Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Apr 1934, p.1

Leader Article.

Kasihan Nasib Anak-anak Melayu.

Oleh Muhammad Amirul Othman.

Sedikit masa dahulu terbaca oleh saya di dalam akhbar Malay Mail pertanyaan yang dihadapkan kepada Tuan Nazir Sekolah fasalnya anak-anak Melayu dalam negeri ini tidak ada yang menerima hadiah Queen's Scholarship, iaitu pemberian yang mana dibagi kepada kanak-kanak yang benar dan dilanjutkan pengajiannya hingga dihantarkan ke England dengan belanja Queen.

Adapun jawapannya daripada Tuan Nazir ini ialah bukannya disebabkan tidak ada anak-anak Melayu yang pandai, atau patut menerima kehormatan itu. Banyak juga anak-anak Melayu yang berpengetahuan tinggi dan yang tajam akalnya tetapi apa boleh buat, nasib anak-anak Melayu. Sebagaimana pun mereka memasang lampu tengah malam berusaha dengan beberapa daya dan upaya hendak mencapai kehormatan ini tidak juga jadi disebabkan tergalang oleh anak-anak bangsa dagang iaitu Cina, Keling dan Nasrani.

Maklumlah, minyak tak akan boleh bercampur dengan air dan kebanyakan guru-guru sekolah Inggeris di seluruh alam Melayu ini daripada bangsa dagang sedikit sangatlah guru-guru Melayunya. Maka sebab itu sekiranya ada satu atau dua anak-anak Melayu yang akan lulus di dalam ujian dan patut mendapat kemuliaan yang tersebut, tentu sekali sudah dialahkan oleh guru-gurunya dan diberi kemegahan ini kepada anak-anak bangsanya sendiri.

Kebanyakan bangsawan-bangsawan akan bertanya di manakah saya tau hal ini?

Pada fikiran saya, tak gunalah dipanjangkan kalam dan pertengkaran yang semacam ini, kerap kali mendatangkan perbahasan atau perang pena.

Jikalau kita menang sabung sekalipun, tidak ada faedahnya bila pulang, kampung tergadai. Contoh yang terang diri saya pun telah dilatihkan oleh guru-guru bangsa asing itu sebab pada masa itu belum banyak lagi anak-anak Melayu yang patut boleh menjadi guru ((sungguh pun demikian saya tidak lupa budi jasa guru-guru yang menanamkan ilmu ke otak-otak saya)). Perkara ini tak guna kita toleh ke belakang, pandanglah rata-rata apa-apa perkara di hadapan mata kita, apakah rasanya anak-anak Melayu yang di bawah asuhan atau hukuman guru-guru bangsa Malayan ini?

Saya percaya, payah sungguh jalan mendakinya, waktu meleset ini kerajaan telah menimpa ke atas kepala mereka dengan tidak akan mengambil anak-anak dagang ke dalam jawatan kerajaan selagi ada juga anak Melayu yang memintanya. Di dalam itu pun ibu bapa Malayan tidak khuatir dan alpa memberi pelajaran kepada anaknya, kerana ilmu itulah pusaka yang tak dapat dicuri atau hilang.

Akan tetapi bangsa Malayan, dagang yang tidak taukan untung malangnya dan tidak membalas budi kepada penaungnya, mencari beberapa jalan dan ialah supaya dapat menjatuhkan pangkat anak Melayu. Jika mereka mengajar pun bukannya dengan kehendak hati supaya anak-anak Melayu boleh pandai, semata-mata cuma menyempurnakan jawapannya dan cukup jam dan bulan menerima habuannya.

Ilmu yang dipelajarkan itu terpulang kepada anak-anak murid sendiri. Jika mereka berkehendakan lekas pandai, pasanglah pelita tiap-tiap malam melancarkan seberapa daya, kalau tidak pun buatlah apa suka masing-masing tiada siapa yang melarangnya. Bila cukup tahan panduan atau pemeriksaan barulah tau untung nasib masing-masing.

Hatta, apakala sudah kita ketahui hal yang demikian, patutlah anak-anak Melayu yang sudah mempunyai pelajaran tinggi seperti Senior dan sebagainya ((ilmu yang patut menjadi guru)), masih juga merebutkan jawatan kerani, inspector, peguam, doktor dan berbagai-bagai pegawai hingga ada yang mengorbankan dirinya menjadi pemungut nyamuk, mata-mata dan drebar-drebar motokar dengan tidak sedikit pun berhati kebangsaan dan berhajat hendak membantu kaum.

Keluar gunanya menewaskan bangsa dagang bedebah yang berhati kebentangan senantiasa hendak meruntuhkan kaum kita, mencitakan menjadi guru-guru sekolah Inggeris? Ingat saya sekiranya adapun bolehlah dihitung angkanya dan terkadang-kadang di dalam sebuah sekolah Inggeris kerajaan yang berisi anak-anak Melayu di dalam bilangannya empat lima ratus, guru Melayunya tidak ada seorang jua pun! Hairan!!

Kesudahannya, anak-anak Melayu jadi lawak bangsa dagang dan buat bahaman mereka sahaja. Sumpah serapah itu tak payah diucapkan lagi, kaki tangan pun boleh tiba serta merta.

Kasihan nasib anak Melayu!!!

Apa boleh buat? Tak saya tolong bangsa dengan harta pun tidak ada, ilmu apatah lagi, melainkan mengucap dan mengeluh sahaja yang boleh hai nasib anak-anak Melayu!!!

Tinggal lagi buat menunaikan harapan bangsa, saya cakarkan di dada akhbar-akhbar moga-moga boleh jadi seruan kepada saudara-saudara yang sudah menerima pengajian darjah tinggi di dalam ilmu Inggeris ((sekiranya yang sudah pandai Inggeris mau baca akhbar-akhbar Melayu, kalau tidak nasiblah)) dan mengingatkan kaum-kaum kalau pun tak boleh menyalakan api perasaan kebangsaan.

Jika tidak dapat mereka membebaskan kebajikan kepada saudara-saudara yang ketika ini di dalam sekolah, barangkali boleh menaburkan benih-benih ilmu itu kepada peringkat yang akan datang iaitu anak cucu kita kelak saya tidak berhajat mencerca saudara-saudara di dalam perkara menjadi guru, tetapi saya harap meminta dipermenungkan dan ditimbangkan halus-halus ia topik perkataan saya yang kekurangan ilmu ini.

Diiringi dengan salam dan maaf dari saya serta ucapan terima kasih kepada Tuan pengarangnya. Was-salam.