Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 31 Aug 1935, p.2

General Article.

Orang Melayu Di dalam Negerinya. Fikirkan, Bahaskan, Timbangkan, Kemudian Jalankan Terus!

Oleh Penulis.

Sambungan Saudara Bilangan 539.

Soal yang ketiga: adakah oleh kerana banyak orang-orang yang menumpang itu maka pendapatan orang-orang kita tiada mencukupi?

Ini perkara berat sangat, sebab kerap kali oleh konon kasih kita akan anak cucu kita tiada kita bagi mereka itu bekerja dan tiada sekali-kali kita benarkan mereka itu meninggalkan kita walau ada sekali pun peluang mereka itu mencari nafkah di tempat lain.

Selalu jua kita dapati anak-anak cucu kita apakala sudah berkahwin tiada kita benarkan mereka itu mencari kehidupan mereka itu sendiri, melainkan duduk jua sama kita, menjadi beban kita dengan tiada membuat sesuatu pekerjaan.

Akhirnya, apakala kita mati ataupun tiada harta lagi hendak menanggung mereka itu budak-budak ini oleh tiada bebas tiadalah dapat mencari hal kehidupan sendiri. Jadilah mereka itu susah bebanan atas saudara daging dan dibenci oleh orang oleh tiada tahu berusaha.

Pada masa itu, budak-budak ini sendiri akan menyumpah menyapa mak bapak datuk neneknya oleh menyenangkan mereka itu pada awalnya dan pada akhirnya menyebabkan mereka itu merasai susah yang amat sangat.

Apakala sedikit yang mencari dan banyak yang menghabiskannya, tentulah akhirnya susah.

Pengarang sendiri ada melihat budak jantan kita Melayu yang berumur 20 tahun yang tiada membuat apa-apa pekerjaan, walhalnya ibu dan bapanya yang sudah tua-tua bekerja dari pagi ke malam bukannya sahaja bagi menyempurnakan kemahuan mereka itu sendiri, tetapi ialah lebih-lebihnya kerana hendak menggandakan barang-barang yang dikehendaki anak-anak mereka itu. Apakala ditunjukkan pada mereka itu yang perbuatan itu akhirnya akan mencelakai anak-anak mereka itu sendiri sebab mereka itu tiada boleh selama-lamanya bekerja bagi menanggung anak-anak mereka itu, yang sudahnya akan bernikah kahwin, jawab mereka itu asal ada upaya tiadalah lalu menempoh anak-anak susah dan penat.

Apakala mereka itu mati apa digaduhkan? Ulat di dalam batu lagi dapat rezeki.

Perkara mencabut dengan akar umbinya sekali sekalian peluang kemajuan bagi orang-orang kita. Dan lagi kerap kali kita mendengar orang-orang berkata, datuk si-polan itu dahulu orang senang, ini benar, sebab zaman datuknya ia ada mempunyai katalah 15 ekar tanah, pada masa itu, yang makan khazanah tanah datuknya dua lagi isteri dan dua anak-anak. Dan lagi pada masa itu getah berharga, kemudian anak-anak datuknya bertambah banyak bernikah kahwin, bercucu cicit, walhalnya tanah datuknya luas 15 ekar juga. Yang memakan khazanahnya bertambah banyak. Sungguh pun jarang-jarang kita berfikir begini, tetapi inilah satu daripada sebab-sebab satu puak bertambah susah, yang senang itu ialah di antara mereka-mereka yang menambah hartanya sebelum bertambah anak cucunya yang akan menumpang mereka itu atau anak cucu mereka itu membuat hal kehidupan masing-masing.

Jika kita tatap perkara-perkara yang tersebut, datanglah soal apakah ikhtiar bagi mengubati penyakit-penyakit kita orang-orang Melayu yang tersebut tadi?

Ubatnya ialah meluaskan fikiran supaya bertadbir baik, memandang ke hadapan, dan bersedia terlebih dahulu bagi perkara-perkara yang tentu akan datangnya; misalnya cukai tanah, belanja bersalin, nikah kahwin, sakit tua dan sebagainya.

Bagi menyempurnakan perkara-perkara ini, hendaklah kita membanyakkan membaca suratkhabar-suratkhabar. Orang-orang yang tak tahu membaca, boleh mendengar ataupun yang eloknya sekali belajar sendiri. Dan lagi, hendaklah kita mahirkan bermesyuarat bagi perkara-perkara yang bersangkutan dengan kita, dan mahirkan menyimpan wang.

Dengan menyimpan wang, dapatlah kita amalkan ilmu jimat cermat dan akhirnya adalah kita mempunyai modal bagi berniaga atau bagi perbelanjaan yang mustahak bagi orang-orang kampung untuk memajukan perkara-perkara yang tersebut. Tiadalah terlebih daripada mendirikan syarikat-syarikat bekerja-kerjasama.

Dengan syarikat-syarikat itu, terdirilah mesyuarat dan sebagainya jalan-jalan bagi mengelokkan kehidupan kita dengan berpakat-pakat. Dapatlah kita menyediakan tempat perkumpulan dan berlangganan dengan suratkhabar-suratkhabar. Di dalam syarikat ini jua dapatlah kita menyimpan wang dan belajar menyimpan kira-kira dan menjalankan segenap perkaranya dengan mengikut peraturan. Sungguh jua ada Post Office Savings Bank, dan kita masing-masing boleh menyimpan wang di rumah kita, kalau kita suka, tetapi daripada contoh-contoh yang kita lihat orang-orang kita lazimnya tiada menyimpan wang dan mendirikan peraturan yang sempurna di dalam kampung-kampung, melainkan dengan asuhan pegawai-pegawai syarikat sedia memberi pertolongan dan daripada kemajuan syarikat-syarikat yang telah kita lihat, tampaknya perdirian syarikat-syarikat ini amat tepat dan kemajuannya bertambah.

Maka terpulang kepada kita menggunakan pertolongan kerajaan tentang ini. Bersatu belajar dan bersama-sama berikhtiar mengubah pandangan orang-orang kita atas hal kehidupan mereka itu sahajalah yang boleh menyelamatkan bangsa kita daripada ketinggalan di dalam perlumbaan kemajuan sekarang ini.

Sekadar hidup kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang, tiada boleh meninggikan darjat orang-orang kita Melayu. Kita mesti hidup seperti orang-orang lain jua iaitu berusaha mencari kepandaian, kemerdekaan, kesenangan dan lain-lainnya, yang boleh membawa kepada kemajuan am.

Sekadar Malay-Malay Officer seumpamanya mereka itu sahaja pandai dan senang tiada memadai. Semua orang-orang kita mesti pandai dan senang lenang.

Inilah sebenar-benar kemajuan dan ini patut menjadikan panduan kehidupan kita semua adanya.

1. Kehilangan Harta Pusaka.

2. Harta Pusaka yang tiada lagi.

3. Kesemuanya terlelong di dalam negeri.

4. Berjuta-juta empunya harga.

5. Dengan titik peluh harta dicari.

6. Siang Malam Petang dan Pagi.

7. Ibu Bapa berpakaian jimat.

8. Mencari harta perut diikat.

9. Anaknya gadai kepada chetty.

10. Hilang Resap sama sekali.

11. Kampung halaman rumah tangga.

12. Habis sekalian harta pusaka.

1. Kehilangan harta pusaka.

2. Kerana boros anak celaka.

3. Digadai dibuat belanja.

4. Tiada mau berusaha bekerja.

5. Siang Malam dengan sahabat handai.

6. Ke sana ke sini dengan perempuan sundal.

7. Berjudi dan bersuka rawan.

8. Selalu hari beramai-ramaian.

9. Berkawan dengan bangsawan.

10. Wang dicampak seperti hujan.

11. Sepuluh dua tiada diperharga.

12. Ada banyak harta pusaka.

1. Ibu bapa yang nama terpuji.

2. Ditakuti orang seluruh negeri.

3. Hartanya yang dicari dan disayang.

4. Habis resap habis hilang.

5. Rumahnya yang diperhiasi.

6. Taman bunga sekelilingi.

7. Cukup dengan kolam perigi.

8. Bunga-bunga semerbak serambi.

9. Habis terlelong habis hilang.

10. Menjadi harta orang.

11. Anaknya tinggal seorang diri.

12. Harta hilang kawan lari.