Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Apr 1934, p.7

Halaman Kanak-Kanak.

Perusahaan dan Ketekunan.

Sesungguhnya tiadalah ganjil sekali-kali di pengetahuan am bahwa perusahaan yang tekun itu akan membangkitkan mutu sesuatu kaum yang bernaung di dalam alam yang menerima perubahan ini, walaupun sebagaimana kecilnya keadaan kaum atau puak itu.

Maka nyatalah akan terkibar-kibar panji-panji kehormatan khas bagi kaum itu. Jika ketekunan di atas tiap-tiap perusahaan yang memberi manfaat di atas kaumnya tidak dijemukan, bahkan tiada pula dihiraukan sedikit sebanyak di atas teguran yang terbit daripada kaumnya juga. Tetapi kehormatan yang kelak terserah kepada puak itu akan berkehendak kepada masa yang berpanjangan dan ketekunan yang tiada berkeputusan di atas sebarang perkara yang diusahakan oleh puak itu.

Ketinggian sesuatu kaum atau puak itu bergantung ia di atas bilangan yang banyak lagi daripada mereka yang bijak dan yang berdarah kebangsaan dan tidaklah sekali-kali menjadi tinggi darjat sesuatu kaum ini dengan perusahaan seorang sahaja kerana perkara yang semakin akan menjadi mustahil.

Maka apabila bersetuju perusahaan syor-syor serta disokongi oleh rakannya dan bergirang hati dan terbitnya semata-mata ikhlas, maka perusahaan yang sedemikian sungguh pun ada di dalam golongan kaum kita Melayu maka keadaannya itu bukanlah di dalam bilangan yang banyak lagi ((diharap semakin bertambah)) sebaliknya pula perasaan yang sedemikian telah tersemai di hati puak yang telah jadi gemuk dengan tumbuhan Semenanjung ini dan tidaklah mereka lalai sekali-kali di atas tenaga mengecapkan puak mereka itu dan tidak pula mereka berlebih-lebih hati melihatkan kaum mereka dihinakan orang.

Maka di dalam peredaran masa ini jadilah teguh dan tegaklah mereka berdiri hingga tiadalah mereka gentar sedikit pun lagi dan bersuaralah mereka berganti-ganti dengan membantahkan perusahaan mereka kepada kerajaan dan memohonkan timbangan yang sama rata, kerana mereka apabila tidak berjaya bermacamlah pulak butiran yang diterbitkan hingga menjadi panas hati seseorang mendengar kan dia.

Sekarang tidaklah tersembunyi sekali bahwa kaum itulah yang menjadi dan akan menjadi racun yang sehabis-habis biasa sekali kepada kaum kita di dalam perkara percaturan kehidupan dan di dalam perkara serba-serbi, oleh itu sangat-sangatlah perlu bagi kita bersiap dan berjaga dan jalan perusahaan menuntut dan bertolong-tolongan dan sebagainya. Maka satu daripadanya buat mengurangkan ialah dengan jalan yang sekarang terbentang di dalam akhbar Saudara di dalam muka halaman kanak-kanak yang diurus oleh rakan penulis yang singkat pengetahuan ini, iaitu ialah Encik Muhammad al-Taib yang bijaksana dan senantiasa disokongi pula oleh rakan saya iaitu Encik Baba dengan menaburkan pengetahuan di dalam dunia yang pelik. Maka berharaplah saya akan maju dan subur tanam-tanaman.