![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 17 Nov 1934, p.6
Editorial.
Akhbar dan Kerajaan.
Di dalam negeri Iraq telah berlaku suatu peraturan yang disalinkan oleh Warta Malaya daripada perkhabaran yang dibawa oleh suratkhabar Arab, demikian bunyinya: oleh kerana banyak sangat pengaduan-pengaduan daripada suratkhabar-suratkhabar kepada kerajaan ((yakni kerajaan Iraq)), maka pihak yang berkuasa telah memberi perintah kepada yang dipertua-pertua bagi pejabat-pejabat kerajaan supaya meringankan pekerjaan-pekerjaan yang menjadikan berat ke atas suratkhabar-suratkhabar dan supaya suratkhabar-suratkhabar mendapat perkhabaran-perkhabaran yang termustahak dan disukai oleh pembaca-pembaca dengan mudah dan segeranya.
Ketetapan ini telah dipuji oleh suratkhabar-suratkhabar dengan beberapa hormat dan terima kasih dan suratkhabar-suratkhabar berkata iaitu dahulu suratkhabar-suratkhabar menyiarkan perkhabaran-perkhabaran yang sangat susah mendapatnya serta tidak dapat hendak ditentukan dengan kuat benar atau tidaknya.
Demikianlah perkhabaran itu terang kepada kita bahwa yang demikian menunjukkan pihak kerajaan atau yang berkuasa tinggi di negeri Iraq itu, telah menghargakan mutu suratkhabar-suratkhabar negerinya dengan tidak mengecualikan siapa pun dan apa bahasanya tetapi hendaklah kepadanya disampaikan oleh sekalian ketua-ketua pejabat kerajaan itu segala perkhabaran-perkhabaran yang munasabah kepada suratkhabar-suratkhabar bagi memudahkan penyiarannya kepada umum di atas sesuatu perkhabaran yang memang mustahak atau dikehendaki oleh pengetahuan umum itu.
Iraq bukan Semenanjung Tanah Melayu. Di sini kita belum melihat dan belum merasai dengan sepenuhnya bahwa suratkhabar-suratkhabar Melayu ini telah dihargakan sebagaimana nilaian penghargaan kerajaan Iraq kepada akhbar-akhbar di dalam negeri ini.
Di sini bukan sedikit pejabat-pejabat kerajaan yang kesemuanya ataupun setengah daripadanya itu mengandungi beberapa hal-ehwal dan peraturan-peraturan yang mustahak disiarkan bagi pengetahuan umum atau bagi kaum Melayu sekalipun. Seperti perkhabaran perubahan-perubahan pangkat dan pertukaran-pertukaran tempat pegawai-pegawai atau pembesar-pembesar negeri, perubahan peraturan-peraturan khas atau umum, ketetapan atau amaran sesuatu Majlis Mesyuarat dan jawatan-jawatan kekuasaan, report-report yang berhubung dengan kesihatan, kemakmuran, kekayaan atau kepicikan serta perlanggaran dan kejatuhan-kejatuhan yang berlaku, demikian jua hal-ehwal pemborongan, pembinaan, pekerjaan raya dan lain-lain seumpamanya, mana-mana yang layak dan mesti disiarkan dengan jalan perkhabaran atau pun iklan di dalam suratkhabar-suratkhabar itu, kita atau pun warta-warta khabar Melayu belumlah boleh mengakui telah mendapati dengan sepenuhnya sebagaimana yang didapati oleh surat-surat Orang Putih yang ada di dalam negeri ini.
Kita fikir bagi mendapati perkhabaran-perkhabaran dan iklan-iklan sebagaimana yang didapati oleh suratkhabar-suratkhabar Orang Putih itu adalah berhak jua bagi suratkhabar-suratkhabar Melayu akan mendapatinya dengan langsung daripada ketua-ketua pejabat pihak kerajaan, kerana suratkhabar-suratkhabar Melayu itu pun telah diterbitkan dia bagi kegunaan umum walaupun dibeli oleh khusus orang-orang Melayu belaka.
Maka hak yang demikian itu kita merasai patut menyatakan dengan ikhlasnya supaya mendapati perhatian daripada pihak yang berkuasa dengan maksud memudahkan dan melekaskan penyiarannya kepada pengetahuan umum, katalah bagi kaum Melayu khusus sebagaimana hak-hak yang tertentu bagi suratkhabar-suratkhabar itu dengan tidak mengecualikan besar atau kecil dan pun bahasa-bahasa yang dipakaikannya.
Sementara itu kita tidak lupakan setengah daripada perkhabaran-perkhabaran yang rasmi yang telah pernah kita terimai seperti mana daripada pihak Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Negeri Sembilan dan Negeri Melayu Persekutuan baru-baru ini, dan jua dari pihak Pejabat Majlis Bandar ini sebagaimana yang telah kita siarkan dengan sepenuhnya itu, maka kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.
Dengan pengetahuan yang demikian ini, akan menerima terus menerus yang seumpamanya lagi.
top |