasaan hendak menolong bangsanya terutama di dalam masa kesusahan ini. Tabiat-tabiat Orang Melayu pula banyak yang suka hendak menolong bangsa Cina dan Keling supaya lekas kaya raya dan pulang ke negerinya membawa wang ringgitnya harta pusaka orang-orang Melayu; walhal kita pandai bersorak sahaja hendak Maju! Maju! Hingga jelak telinga mendengarnya.

Tetapi apa yang dihadapan kita tiada mahu berusaha membantu dan menolong supaya tercapai nama Maju itu, tak usahlah perhatikan pada perkara-perkara yang jauh, lihatlah seperti mana perdirian sebuah kedai bangsa Melayu yang tersergam dihadapan mata kita berhampiran pula dengan rumah Pengulu Mukim itu. Apa yang sudah jadi!! Terdesak, ternganga, dihimpit oleh kedai-kedai bangsa Cina dan Keling makin hari makin bertambah bilangannya. Tambahan pula orang-orang kampung tiada berapa suka hendak memajukan perniagaan bangsanya yang menjadi sampai hati melangkah masuk ke kedai bangsa Cina dan Keling membeli barang-barang; padahal bangsanya ada tercatup [?] di muka pintu memandang perbuatan Tuan-Tuan itu; kasihan melihatnya!

Penulis percaya kedai ini jika tiada sebab lima enam orang pegawai-pegawai kerajaan yang sedarah berperasaan hendak menolong bangsanya barangkali tentu berkubur tutup sama sekali pintu dijauhkan Allah kiranya daripada yang demikian.

Ayuhai bangsa-bangsaku Melayu! Khasnya di Seberang Perak, cuba Tuan-Tuan ingatkan semula ke belakang bukankah sedikit masa dahulu kita telah membangunkan sebuah kedai syarikat kampung dan perjalanannya ada baik dengan sebab Persatuan kita kukuh hingga tertutup dua tiga buah kedai Cina yang berhampiran dengannya.

Tetapi oleh kerana perbuatan kita sendiri akhirnya kedai itu pun tertutup. Sekarang adakah berpuas hati melihat perniagaan bangsa kita sendiri ditewaskan oleh bangsa-bangsa asing dengan sebab perbuatan kita itu?

Sudahlah kita dikalahkannya dengan perniagaan yang besar-besar umpama membuka gedung gudang dan sebagainya perniagaan yang kecil-kecil hendak dibayarkan ke dalam genggamannya jugakah?

Tak patut sekali-kali!

Dan lagi, sebelum terbangun kedai-kedai Melayu tampaknya heboh orang-orang kita memperbincangkan dan berseru berdoa supaya terdiri kedai bangsanya; hendak menolong bangsa konon!!

Sekarang ini marilah kita bersama-sama muafakat menolong perniagaan bangsa sendiri supaya maju, buangkanlah pakaian hasad dengki itu, gantikan dengan bersatu hati mahu menolong bangsa; mudah-mudahan dapat kita menghalaukan bangsa-bangsa bidaah ini daripada mengikis wang harta punya kita.

Adapun menolong bangsa sendiri itu seumpama keluar wang daripada saku kanan masuk ke saku kiri.

Kita mesti ingat orang-orang Cina dan Indian serta bangsa yang tiada mengenangkan budi seberapa kaya raya harta punya kita dibolot hantar ke negerinya kecualikan bangsa kita akan tunggul di sini juga lagi pun bangsa ketam bersenget dan gagak ini kebanyakan bersifat tipu menipu, kecuh, putar belit wang harta punya kita inilah menjadikan mereka itu beroleh kesenangan.

Sedarlah dari masa sekarang kalau mahu sedar!

Penulis.