![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 15 Sep 1932, p.1
Leader Article.
Nasib Anak Negeri Pahang Masa Akan Datang.
Pada pergerakan tahun 1932 dan berkaitan pula pengeluaran Majlis di Kuala Lumpur itu, bolehlah dikatakan bernasib baik Pahang; dan ialah suratkhabar yang tunggal membela keuntungan nasib anak negeri Pahang masa akan datang.
Kerapkali pula didengar anak-anak Pahang berkata suratkhabar Majlis sebagai suratkhabar dikeluarkan dari Pahang. Benar tak benar di atas perkataan itu ialah sebagai riwayat hidup pergaulan Majlis dan pertimbangan neraca Tuan-Tuan Pembaca.
Sekarang Majlis hampir-hampir setahun hidupnya, jarang benar yang kosong perkhabaran daripada penulis-penulis daripada Pahang yang berperasaan cinta ke tanahairnya itu. Diharapkan bertambah-tambah lagi masa akan datang!
Tetapi di dalam mana penulis-penulis itu tidak sedikit daripada terkena ancaman atau menjadi buah mulut anak-anak Pahang di zaman ini. Barangkali juga nama Tuan-Tuan Penulis itu akan diperingati oleh anak-anak Pahang masa akan datang. Iaitu sama ada baik buah fikirannya dan begitulah pula tentang buruknya jaranglah yang ketinggalan. Kita menulis rencana pada kali ini ialah buat menambah ruangan Majlis dan menghubung buah fikiran penulis-penulis yang sedang sibuk bekerja dan membela tanahair itu.
Kita harap janganlah Tuan-Tuan itu berasa jemu dan enggan daripada merencanakan apa-apa jua yang terlintas di mata hati Tuan-Tuan Penulis itu. Biarlah Pembaca-pembaca tidak mengambil endahkan dan buat apa-apa rencana Tuan-Tuan Penulis itu. Tetapi tak akan langsung ditinggalkan dengan tidak berbaca atau basi sahaja, melainkan adalah sahaja dibacanya.
Adapun makna maju itu suatu benda yang tersangat payah mencapainya, melainkan berkehendakan berlaun-laun dan beransur-ansur; iaitu setapak ke setapak dari selangkah ke selangkah, dan dan ....
Sungguh pun barangkali ada daripada anak-anak Pahang memikirkan orang-orang yang rajin menulis rencana ke dalam suratkhabar itu keadaan tidak sebagaimana; artinya miskin dan kurang pangkatnya, daripada orang yang tidak merencanakan atau bersungut di dalam suratkhabar itu. Fikiran dan hadiah daripada kaum kita itu haraplah Tuan-Tuan Penulis sambut dengan bersenang hati, sabar sahaja.
Pekerjaan dan kemahuan Tuan-Tuan Penulis teruskanlah juga, jangan berhenti-henti! Sekadar-kadarkan jangan menyakitkan hati Tuan-Tuan Pembaca manakala membaca karangan kita itu. Janganlah pula menyinggung atau menunduk kepada sesiapa. Itulah pesan penulis hari ini.
Akan tetapi kita mesti bekerja dan merencanakan apa-apa jua nasib anak negeri dan negeri kita yang telah hanyut jauh benar tertinggal daripada pergerakan kemajuan dunia. Tak usahlah kita ambil terlampau jauh, ambil sama Melayu pun cukuplah buat pemandangan kita Pahang; kalau tidak memakai suratkhabar, umatnya tak suka membaca, kita berani kata: Tuan-Tuan Penulis* beransur maju!!!
Barangkali benar kata Encik Abhi; Suratkhabar itu sebagai Semangat Roh dan Senjata Kebangsaan!
Bahwa bukanlah pula artinya pembaca-pembaca dan penulis-penulis suratkhabar itu hidupnya subur dengan kemuliaan dan terbilang daripada orang-orang yang tidak pernah membaca suratkhabar itu. Tidak pula begitu!!!
Kerana setengah-setengah penulis-penulis itu terkenal dan diketahui oleh anak-anak Pahang zaman ini. Barangkali juga semasa akan datang apa-apa kejasaan penulis-penulis suratkhabar, pengarang-pengarang buku, di zaman hadapan; di dalam mana kita boleh berjumpa dan dengar orang-orang berkata dan dibuat bidalan.
Kalau hendak membetulkan ekor orang lain terlebih dahulu dibetulkan ekor sendiri. Jauh lagi kalau hendak menasihatkan orang, lihatlah keadaan diri sendiri, artinya kalau Tuan ((awak)) sudah kaya ((hartawan)), barulah boleh menasihatkan orang dan barulah mengarang dan menulis di dalam suratkhabar.
Ya! Bidalan dan kehendak orang-orang seperti yang tersebut boleh juga dipakai buat sementara hidup semasa itu ((kumpulannya)). Akan tetapi, semasa hayat Majlis ini, bukan begitu kehendaknya. Iaitu orang yang rajin dan tulus ikhlas memberi apa-apa buah fikiran dan nasihat kepada bangsanya itu bolehlah dibilangkan berkhidmat kepada bangsa dan negerinya.
Maka tidak sedikit memberi nasihat kepada dirinya masing-masing apakala mereka itu membaca balik rencananya itu, tatakala sudah bercap di kertas khabar itu. Inilah pemandangan kita.
Kita tak sanggup menantikan umat kita sudah menjadi hartawan dan berumah batu beratus-ratus buah baru hendak menasihatkan kaum. Dan semasa itu, baru buka mulut atau merencanakan dalam suratkhabar. Kalau begini peringatan kita Pahang 100 tahun tidak bergerak lagi harta-harta Melayu, habis ditelan oleh anak-anak dagang yang sekarang sedang bersuara Semenanjung Malayan itu!
Maka umat kita masih juga berjauh-jauh hati masing-masing dengan membawa hidup seperti anu dalam belukar, tidak banyak yang suka bekerja untuk tanahair dan bangsanya.
Sekarang kita boleh perhatikan rencana-rencana penulis-penulis di luar negeri; apakah bendanya disuarakan selain daripada kasih ke tanahair dan bangsanya.
Maka kita di sebelah sini, apakah pergerakan dan perubahan yang kita dengar buat berbanyakkan anak negeri Pahang?
Tidakkah terlintas di hati hendak mengadakan apa-apa persatuan dan pekerjaan tentang kedatangan Sir Samuel Wilson dari England itu?
Patutkah umat Pahang berdiam diri sahaja sebagaimana ketiadaan persekutuan-persekutuan Melayu yang bersemangat semasa ini?
Itukah hendak diturut atau didiamkan???
Kita harap penulis-penulis Pahang seperti Putera Pahang dapat menimbangkan pula di atas seruan penulis ini ((Anak Negeri Pahang)); dipohonkan Putera Pahang selalu-selalu keluar ke dalam medan Majlis yang sangat menolong pergerakan kita di Pahang ini.
Sokonglah pena Encik Abhi yang muda mulia itu, sudah sibuk bekerja bagi tanahairnya itu.
Ya! Kita tidak menidakkan apa-apa percadangan bagi negeri, tetapi kita suka mendengar dan membaca apa-apa buah fikiran penulis-penulis muda zaman ini buat untuk permenungan pembaca-pembaca Majlis yang dihargai oleh Anak Negeri Pahang ini.
Jikalau patutnya kita boleh bersuara dan bukanlah pula buat punca perbahasan kosong sahaja selama-lamanya. Kita tidak berharap dan tak gemar Majlis ini membawa perbahasan yang kosong. Benarlah ia membawa perkhabaran-perkhabaran yang lebih bererti, kepada negeri dan bangsanya, bagaimana ada cita-cita pengarangnya itu.
Terimalah setagan buah fikiran kita Ya Anak Negeri Pahang dan terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya. Was-salam.
top |