Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Oct 1933, p.1

Leader Article.

Kelebihan Orang-Orang Melayu Berlangkahan dengan Suratkhabar.

Bahkan mengikut bagaimana peredaran masa dan kemajuan bangsa, riuh rendahlah bunyi Semenanjung Tanah Melayu ini suara anak-anak watan, masing-masing merunding dan menyediakan kelengkapan menyeru bangsanya kepada kemajuan hidup bagaimana bangsa-bangsa yang bertamadun dengan jalan perubahan yang elok yang menyerupai akan menjadi suatu pimpinan atau tauladan kemudian kelak tentang seruan dan pertunjukan yang didapati itu; kebanyakan terbentang di dalam suratkhabar dan majalah yang dikemudikan oleh setengah daripada anak-anak watan yang kasihkan bangsa dan tanahairnya.

Begitulah jua tampaknya putera Semenanjung yang bangsawan telah mulai berlangkah menggerakkan dirinya masuk bercampur gaul mengambil bahagian yang besar kepada keselamatan maruah kehidupan bangsanya dengan mengorbankan wang dan hartanya, kerana membangun dan mengadakan muslihat cetak mencetak suratkhabar-suratkhabar bangsanya yang berhaluan kepada pelajaran, pengetahuan buat penghidupan jalan-jalan mengembangkan benih-benih pengetahuan bangsanya, serta diatur dan dihiasi cahayanya dengan berbagai-bagai seruan dan karangan yang indah-indah oleh penulis yang bijaksana, kerana buat panduan dan ingatan tentang kejatuhan dan kemunduran bangsanya.

Tetapi sungguh pun demikian, mendatangkan hairan dan takjub pula di kalbu saya memikirkan perkara yang mengotorkan halaman suratkhabar itu, tidak sunyi pula didengar tiap-tiap kali keluar ada sahajalah mengandungi perbahasaan cacat mencacat, cela mencela, di antara satu dengan lain, hingga bergoncang kerusi, meja, qalam, dakwat di antara kedua pihak.

Amboi! Bukan alang kepalang lagi; amatlah dahsyat kedengaran bunyinya dengan panjang dan lebar, memenuhi beberapa ruangan berminggu-minggu, berbulan-bulan, bahkan ada jua yang dicapai kepada bilangan tahun, terkadang-kadang hingga jadi suatu pertengkaran yang keras, luar daripada biasa dengan menggunakan perkataan yang biadab, kata yang itu dengan berbagai-bagai perkataan yang cemar menghilangkan amarah nama bangsanya, berlanjutan atau berkekalan, hingga merebak pula api kepanasan itu masuk menyerap ke dalam darah dan jantung penulis-penulis yang berlangkahan dengan suratkhabar-suratkhabar itu.

Wah! Apalah lagi dengan tidak membuang peluang yang berharga, masing-masing pun menyingsing lengan bajunya menggerakkan tangan menulis karangan buat masuk bercampur gaul mengambil bahagian ke dalam perbahasan itu.

Maka perbuatan yang begitu, tidak dapat tiada mendatangkan kebencian pula kepada Tuan-Tuan Pembaca yang budiman, terutama sekali Tuan Pengarang.

Saya percaya tiap-tiap karangan yang mengandungi bahasan yang luar biasa, barangkali tidak ada seorang pun yang memuji akan kepandaiannya, hanyalah mengeji sahaja.

Demikian jua janganlah sekali-kali disangka dan difikirkan tiap-tiap karangan yang keras dan tajam itu boleh menewas atau mengalahkan lawan pedang penanya dan tunduk atau sujud mengaku kekalahan, ataupun terbilang kepada pangkat yang masyhur, cerdik, pandai, bijaksana, lebai, alim, ulama, dan ..., dan ..., tidak sepuluh kali tidak, perbuatan yang demikian itu patutlah dipadamkan dengan ditutup pintunya, jangan sekali-kali dibenarkan keluar ke medan halaman suratkhabar-suratkhabar lagi.

Maka ketutupan itu dipukul sama rata sahaja, tidak berkecuali kepada seorang pun walaupun sekiranya terkena kepada pengarang atau penerbit surat itu sendiri sekalipun, tidaklah terbiar dan terbebas, jika didapati ingkar jua ia di dalam perkara itu, patut dan harus benar kita memberi nasihat kepadanya supaya jangan dibuat lagi ataupun menolaklah kita jangan berlangganan dengan suratkhabar itu.

Sebaliknya pula pada fikiran saya yang bodoh ini, Tuan Pengarang atau penerbit masakan hendak bercampur gaul mengambil bahagian yang karut-karut itu. Hanyalah ia memadamkan perbahasan itu di antara kedua pihak.

Pendeknya, perkara yang menggalang dan merosakkan kepadanya semangat Melayu itu tidaklah elok dilakukan lagi, saya seorang yang sukacita membaca suratkhabar yang mengandungi perbahasan. Oleh itu menyerulah saya daripada tawarikh ini ke hadapan patutlah kita menjauhkan diri daripada jalan yang dipunyai bahas di bawah pengaruh hawa nafsu syaitan, bagaimana yang telah selalu kita dapati dahulu itu di dalam setengah suratkhabar-suratkhabar berkenaan dengan bahas ugama yang bertegang meriah bagi pihak mendakwa akan diri kaum tua dengan kaum muda.

Semenjak tawarikh itu sampai sekarang belum lagi hilang sukacita di hati saya membaca bahasan itu. Oleh itu haraplah saya kepada Encik-Encik dan Tuan-Tuan yang bijaksana janganlah kiranya meniru atau mengikut perbahasan di antara kaum tua dengan kaum muda dan istimewa pula janganlah berani membuka pintu perbahasan itu di merata-rata halaman suratkhabar-suratkhabar perbahasan Tuan secara tertib dan sopan.

Mudah-mudahan Allah subhanahu wa-ta`ala memberi taufik dan hidayah kepada jalan yang sebenar; had inilah sahaja saya merebahkan kalam yang runcing dihalaman ini. Selain daripada itu saya menuntut maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca terutama sekali Tuan Pengarang yang budiman atas kekasaran percakapan saya ini. Was-salam adanya.

Terima kasih daripada saya yang jauh,

Al-Yahya, P.T. Pahang.