Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 6 Apr 1935, p.2

General Article.

Rempah-Rampai Mencari Jalan Keselamatan Kaum dan Bangsa.

Oleh Amsal.

Faedah Menjauhkan Pandangan.

Menjauhkan pandangan yang dikata di sini ialah melawati negeri-negeri orang. Bahwa sesungguhnya orang-orang yang biasa melawati merata-rata dan berbagai-bagai negeri orang asing itu, terutama negeri-negeri orang yang berkemajuan dan bertamadun, adalah amat-amat besar faedahnya.

Bukan sahaja keadaan orang dan adat resam orangnya yang dapat dilihat, tetapi ialah faedah yang besar boleh didapati tentang bagaimana dan betapa gerak geri mereka itu berusaha atas mengerjakan hal kehidupan mereka itu, apa dan betapa dibuat mereka itu yang bertambah kencang dan bertambah-tambah kencang, walaupun bukan semua pergerakan mereka yang berada di negeri yang berkemajuan itu baik dan bagus di atas serba-serbinya.

Tetapi orang-orang yang melawat, iaitu yang betul hendakkan faedah daripada memperhatikan hal keadaan orang-orang di negeri-negeri yang dilawatinya itu dapatlah ia memilih di mana dan apa yang lebih-lebih baiknya buat dimasukkannya ke dalam bilik pengetahuan dirinya sendiri, dan yang akan berguna baginya di kemudian hari.

Tiap-tiap orang yang luas fikirannya itu dan yang lebih halus pemerhatiannya ialah orang yang biasa dapat memandang hal keadaan di tempat orang asing. Atau orang-orang yang telah biasa campur di dalam pergaulan orang-orang yang berbagai-bagai bangsa dan negeri. Kita boleh lihat sendiri dan tentu biasa mendengar, iaitu beberapa banyak orang-orang yang tinggi-tinggi pengetahuannya itu mereka itu gemar melawat ke merata tempat di muka bumi ini. Bukan sahaja ke pekan-pekan atau bandar-bandar yang besar atau kecil, malah ke hutan belantara, ke gunung ganang, ke laut, ke darat, semua sekalinya dilawati manusia, kerana hendak meluaskan pandangan-pandangan.

Faedah di dalam pemandangan itu boleh dikata seorang guru yang mengajar dalam rahsia. Adakalanya dengan sebab memandang itu lebih cepat pandai, dari belajar kepada seorang guru yang mengajar. Bukan tidak ada bangsa-bangsa manusia di muka bumi ini yang mendapat pengetahuan cuma yang memandang. Tetapi pandangannya mestilah dengan cukup perhati.

Jangan kita sangkakan kaum orang-orang Sakai yang diam di hutan rimba, Batin atau Semang-Semang yang diam di gunung ganang itu tidak ada kelebihan mereka itu daripada orang-orang di negeri, atau tidak ada kefaedahannya kita jika melawati tempat-tempat kediaman mereka itu.

Sesungguhnya kalau kita melawat ke tempat-tempat mereka itu kita akan tercengang kehairanan kerana melihat di atas beberapa perkara keadaan yang dilakukan mereka itu yang belum biasa kita lihat. Pendeknya bicara, di dalam hutan kita sengaja akan terbuas kalau berlumba dengan mereka itu. Di sini kalau diamat-amati berapa banyak faedahnya kalau kita sungguh berkehendak. Semuanya itu berfaedah. Faedah itu ialah pengetahuan. Orang-orang Eropah banyak yang mengembara ke hutan-hutan Malaya kita ini, jangan kira hutan-hutang di negeri asing.

Kita yang tinggal di negeri ini dalam Semenanjung Melayu ini tidak kita mengetahui di beberapa tempat dan ceruk-meruknya dan tak tahu kita hal-hal di dalam hutan yang jauh-jauh dari pekan-pekan dan kampung-kampung kita.

Pada hal, orang di Eropah sanya lebih mengetahui dari apa yang kita ketahui, telah dibukukan mereka itu di Eropah sanya buat pengetahuan kaum bangsanya. Dan telah ditayangkan mereka itu gambar-gambar hutan dan keadaan orang-orang hutan serta binatang-binatangnya yang di Malaya ini di negeri Barat sanya, bahkan di merata-rata dunia juga. Di harap anak-anak Melayu kita juga yang kehidupan ini gemar menjauhkan pandangannya ke merata-rata tempat. Kalau pun tidak upaya jauh-jauh, lawatilah yang sekeliling tempat kita ini dahulu.

Hey! Hey! Hey! Panjang sangat saya menulis hal ini. Harap Maaf.

Faedah Membaca.

Kita hendak sebutkan pula di sini perkara faedah membaca. Walaupun kita seorang yang memang rendah pengetahuan jua, tetapi sukalah kita menuliskan sepanjang ini yang kita tahu, dan dipohonkan kemaafan Tuan-Tuan Pembaca di atas apa-apa juga kesilapan yang terkandung di dalam tulisan kita, sama ada hari ini mahu pun di masa yang telah terkebelakang itu. Bahwa adalah faedah membaca itu boleh kata amat besar. Tetapi ialah yang mesti dipohonkan betul-betul.

Kita boleh perhatikan bangsa-bangsa Barat ataupun bangsa lain yang mereka itu orang yang berkemajuan. Sesungguhnya bukan sedikit buku-buku bacaan mereka itu dan beribu-ribu jenis nama suratkhabar-suratkhabar mereka itu. Hal itu ialah sebab mereka itu sudah cukup mereka itu akan faedah membaca. Satu orang yang hendak meminta kerja kepada satu-satu pejabat umpamanya, maka telah lebih dahulu dia mengetahui hal keadaan yang hendak dikerjakannya kelak. Manakala ia mendapat pekerjaan itu, sebab telah dijumpainya di dalam suratkhabar yang dibacanya.

Seseorang yang hendak berkongsi kehidupan dengan seseorang laki-laki telah lebih dahulu diketahuinya betapa hal keadaan orang bersuami isteri. Sebab biasanya membaca buku-buku atau surat-surat yang berkenaan dengan bab orang bersuami-isteri. Seorang pengembara yang hendak masuk ke hutan belantara di Afrika atau di mana-mana, sanya telah tahu ia lebih dahulu ke mana-mana dan sebelah mana akan ditempuhnya kelak. Sebab lebih dahulu telah dibacanya di dalam buku-buku atau surat-surat yang mengandungi bab hutan-hutan. Seseorang yang berhuma yang pendapatannya amat kecil atau seorang penternak di hujung-hujung kampung mereka itu gemar membaca dan upaya membeli buku-buku atau surat-surat yang hendak dibacanya sebab mereka itu telah ketahui benar-benar betapa kefaedahan membaca itu.

Begitulah seterusnya betapa keadaan bangsa-bangsa yang berkemajian itu menggunakan buku atau suratkhabar-suratkhabar kebangsaan mereka itu. Orang-orang Melayu kita di sini pun bukan sedikit yang menggunakan atau membaca buku-buku dan suratkhabar-suratkhabar mereka itu yang datang dari Barat sana.

Yang demikian ialah sebab selalu didapati bagus isinya, tetapi lantaran nasibnya buku-buku bacaan dan suratkhabar-suratkhabar Melayu kita di Semenanjung ini belum berapa baik lagi. Kecuali barangkali di sebelah Indonesia sanya. Sebabnya menjadikan nasib tidak baik itu ialah kerana kekurangan pembaca yang suka membaca akan dia, kita tidak boleh menyalahkan sebab isi suratkhabar-suratkhabar Melayu tidak begitu bagus macam yang ada pada suratkhabar-suratkhabar bangsa Barat. Sebabnya tentulah diketahui, iaitu manakala bangsa Barat mengisi suratkhabar-suratkhabarnya dengan perkhabaran atau rencana-rencana yang bagus-bagus itu, tidak dapat tiada ialah dengan bermodal yang banyak.

Rencana-rencana dibelinya perkhabaran-perkhabaran dan begitu begininya bukan didapatinya percuma sahaja daripada penulis-penulisnya. Begitu juga gambar-gambar yang dimasukkan ke dalam suratkhabar-suratkhabar mesti kuat dibuat belaka mengerjakannya.

Oleh itu, lamun kiranya pembaca-pembaca tidak banyak yang membeli akan suratkhabarnya itu, di manakah modal itu didapatinya? Perhatikanlah ini, dan dibawakan pemandangan ke sisi suratkhabar-suratkhabar Melayu kita pula.

Sesungguhnya kalau kita perhatikan dengan pemerhatian yang sejahtera, nampaklah jalan-jalan yang menyebabkan kejatuhan suratkhabar-suratkhabar itu atau sebab-sebab yang mengurangkan bagus isinya itu, ialah kerana kekurangan modal. Kekurangan modal itu ialah sebab perusahaan belum maju. Majunya itu bukan sesiapa yang diharap, melainkan anak-anak Melayulah. Sekira-kiranya anak-anak Melayu kita bersama-sama berlumba-lumba memajukan akan suratkhabar-suratkhabar atau buku-buku kebangsaan kita, bahkan dalam sedikit tahun sahaja kelak boleh kita berpuas hati membaca suratkhabar-suratkhabar Melayu kita pula.

Walaupun tidak melebihi suratkhabar-suratkhabar orang asing tetapi mesti seperjalanan sekurang-kurangnya. Oleh itu, kita berharap dengan setinggi-tinggi pengharapan ke sisi anak-anak Melayu supaya menghargakan dengan seberapa segeranya akan suratkhabar-suratkhabar Melayu kita.

Istimewa pula buat di masa sekarang isi dan ruangan suratkhabar-suratkhabar kita telah makin bertambah-tambah dan akan bertambah lagi, Insha´Allah. Memang banyak kefaedahan bagi kita tersunting di dalamnya pada tiap-tiap kali terbitnya. Dan jika bertambah dalam kita perhatikan kelak, akan bertambah-tambah besar lagi faedahnya.

Akhirnya mintalah saudara-saudara kita baik-baik, barangkali boleh dapat apa dan betapa lebih besar faedah membaca itu dari yang kita sebutkan ini lagi adanya. Was-salam.