Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Aug 1934, p.7

General Article.

Sedikit Pemandangan Kedai Melayu Dan Pergerakan Kemajuannya dan Sebab-Sebab Kejatuhannya.

Oleh "Membeli" Perak.

Sambungan Saudara Bilangan 430.

Kemudian daripada masa yang tidak berapa lama, mulailah pula setengah daripada si pembeli-pembeli bangsaku itu mencubai hendak berhutang di kedai itu. Bahkan pula adalah maksud si pembeli-pembeli yang hendak berhutang itu tidaklah kosong sahaja, sebab telah diluluskan si tuan kedai itu, akan tetapi sebelum diberikan oleh tuan kedai akan barang-barangnya itu kepada orang-orang yang berkehendakan kepadanya.

Maka terlebih dahulu tuan kedai berkata ataupun bertanya kepada si yang berhutang, berapakah lamanya ia berkehendakan atau meminta tempoh barang-barang yang dikehendakinya itu? Jawab yang berhutang tidak lama hanyalah satu minggu sahaja umpamanya.

Maka si tuan kedai pun tidaklah merasai keberatan sangat seperti yang dipinta oleh yang berhutang itu jikalau selama yang telah disebutkan itu. Oleh sebab difikirkan itu hendak berdusta atau menipu kepadanya, lebih-lebih lagi difikirkannya bahwa yang berhutang itu ialah kaum sebangsanya sendiri, bahkan seagama pula, apabila telah dengarkan oleh tuan kedai akan demikian itu apa tentu terus sahaja ia memberikannya!!!

((Begini fikiran tuan kedai yang pemurah itu, tetapi apakah pembalas mereka itu kemudian daripada telah memperolehi barang-barang yang dimaksudkannya itu? Lihatlah akan dihuraikan di bawah)).

Sungguh pula adalah orang-orang yang telah berhutang dahulu itu di masa permulaannya tidaklah sia-sia sahaja akan perjanjiannya, sebab ia sekarang telah dapat memenuhi janjinya buat pembayar hutangnya yang telah diambilnya terlebih dahulu itu.

Yang demikian itu, tentu menyukakan si tuan kedainya, sebab orang-orang yang telah berhutang kepadanya dahulu itu sekarang ini telah memperbuat membayarnya, yang demikian ini tuan kedai bertambah yakin memberikan barang-barangnya berhutang kepada orang-orang yang meminta. Kepadanya, begitulah pula seterusnya akan orang-orang yang berhutang itu ada setianya buat pembayar hutang-hutangnya di kedai itu.

Tetapi kemudian daripada beberapa lamanya yang ada setia itu, ada pula yang membuah kurang setia pula, yang demikian itu tentu mendatangkan khuatir kepada si tuan kedai, sebab kaum bangsanya yang diharapinya membeli dikedainya itu telah pula mulai membuat kurang setianya, oleh itu si tuan kedai tidaklah luput daripada menengok piutang-piutang itu kepada orang-orang yang telah berhutang kepadanya itu. Tetapi apakah jawabnya mereka-mereka yang telah berhutang itu, apakala di tengok kepadanya, hanyalah jawab mereka-mereka nantilah sementara mendapat wang dahulu barulah dibayar.

Yang demikian jawapan si yang berhutang itu, tuan kedai oleh sabar juga buat menantikan sampai tempohnya ia akan membayar itu.

Tetapi adalah piutang-piutang yang dinantikan oleh si Tuan kedai itu tiada juga tampaknya yang berhutang itu hendak membayar daripada sehari ke sehari, tidak-tidak juga, bahkan datang pembeli pun tiada lagi dilihat oleh si Tuan kedai itu kemudian. Maka di sini barulah menyesal si Tuan kedai oleh kerana ia memberi orang-orang berhutang tiada bertahan, yang demikian itu tentu kesalahan daripadanya sendiri, sebab tidak bertahan-tahan sangat daripada memberikan kepada orang-orang yang tiada menaruh setia dan amanah kepadanya. Maka ditentangnya si pembeli-pembeli pula dari sehari kepada ke sehari telah beransur-ansur kurang datang ke kedainya, oleh sebab setengah daripada mereka itu telah membuat tahi ((utang)) pula, yang tiada kurang pula akan banyaknya.

Begitulah seterusnya si pembeli-pembeli telah beransur-ansur kurang datang membeli ke situ, sebab hutang telah menanti sedia.

Sekarang kedai yang sangat-sangat majunya seperti yang telah saya sebutkan di atas dahulu itu, tentulah sekarang akan terpaksa ditetapkan, apakah hendak dibeli barang-barang lagi kemudian daripada modal yang memang sedikit dahulu telah tersimpan di tangan orang-orang sahaja, malah pula barang-barang yang ada sedikit lagi di dalam kedai itu pun beransur habis, hingga kepada barang-barang yang sangat-sangat perlu diuntuk dapur pun tiada lagi.

Oleh yang demikian itu, tiadalah lagi diharapi akan kemajuannya bahkan modal yang ada sedikit-sedikit dahulu pun telah kehabisan, jadi terpaksalah ditutup.

Sayang kedai yang sangat-sangat dikasihi itu tiada panjang umurnya, taukah saudara-saudara bahwa hutang itulah racun bagi perniagaan.