![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 13 Apr 1934, p.7
Halaman Kanak-Kanak.
Kesusahan Bekerja Di Musim Meleset!
Banyak juga saudara-saudara yang kita jumpai merungut di serata-rata tempat terutama di kedai-kedai kopi kelazimannya mengatakan pada masa sekarang susah hendak dapat kerja baik di mana-mana juga.
Tidak, tidak, tidak! Kerja bukan kita mencari akannya! Ialah kita membuat akan dia; ada juga yang kita mencari seperti makan gaji kepada ofis-ofis dan saudagar-saudagar, tetapi jikalau kita sudah tahu susah hendak dapat sebab Musim Meleset ini, ofis-ofis tidak mahu memakai orang banyak membuat tiap-tiap sesuatu pekerjaan, tidakkah ada ikhtiar kita membuat kerja yang lain?
Seperti memotong kayu, dan membuat apa-apa pekerjaan sendiri, iaitu jalan yang boleh mengisikan perut kita dengan titik peluh kita jauhkan daripada meminta sedekah.
Ini suatu cerita kejadian di tempat saya sendiri; apabila seorang peminta sedekah datang meminta sedekah di rumah seorang yang boleh dikatakan hartawan juga. Maka segeralah tuan rumah itu turun dari rumahnya dan mengajak si peminta sedekah itu duduk di atas bangku yang berdekatan dengan rumahnya itu serta bertanya apa fasal yang awak ini meminta sedekah apa bendanya uzurkah awak ini?
Jawab si peminta sedekah ini, tidak tuan, saya sudah dibuang oleh orang daripada jawatan saya. Dengan sebab ini, saya susah mendapat kerja yang lain. Inilah yang saya meminta sedekah.
Di dalam bercakap-cakap itu tuan rumah itu pun terpandang di jari peminta sedekah itu ada sebentuk cincin. Maka segera dipintanya cincin itu kepada si peminta sedekah itu dan diajaknya pergi ke kedai bersama-samanya hendak dijual akan cincin itu.
Maka si peminta sedekah itupun turutlah bagaimana kehendak tuan rumah itu. Maka tuan rumah itu pun menjualkan cincin itu dengan harga yang berpatutan. Setelah itu, dibelinya sebilah kapak dan diberinya kepada si peminta sedekah itu, sambil berkata: jangan lagi engkau meminta sedekah kerana itu suatu perkara yang aib pada pandangan orang ramai. Pergilah engkau memotong kayu di dalam hutan. Setelah engkau potong, engkau jemurkan kayu itu supaya kering, dan engkau bawa ke pekan, jualkannya.
Maka si peminta sedekah itu pun menurutlah sebagaimana disuruhnya tuan rumah itu, tiap-tiap kali ditanggungkan kayu ke pekan, dijualnya. Antara beberapa lamanya ia membuat kerja itu, pada masa ini boleh dibilangkan ia itu seorang yang berada juga.
Pada suatu hari ia pun datang ke rumah orang hartawan itu dengan mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan rumah itu, oleh sebab dengan usaha tuan rumah itu menunjukkan satu daripada jalan pekerjaan kepadanya itu, dan tuan rumah itu pun tertawa sebab melihatkan kedudukan si peminta sedekah itu pada masa dahulunya.
Jikalau kamu hendak menjadi Raja, tentu sudah bukan?
top |