Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Apr 1934, p.1

Leader Article.

Kegalangan Umat-Umat Melayu Semenanjung Tentang Berkemajuan.

Oleh al-Yahya, P.T. Pahang.

Sanya, besar benarlah dukacita di qalbu saya dari seminggu ke seminggu, dari sebulan ke sebulan, dan dari tahun ke setahun, melainkan kemajuan umat-umat Melayu Semenanjung ini masih jua lagi tertinggal jauh berpuluh-puluh batu ke belakang daripada kemajuan bangsa-bangsa asing, jangankan hendak membalas menapak setapak, langkah dengan perlahan ke hadapan mengikut* akan kemajuan bangsa-bangsa asing di sebelah barat itu pun tak ada gayanya.

Cuba kita lihat atau dengar merata-rata report yang bertentang perdirian sebuah kelab Melayu ataupun kedai, jarang yang terlebih tinggi, kerana apabila perdiriannya itu tampaknya hendak jatuh, tidak ada seorang pun yang hendak berbuat tentang bantu membantu dan sokong menyokong supaya tegak balik semula perdirian itu.

Oleh sebab apa?

Ialah terutama sekali kerana kekurangan muafakat tambahan pula tak pandai menggunakan jimat cermat ((ekonomi)). Kerana bangsa Melayu memang dari datuk neneknya tak ada sedia bersuka baik tentang muafakat itu tertanam di dalamnya seperti bangsa-bangsa lainnya.

Padahal, bermuafakat itulah pintu kemajuan dan punca kejayaan-kejayaan bukankah sudah dihuraikan oleh pendita-pendita bermuafakat itu berkat, bercita itu jaya, lemah itu putus asa, apabila bersatu miskin itu kaya ia apabila berbentuk.

Bahkan manakala dilihat dan dipandang dengan sekalian hamba sekarang ini, nescaya didapatilah beberapa perkara yang menggalakkan umat-umat Melayu Semenanjung tentang berkemajuan yang masih ada lagi tinggal bencinya di hati masing-masing yang akan menjadi baka kemudian hari, seperti dihuraikan di bawah ini:

Yang selalu kita dapati umat-umat Semenanjung dari zaman ke zaman sangatlah suka bersengketa dan berdengki hati di antara seorang dengan lain, walau keluarga sekalipun, maka dari sebab itu tumbuh benih perantaraan itu berumbi dan berakar hingga sampai turun temurun kepada anak cucu pada masa sekarang. Oleh sebab umbi dan akar itu tak dapat hendak diubah atau dibuang ke mana-mana buat sepatah kata bidalan Melayu "bagaimana acuan begitulah kuihnya". Dari semenjak tarikh itu sampai suratkhabar masih ada lagi terbawa gelombang ombak cita-cita yang siapa itu mengalun-alun di pintu hatinya ((mereka-mereka)), yang kurang pelajaran dan tidaklah terbuka pintu semuafakat, secara bersatu hati, bersatu fikiran dan bersatu tujuan.

Sebagai lagi cuba kita lihat, apabila seorang umat-umat Melayu Semenanjung telah mendapat satu pangkat atau kelebihan yang tinggi daripada rakan-rakanya, orang itu iri hati, sampai berhati dengki sedia sahaja hendak dibinasakan atau dirosakkan orang itu dengan apa-apa jalan, dengan tak ada berperasaan kalimah sayang kepada bangsanya yang sedang hendak mengembangkan benih pengetahuan bagi menaburkan kepada bangsanya.

Kebanyakan umat-umat Melayu Semenanjung kurang teguh benar setia di antara satu dengan lain, misalnya bila bersekutu empat lima orang hendak mendirikan sebuah perniagaan; kerap kali didapati seorang daripadanya berubah perasaan pada masa kawan-kawannya yang lain sedang bermesyuarat hendak memajukan perniagaan itu, tidak dapat tiada di dalam seramai itu ada seorang yang tiada setuju bagaimana dirundingnya kawan-kawannya itu.

Maka ianya kerana itu berpecah persekutuan masing-masing membawa hal sendiri, bahkan dengan jalan ini jadi tergalang apa-apa pekerjaannya.

Sangatlah sedikit bilangan umat-umat Melayu Semenanjung yang pergi ke lain negeri seperti England, Eropah, Kanada, Jepun dan lain-lain lagi melihatkan adat resam negeri itu. Jangankan hendak menjajah ke negeri itu, keluar dari sempadan negeri yang didudukinya itu pun tak pernah, istimewa pula orang-orang kampung yang dipenuhi otaknya dengan kebodohan, kebanyakannya leka bersuka ria di kampung masing-masing sahaja seperti katak di bawah tempurung. Bahkan oleh sebab kurang perjalanan, umat-umat Melayu Semenanjung ini terkuranglah penglihatan dan fikirannya dengan seberapa sempit dan singkat.

Apabila tak sempurna fikiran dan penglihatan umat-umat Melayu Semenanjung ini, tentulah tidak jatuh kepada jalan sekutu dan setuju. Maka tiga perkara yang saya bentangkan ini, itulah dia puncanya yang besar sekali membawa kemunduran bangsa kita makin lama semakin layu seperti pokok kekurangan bajanya.

Terimalah salam daripada saya yang jauh,

Al-Yahya, P.T. Pahang.