Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Dec 1934, p.8

Halaman Sahabat Pena.

Melayu Kampung Dengan Pekerjaan.

Oleh Pak Cu Pahang.

Sudah bilangan puluh tahunnya saya bercampur gaul dengan saudara-saudara kampung, pendeknya saya pun tumpah darah daripada kampung juga asalnya. Maka masa sekaranglah saya dapat memerhatikan dengan kasarnya hal kesaraan bagi pencarian dan pekerjaan anak-anak Melayu di kampung-kampung itu.

Melayu kampung itu terjumlah serajin-rajin mereka yang taat akan pekerjaan terutama bekerja humalah yang diutamakannya dan lain-lain pekerjaan lagi. Sekiranya salah seorang daripada mereka itu ketinggalan daripada berhuma ((tidak mempunyai huma)) masuklah ia jumlah orang yang miskin, susah makan, susah pakai, dan lain-lain terkecuali sekarang getah zaman berkupon tertumpulah harapan kepada berkupon sahaja.

Sedarlah hai Saudaraku, Melayu kampung yang berpikul-pikul kupon dan beribu-ribu padinya, hidupkanlah perasaan dan fikiran bagi mana ikthiar supaya harta itu jadi bertambah-tambah, jangan beri terus. Apakah satu jalan yang lebih baik? Jawabnya, tak lain dengan jalan berniaga atau lainan yang mendatangkan mata pencarian, tak sunyi pada merata-rata kampung yang kerajaan sudah mengadakan beberapa buah sekolah Melayu dengan gurunya Melayu patut sangat Melayu-Melayu kampung tumpang bertanya akan ilmu perniagaan yakni segala selok belok perniagaan terutama pada Encik-Encik Guru yang sudah keluar dari latihannya.

Ya! Saya tidak pula menidakkan Melayu-Melayu kampung itu tidak mengerti hal selok belok perniagaan. Tetapi seelok-eloknya kalau pengetahuan kita itu berada 25 peratus apakah salahnya digenapkan seratus betul?

Tidak pula menjadi kehinaan kerana bertanya ataupun dikata bodoh pula, buat kata bidalan, malu bertanya sesat jalan, segan berkayuh perahu hanyut.

Kita percaya anak-anak Melayu kampung tidak kurang pada menjalankan segala apa-apa juga pekerjaan yang mendatangkan faedah padanya. Tetapi pekerjaan itu tidak tampak bekas yang dibuat itu oleh beberapa sebab setengah daripadanya pekerjaan itu tidak mempunyai urusan yang sempurna, yakni berperaturan, pakai borong sahaja!

Ialah sebab kekurangan ilmu yang tersebut tadi, dan bagi pihak penganjurnya seperti ... mukim tidak menjalankan atau tidak memberi satu-satu contoh kepada mereka-mereka supaya pekerjaan mereka itu dapat berketentuan kelak boleh kata yang sudah-sudah pekerjaan Melayu kampung itu membuat pekerjaan tak mencukupi, sayang membuang masa dengan tidak berfaedah yakni tak dapat dikutip akan jasanya.

Sepatutnya sekarang janganlah leka lagi yang penganjur-penganjur kampung itu penghulu mukim, membuka langkah pada menyokong anak-anak buahnya dengan mengajar di zaman kemajuan dunia sekarang. Buanglah segala perasaan yang berpihak-pihak itu. Kita sangat-sangat menghargai akan buah fikiran M.P. Kampung yang dalam Saudara Bilangan 468 yang lalu. Coretan itu sebagai meminta pertolongan atau sokongan daripada penghulu-penghulu kampung yang berperasaan kebangsaan itu.

Penutup rencana ini, kita berharap janganlah pula menjadi berbincangan dengan Tuan-Tuan Pembaca di akhbar ini melainkan sebutlah salam persaudaraan yang sejati dari saya M.P. Pahang kepada sekalian S.P. di alam Melayu ini, maaf adanya.